Malah, lebih malang, Azhari Bidin, 32, dari Kampung Surau Haji Daud, Pengadang Buluh, di sini, turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah mencuri haiwan ternakan berkenaan.
Azhari mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri lembu berkenaan bersama-sama tiga lagi rakannya termasuk seorang wanita, Che Wan Norsharinawati Che Wan Abdullah, 30; Saadon Atan, 49; Zamri Ismail @ Yunus, 46.
Dia mengaku bersalah mencuri dua ekor lembu betina di sebuah landang lembu di belakang rumah, Jalan Pusara, di sini, antara jam 6 petang hingga 4 pagi, pada 23 dan 24 Januari lalu.
Bagaimanapun, tiga lagi rakannya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Sejurus pengakuan tidak bersalah ketiga-tiga rakannya direkodkan, Majistret Abdul Hayyi Salim menetapkan 21 Febuari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala kesemua mereka tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang sedang tidur di rumahnya telah dimaklumkan seorang lelaki dikenali Ijam bahawa ada orang mencuri lembu miliknya.
Sejurus itu, mangsa segera ke kandang lembu yang terletak di belakang rumahnya dan mendapati dua ekor lembu betinanya sudah hilang.
Bagaimanapun, semasa melewati kawasan jirat Cina di Jalan Pusara, di sini, mangsa ternampak beberapa anggota polis bersama kesemua tertuduh dan dua ekor lembu berwarna hitam dan putih yang disyaki dicuri dari kandang miliknya.
Sebelum ini, Sinar Harian keluaran 25 Januari lalu melaporkan seorang ibu tunggal enam anak antara empat pencuri yang ditahan ketika cuba melarikan dua lembu milik penduduk kampung di jirat Cina, Jalan Pusara, di sini.
Janda berusia 30 tahun dari Kampung Paya, Balai Besar, Dungun, itu ditahan bersama kekasihnya serta dua lagi rakan lelakinya ketika cuba memasukkan haiwan itu ke dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria.
Siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan mencuri haiwan ternakan itu untuk dijual dengan harga RM500 seekor bagi anak lembu betina sementara RM7 sekilogram bagi daging lembu yang siap diproses.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: