Tuesday, January 29, 2013

Cinta Azizah kepada tekatan

SALAH satu tempahan tekat untuk set bilik pengantin yang berharga RM30,000.


TUJUH tahun lalu, Kraftangan Malaysia pernah mengaturkan pertemuan beberapa wakil media dengan Azizah Mohd Yusuf, 72, yang bergelar Adiguru Tekatan.
Pada masa itu, hasil jari-jemari emasnya sudah terkenal bukan sahaja di dalam negara malah hingga ke luar negara seperti Brunei dan Singapura.
Pertemuan di kediamannya yang terletak di Kampung Panang Changkat, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak memberi ruang kepada penulis menatap sepuas-puasnya hasil tangan kreatif Azizah.
Ibu kepada sembilan orang anak ini masih lagi cergas dan ramah seperti dahulu. Mulutnya rancak bercerita. Beliau begitu gembira menunjukkan hasil terbaharu set bilik tidur berbaldu biru bertekat benang emas yang bernilai melebihi RM30,000 iaitu tempahan untuk majlis perkahwinan.
Dianugerahkan 40 orang cucu, Azizah masih aktif. Bahkan, jari-jemari masih tekun menekat biarpun matanya sudah kabur untuk memasukkan benang ke dalam lubang jarum.
Mengurung diri
Bagi Azizah, sejak kecil jiwa raga berkisar tentang benang emas dan kain baldu. Pada usia lapan tahun ketika kanak-kanak sebayanya bermain pondok-pondok, Azizah mengurung diri dalam rumah sambil memerhatikan ibu dan neneknya tekun di hadapan pemidang menyulam benang emas.
Adakalanya dia curi-curi membetulkan sulaman si ibu hingga menjadi corak yang lain. Walaupun dimarahi Azizah tidak pernah serik.
Melihat minat yang ditunjukkan Azizah, suatu hari, neneknya menyediakan pemidang kecil buat Azizah mencuba bakat. Hasilnya, Azizah berjaya menyiapkan sepasang tampuk bantal peluk bertekat benang emas ketika umurnya 12 tahun.
Sejak itu, Azizah tidak pernah berhenti menekat. Daripada tampuk bantal peluk, alas bantal, kipas dan cior (alas duduk semasa akad nikah), kualiti sulamannya makin meningkat dari sehari ke sehari sehingga mampu menyiapkan set bilik tidur pengantin pada hari pernikahannya sendiri.
"Tampuk bantal tersebut ibu saya simpan dan digunakan setelah saya mendapat anak," cerita Azizah mengimbau saat-saat manis dirinya bergelar seorang penekat.
Tidak terlalu bergantung kepada motif lama seperti pucuk paku, daun keladi, buah padi dan pucuk rebung, Azizah sering mencari ilham dalam menghasilkan motif baharu.
Beliau cukup terbuka dalam melakukan perubahan pada motif tekat sehingga sanggup berkereta menyelusuri jalan-jalan lama dari utara hingga ke selatan tanah air semata-mata ingin mendapatkan idea tumbuh-tumbuhan hutan.
Hasilnya, lahirlah corak anggerik hutan, bunga matahari dan pelbagai corak menarik. Bahkan beliau juga mendapat idea daripada pokok buluh dan bunga sakura hasil kunjungannya Jepun.
Sebagai generasi ketiga yang menyambung warisan keluarga, Azizah tidak pernah jemu menekat. Beliau bersyukur kerana empat anaknya iaitu Mardzian Abu Kassim, Marshitah Abu Kassim, Maizirah Abu Kassim dan Haris Abu Kassim menjadi generasi keempat mewarisi kemahiran keluarga itu. Mardzian bertindak sebagai pengurus syarikat milik keluarga mereka, Gesamas Sdn. Bhd.
Kini tumpuan penghasilan tekat benang emas bukan sahaja menggunakan sulaman tangan tetapi ditingkatkan dengan penggunaan mesin sehingga beliau mampu memiliki sebuah kedai di bandar Kuala Kangsar.

JIWA Azizah terhadap benang dan kain baldu dipupuk sejak kecil.


Menurut Azizah, tujuan mereka meneroka penggunaan mesin dalam seni tekatan bagi meluaskan pasaran. Penggunaan mesin mempercepatkan sulaman namun kualiti dan keindahan tekatan benang emas masih terus dikekalkan.
Tekat benang emas yang menggunakan mesin lebih murah berbanding sulaman tangan dengan kos pengeluaran yang lebih rendah. "Melalui cara ini, lebih ramai peminat sulaman tekat memiliki koleksi sendiri," jelas Azizah.
Sulaman mesin
Bezanya hanyalah pada penggunaan benang yang lebih lembut. Bagaimanapun bagi mengekalkan konsep tekatan dengan corak timbul, sulaman mesin dipastikan lebih tebal bagi menghasilkan kesan corak timbul seakan-akan sama dengan sulaman tangan.
Bagaimanapun, beliau masih terus mengusahakan tekatan tradisional menggunakan tangan kerana permintaan produk yang tinggi.
"Dari segi pasaran tidak ada masalah kerana sentiasa ada tempahan baik dari dalam negara, Brunei mahupun Singapura. Masalahnya ialah tenaga kerja," jelas Azizah.
Misalnya set cadar bilik pengantin yang ditunjukkan pada awal pertemuan adalah hasil tangan beberapa orang graduan Institut Kraf Negara (IKN) yang mengambil masa hampir tiga hulan untuk disiapkan. Azizah kini dibantu oleh 20 penekat mahir, yang kebanyakannya adalah suri rumah.
Sejak tahun 1980-an, Azizah menyertai Kemas sebagai tenaga pengajar seni tekatan. Beliau juga memberi latihan kepada beliawanis di sekitar Kuala Kangsar. Sesuai dengan kepakarannya, Kraftangan Malaysia turut melantik beliau sebagai tenaga pengajar dalam bidang tekatan bagi membimbing pelatih Kraftangan Malaysia.
Azizah juga turut membantu mempromosi tekatan benang emas dengan menyertai beberapa siri pameran dan demonstrasi di dalam dan luar negara seperti di Tokyo, Jepun dan Singapura.
Sebagai orang lama, Azizah ingin melihat lebih ramai pandai penekat yang lahir daripada (IKN) kerana berpendapat graduan yang dilahirkan IKN adalah graduan yang berkualiti dan benar-benar mencintai seni warisan.
"Menekat ni memang susah, tapi kalau dah minat semuanya menjadi senang. Walaupun tak larat tetapi saya masih sanggup membimbing dan menarik anak muda.
"Kerana cintakan seni warisan ini jugalah, sehingga kini saya masih menerima kunjungan pelancong ke rumah kerana merasakan ia satu tanggungjawab," sambung beliau yang tidak lokek berkongsi ilmu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: