Thursday, January 31, 2013

Air pasang besar di Tanjung Pia


AIR laut akan melimpah ke kawasan daratan dan tadahan sehingga membolehkan kawasan sekitar bak taman air mini.


SIKAP segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab membuang sampah sarap secara sesuka hati ke kawasan pantai, menyebabkan bahan buangan berkenaan tersangkut pada akar pokok bakau yang tumbuh di pesisir pantai.
Botol minuman, plastik, selipar dan banyak lagi yang tersangkut di perangkap semula jadi itu sedikit sebanyak menjejaskan keindahan kawasan Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian, Johor.
Bagi mengembalikan keindahan dan mengekalkan keseimbangan ekosistem Taman Negara Johor Tanjung Piai, DRB-HICOM Bhd. bersama-sama sekumpulan wakil media dan pelajar Universiti Teknologi Malaysia bekerjasama mengutip sampah sarap berkenaan.
Aktiviti yang bermula seawal pukul 9.30 pagi itu dilakukan dengan penuh semangat selepas beberapa kumpulan kecil dibuat untuk memudahkan operasi pembersihan kawasan seluas 926 hektar itu.
Salah seorang peserta, Nurul Shuhada Karim, 24, mengakui masalah pembuangan sampah di taman negara tersebut harus dipandang serius kerana ia bukan sahaja akan mengganggu ekosistem, bahkan memusnahkan lokasi yang turut dikenali sebagai penghujung benua Asia tersebut sedikit demi sedikit.
“Pemandangan kawasan tumpuan pelancong ini akan terjejas kerana jumlah sampah sarap yang tersangkut di akar pokok selepas dihanyutkan air.
“Jika kita mengharapkan kakitangan taman negara sahaja yang menguruskan hal ini memang sukar kerana kawasannya yang luas,” kata Nurul Shuhada ketika ditemui semasa program mengutip sampah berkenaan.

SEORANG pengunjung, Mohd. Zaidi Juwahir sedang berjalan di atas jambatan yang tenggelam ketika beliau sedang memancing ketika fenomena air pasang besar di Tanjung Piai.


Fenomena air pasang besar
Walau bagaimanapun, selain membersihkan kawasan Taman Negara Johor Tanjung Piai, ada satu lagi sebab mengapa tarikh tersebut dipilih untuk mengumpulkan sukarelawan dan media.
Berlaku hanya dua kali setahun di taman tersebut, fenomena yang dipanggil sebagai air pasang besar sangat mengujakan.
Dalam fenomena tersebut air laut mula naik secara mendadak menutupi permukaan tanah selut kira-kira pukul 11.30 pagi.
“Renjer yang bertugas di kawasan kami segera meminta peserta yang berada di bahagian bawah jambatan taman negara naik ke atas sebelum air menjadi lebih dalam,” cerita Nurul Shuhada lagi.
Difahamkan, air di kawasan berkenaan naik sehingga ketinggian 3.5 meter dari paras tanah.
Fenomena air pasang besar berkenaan dikatakan biasanya berlaku dua kali setahun iaitu pada awal dan penghujung tahun.
Kelihatan beberapa kelibat haiwan seperti ular, ketam, monyet dan sebagainya yang menjadikan kawasan itu sebagai habitat mula riuh-rendah menyelamatkan diri.
Monyet contohnya mula memanjat ke bahagian pokok yang lebih tinggi bagi mengelak daripada dihanyut air laut, manakala beberapa spesies burung mula berterbangan.

SPESIES ular kapak boleh ditemui di hutan paya bakau Tanjung Piai.


Suasana di kawasan pintu masuk Taman Negara Johor Tanjung Piai pula bertambah meriah dengan kehadiran penduduk setempat.
Mereka yang telah dimaklumkan mengenai kejadian fenomena itu berkumpul bagi melihat sendiri proses perubahan alam itu.
Kawasan berkenaan dengan sekelip mata berubah menjadi seperti taman tema air mini apabila kanak-kanak berpesta bermain air yang mula melimpah keluar dari taman negara itu. Kanak-kanak begitu riang bermain air setinggi paras buku lali sambil diperhatikan oleh ibu bapa mereka.
Pesta yang ditunggu-tunggu
Menurut penduduk setempat, Che Halim Che Ismail, 52, air laut yang melimpah keluar dari taman itu akan mengalir ke arah anak sungai kecil yang terletak tidak jauh dari situ.
“Hampir setiap tahun kami sekeluarga akan datang melihat fenomena air pasang besar, tambahan pula taman negara ini terletak berhampiran dengan rumah kami,” katanya.
Fenomena air pasar besar itu berlangsung selama beberapa jam dan mula surut secara perlahan-lahan pada waktu tengah hari.
Dalam pada itu, Pengurus Taman Negara Johor Tanjung Piai, Khalid Zahrom berkata, fenomena itu memberi kesan terhadap kawasan Tanjung Piai kerana hakisan akan menyebabkan kehilangan keluasan tanah di situ.
Bagaimanapun, Khalid memberitahu, pelbagai usaha dijalankan pihaknya terutamanya menerusi program penanaman pokok bakau sebagai penahan semula jadi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: