Monday, January 21, 2013

Paramore kembali ke KL


PARAMORE bakal membuat kemunculan buat kali kedua di Malaysia.


PARA peminat kumpulan rock alternatif terkenal Paramore pasti ternanti-nanti kehadiran mereka ke Malaysia sekali lagi. Band yang terkenal dengan lagu, The Only Exception itu bakal mengadakan konsert untuk kali kedua di negara ini pada 17 Februari depan di Stadium Negara, Kuala Lumpur.
Konsert yang diadakan sempena dengan pelancaran album terbaharu yang mengambil tajuk sempena nama band mereka menjadikan Malaysia antara tiga negara Asia yang bertuah untuk destinasi persinggahan selain Thailand dan Filipina.
Pada konsert di Malaysia tiga tahun lalu, mereka berjaya menarik lebih 12,000 peminat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, namun tahun ini, para peminat terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan tiket disebabkan tempat yang dihadkan kepada 6,000 sahaja.
Walau bagaimanapun, konsert kali ini akan menjanjikan kepuasan yang lebih berbanding tiga tahun lalu dengan durasi yang lebih panjang dan lagu yang lebih banyak.
Konsert yang dibawakan oleh Tune Talk dan BlackBerry itu turut digamatkan dengan persembahan pembukaan band tempatan, One Buck Sort atau OBS dan kumpulan rock indie AS, MewithoutYou.
Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan band tersebut untuk mengadakan konsert mereka buat kali kedua di sini.
“Kami memulakan tahun 2013 ini dengan The Return of Paramore Live in Kuala Lumpur dan ia adalah satu keseronokan bagi kami untuk bekerjasama sekali lagi dengan band yang sangat berbakat dan kreatif ini.
“Selain itu, kami juga ada merancang sesuatu yang besar pada bulan Mei ini untuk peminat industri hiburan tanah air, tetapi saya tidak dapat dedahkan lagi apakah rancangan tersebut, cuma tunggu dan lihat sahaja,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Bangsar Village baru-baru ini.
Para peminat juga berpeluang memenangi 30 pas percuma untuk sesi beramah mesra dengan band tersebut melalui peraduan anjuran Tune Talk dan BlackBerry yang akan diumumkan melalui Facebook dan Twitter mereka.
Tiket yang berharga RM270, RM200, RM150, RM130 dan RM110 boleh di dapati secara online di www.ticketpro.com.my atau hubungi talian hotline 03-7880 7999 untuk maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: