|
PEMAIN No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei muncul sebagai pemain terbanyak merangkul gelaran juara pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia.
Semalam, Chong Wei membuktikan statusnya selaku pemain terhebat negara apabila merekodkan kejuaraan buat kali kesembilan pada Terbuka Malaysia 2013.
Kejayaan itu hadir selepas dia melakar kemenangan ke atas pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro 21-7, 21-8 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil.
Lebih membanggakan, dia berjaya melepasi rekod legenda badminton negara, yang sebelum ini merekodkan lapan kejuaraan pada Terbuka Malaysia.
“Saya sangat bangga dengan kejayaan ini. Terima kasih kepada para penyokong kerana sanggup hadir ke stadium bagi menyaksikan final serta memberi sokongan kepada saya.
“Sebenarnya saya berasa sedikit tertekan kerana harapan yang diletakkan untuk saya bergelar juara kali ini agak tinggi.
“Mungkin orang tidak nampak kenapa saya menang mudah ke atas Sony tetapi itulah yang saya rasakan.
“Mujur, setiap kali Sony melakukan serangan saya boleh mengatasinya. Saya memang mahu menghabiskan perlawanan dengan cepat,” kata Chong Wei pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan semalam.
Tahun lalu, Chong Wei telah meletakkan namanya sebaris dengan Peng Soon apabila merangkul kejuaraan buat kali kelapan di gelanggang yang sama.
Sebagai rekod, Chong Wei mula bergelar juara Terbuka Malaysia pada 2004 diikuti 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013.
Ini merupakan kejuaraan kedua berturut-turut buat Chong Wei selepas membuka tirai kalendar 2013 penuh bergaya dengan meraih gelaran juara pada Terbuka Korea 13 Januari lalu.
Menurut Chong Wei, dia akan cuba untuk melakukan yang terbaik untuk bergelar juara Terbuka Malaysia buat kali ke-10 pada edisi tahun depan.
Hasratnya itu adalah untuk menyamai rekod kejuaraan yang dimilikinya selaku juara kebangsaan.
“Saya akan cuba tetapi semua kena sedar bahawa Sirkit Kebangsaan dan Terbuka Malaysia adalah dua kejohanan yang berbeza,” kata Chong Wei yang kini akan memberi fokus sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Seluruh England Mac depan.
Chong Wei telah dua kali bergelar juara pada Seluruh England iaitu edisi 2010 dan 2011.
Dengan kemenangan semalam, Chong Wei membawa pulang hadiah wang tunai AS$30,000 (RM90,389).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: