|
|
SIAPA tidak kenal dengan nama Anne Ngasri atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, yang suatu ketika dahulu pernah menceriakan program televisyen Malaysia menerusi drama arahan Aziz M. Osman, Cili Padi.
Baru-baru ini dunia hiburan tempatan telah digemparkan dengan tindakan ibu kepada tiga orang anak itu apabila dia mengambil keputusan untuk bertunang dan mengakhiri zaman jandanya dengan seorang ahli politik atau lebih tepat Setiausaha Kerja Pemuda Umno, Mohd. Sumali Reduan, 41, pada 22 Disember lalu.
Keputusan Anne, 29, itu sekali gus juga telah menutup segala kontroversi kisah perkahwinan terdahulu serta hubungan cintanya dengan penyanyi muda dan tampan Alif Aziz.
Setelah menempuhi pelbagai onak dan duri kehidupan, Anne masih tetap bertahan sehingga ke hari ini dalam dunia seni, malah pada Rabu lalu dia dan dua lagi anak seni tempatan telah dipilih untuk mengacarakan satu program baharu menerusi slot Raudhah untuk siaran TV9.
Anne, pelakon Diana Amir dan seorang model berhijab yang terkenal, Shabana, bakal muncul dalam program terbaharu TV9 Semangat Intelek Swadaya atau SIS pada 26 Januari ini.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Anne pada sidang akhbar program tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagaimanakah kehidupan Anne setelah bergelar isteri kepada ahli politik kelahiran Pontian, Johor?
Alhamdulillah, saya bahagia. Akhirnya saya telah jumpa seseorang yang saya cari-cari selama ini.
Anne sudah tahu apakah selera makanan suami?
Kami berdua keturunan Jawa, jadi selera pun sama. Bab memasak makanan kegemarannya tidak menjadi sebarang masalah kerana ia adalah menu makanan yang sama saya masak.
Bolehkah bertanya, setelah hampir sebulan berkahwin, sudah adakah tanda-tanda bakal mendapat cahaya mata baharu?
Saya ada rasa mual-mual, tapi takut pula nak pergi buat pemeriksaan. Saya rasa macam ada.
Kenapa pula takut? Adakah Anne tidak bersedia?
Saya sentiasa menerima rezeki dari Allah. Saya pasti bayi itu nanti akan menambah seri dan membahagiakan lagi hidup saya.
Setelah sekian lama bergelar anak seni, adakah suami Anne membenarkan untuk terus bergiat dalam dunia hiburan ini?
Ya, dia seorang yang sangat memahami akan kerjaya saya, malah pada hari ini dia turut datang bersama bagi memberi sokongan kepada isterinya ini.
Adakah Anne juga akan memberi sokongan dengan kerjaya dunia politik suami?
Sudah tentu saya akan menyokong cara suami saya mendapatkan rezeki kami sekeluarga dan sentiasa memberi dorongan kepadanya.
Melihat kepada kerjaya suami dalam politik, adakah Anne mahu mengikut jejak langkahnya?
Tidak. Walaupun banyak persamaan dan persefahaman antara kami, namun bila ia melibatkan bidang kerjaya, ia sama sekali berlainan . Saya tidak minat bidang politik, lagipun saya lebih cintakan dunia seni saya.
Adakah Anne selalu menemani suami pergi ke jamuan-jamuan korporat atau yang melibatkan dunia politiknya?
Kalau saya ada masa, saya akan temankan dia. Namun, memandangkan anak sulung saya akan memulakan alam persekolahannya tidak lama lagi, saya rasa tidak dapatlah temankan dia selalu.
Apakah perkembangan terbaharu Anne dalam dunia seni?
Saya ada berlakon dalam filem di bawah Grand Brilliance berjudul Pengapit. Tunggulah kemunculan filem itu di pawagam nanti. Saya bersama kakak saya, Darling, juga akan menerbitkan rancangan kanak-kanak, Nujum Kenit yang bakal disiarkan menerusi saluran TV1, RTM. Selain itu, sebagai pengacara program baharu, SIS, yang menggandingkan saya bersama Diana Amir dan Shabana. Saya amat berharap para peminat akan sama-sama memberi sokongan kepada saya. Saya akan cuba berikan yang terbaik. Program itu akan bermula pada 26 Januari ini, pukul 11 pagi di TV9. Program bual bicara itu nanti banyak mengupas isu-isu yang sering dialami kaum wanita, terutamanya remaja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: