Wednesday, January 23, 2013

Muzikal Upin & Ipin kembali lagi


PESERTA uji bakat menunjukkan kebolehan masing-masing dalam usaha untuk terpilih dalam pementasan Muzikal Upin & Ipin pada April ini.


POPULARITI kisah adik-beradik kembar yatim piatu yang botak, Upin dan Ipin sebenarnya tetap melekat dalam hati masyarakat terutamanya di Malaysia dan Indonesia. Ia menjadi fenomena sejak lima tahun lalu setelah ditayangkan di televisyen.
Setelah menerima pelbagai anugerah dan dipersembahkan dalam dua genre iaitu drama animasi televisyen serta teater, ia tetap menjadi ikon terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
Apabila teater Muzikal Upin & Ipin dipentaskan tahun lalu di Istana Budaya, produksi terbitan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. dan CTRA Production itu berjaya mengumpul 27,000 penonton serta dianugerahkan Malaysia Book of Records sebagai Teater Paling Banyak Bilangan Pementasan (30 persembahan).
Memandangkan teater tersebut mendapat pujian banyak pihak serta memberi peluang kepada penonton menyaksikan adaptasi dari animasi ke pentas teater, muzikal tersebut akan kembali lagi.
Kali ini CTRA Production yang mendapat lesen francais daripada Les' Copaque Production Sdn. Bhd. dengan kerjasama akhbar Kosmo! akan mementaskan sekali lagi teater tersebut pada 12 hingga 21 April ini di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Bagi memberi peluang dan mencungkil bakat baharu dalam dunia teater, satu sesi uji bakat bagi pelakon teater itu telah diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Penerbit Muzikal Upin & Ipin, Siti Rohayah Attan, program uji bakat tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan sebagaimana musim pertama pada 2012.
"Sebenarnya, kami mengecilkan bilangan peserta untuk uji bakat iaitu sekitar 80 orang sahaja. Ini kerana sebahagian besar pelakon musim pertama masih dikekalkan.
"Namun, sepanjang tiga jam tempoh pendaftaran dibuka, kami menerima kehadiran 185 peserta, malah ada yang terpaksa pulang hampa selepas waktu pendaftaran tamat jam 12 tengah hari," katanya.
Beliau yang bertindak sebagai Pengarah Persembahan teater itu turut menjadi panel sesi uji bakat bersama koreografer A. Aris Kadir menganggap peserta yang datang lebih berkualiti berbanding tahun lalu.
Ini berkemungkinan kebanyakan peserta lebih bersedia dari segi lakonan, tarian dan nyanyian serta pernah menonton muzikal yang dipentaskan terdahulu.
Menurutnya lagi, pihaknya merasa bangga kerana populariti Upin, Ipin dan rakan-rakannya seperti Ehsan, Jarjit, Mei-Mei dan Susanti turut menarik minat dalam kalangan anak-anak diplomat dan ekspatriat dari Turki dan Indonesia.
"Kali ini peserta bukan sahaja warga negara Malaysia tetapi juga dalam kalangan pelajar luar negara yang ibu bapa mereka bekerja di Malaysia. Mereka boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik serta mempunyai bakat besar dalam bidang teater serta amat meminati Upin dan Ipin.
"Kita telah memilih mereka bukan saja kerana bakat mereka tetapi juga sebagai satu cara menggalakkan warga asing yang tinggal di negara kita untuk sama-sama mengambil bahagian dalam persembahan ini," tambah Siti Rohayah.
Artis terkenal
Menyentuh mengenai penglibatan artis terkenal dalam teater ini, beliau mengakui sedang berbincang dengan dua penyanyi terkenal untuk membawakan dua watak baharu.
Bagaimanapun, beliau belum bersedia untuk menamakan artis tersebut memandangkan perbincangan masih dilakukan dan belum ada sebarang keputusan.
Beliau dalam pada itu memberi jaminan bahawa artis yang dipilih itu sangat dekat dengan jiwa kanak-kanak dan peminat seni tanah air. Mereka akan bergabung dengan 50 pelakon lain yang terpilih melalui uji bakat.
Muzikal Upin & Ipin masih mengekalkan jalan cerita yang sama seperti tahun lalu cuma dilakukan beberapa perubahan bagi memberi nafas baharu dan kelainan.
Ia menceritakan tentang kesedihan Puteri Cinonit yang tidak pernah menemui kebahagiaan lalu merantau ke dunia untuk mencari kebahagiaan tersebut. Beliau diberitahu antara manusia yang sentiasa gembira ialah Upin dan Ipin serta rakan-rakannya. Justeru, Puteri Cinonit telah mengarahkan rama-rama supaya menculik kedua-duanya.
Antara watak-watak yang ditampilkan dalam teater ini ialah Kak Ros, Opah, Tok Dalang, Sally, Labah-Labah, Sapi, Pulu-Pulu, Orang Kerajaan Cinonit dan Bulat.
Bagi persembahan kali ini sebanyak 20 lagu telah dicipta oleh Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah). Muzikal Upin & Ipin akan dipentaskan dari 12 hingga 21 April ini di Panggung Sari, Istana Budaya.
Untuk pertanyaan tiket boleh menghubungi 03-6186 6592/ 017-2004 249 atau ke laman web www.upinipinmusical.blogspot.com atau sertai facebook: upinipinthemusical.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: