Wednesday, January 23, 2013
Finalis bebas pilih lagu sendiri
KUCHING - Buat julung-julung kalinya, peserta akhir program realiti Soulstar 2012 diberi kebebasan untuk memilih lagu masing-masing selain beraksi dengan gaya tersendiri.
Pengetua Soulstar 2012, Iwan Dasri berkata, pihaknya berpendapat penetapan lagu sebelum ini dianggap mengongkong kebebasan peserta untuk tampil hebat dalam persembahan masing-masing.
"Bagi mendapatkan persembahan yang bagus dan kelihatan berlainan, pihak produksi memutuskan untuk memberi peluang kepada peserta program untuk tampil dengan gaya berbeza kali ini.
"Melalui lagu pilihan sendiri, kreativiti persembahan, bakat dan kemampuan yang dimiliki peserta dapat ditonjolkan sepenuhnya," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Mengulas lanjut, Iwan memberitahu, sekiranya kreativiti mereka disekat atau terikat dengan kehendak pihak produksi, tujuan sesuatu pertandingan itu diadakan tidak bermakna.
Akibat daripada kongkongan itu juga menyebabkan peserta tidak berpuas hati dengan persembahan selain lebih gemar terikut-ikut dengan cara penyanyi asal sesebuah lagu sedangkan mereka sepatutnya menyanyi mengikut gaya tersendiri.
"Jadi, kami optimis kesemua 14 peserta akhir Soulstar musim ini akan menunjukkan kelebihan bakat mereka dengan penuh kreatif," katanya.
Konsert kemuncak Soulstar 2012 bakal berlangsung di Bangunan Dewan Undangan Negeri Lama, Petra Jaya di sini pada 26 Januari ini.
Juara Soulstar 2012 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 serta hadiah-hadiah lain.
Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan RM2,000.
Soulstar 2012 dianjurkan oleh Kampung Budaya Sarawak dan E-One Dasri Talent Management manakala Kosmo! menjadi rakan media rasmi.
Bagi urusan pembelian tiket, orang ramai boleh menghubungi talian 082-846 108.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: