Wednesday, January 23, 2013

Mahu cipta lagu sendiri

ADIRA bercita-cita mahu berduet dengan Siti dan Jac.


SIAPA yang tidak kenal dengan gadis berkulit putih gebu kelahiran Ranau, Sabah, Siti Adira Suhaimi atau lebih dikenali dengan panggilan Adira yang lahir daripada program realiti televisyen, Akademi Fantasia musim kelapan (AF8).
Memiliki suara yang mantap menjadi salah satu faktor untuk gadis berusia 22 ini terus diminati ramai dengan lagu-lagunya yang sering mendapat tempat di hati pencinta muzik tanah air.
Walaupun masih setahun jagung usianya dalam industri hiburan tanah air, namun Adira sudah berjaya mengukir nama dalam anugerah-anugerah hiburan tempatan seperti Anugerah Bintang Popular (ABP) dan Anugerah Juara Lagu (AJL).
Terkenal dengan lagu Ku Ada Kamu dan Ilusi, Adira memasang cita-cita untuk menghasilkan lagunya sendiri suatu masa nanti.
"Saya memang teringin sangat untuk mencipta lagu saya sendiri sebab itu adalah cita-cita saya sejak dari dulu lagi dan ia adalah sesuatu yang amat membanggakan jika saya sudah mampu untuk menghasilkan lagu saya sendiri.
"Sesetengah orang cakap kalau menyanyi mesti boleh buat lagu sendiri, tetapi bagi saya ia terpulang kepada kemahira dan kemampuan masing-masing, bukan senang untuk mencipta lagu sebenarnya.
"Pada saya perjalanan daripada penyanyi untuk bergelar komposer adalah sangat jauh dan banyak lagi yang perlu saya belajar untuk ke arah itu sebab saya pun masih baru lagi dalam industri," jelasnya.
Berduet dengan artis pujaan adalah sesuatu yang diimpikan bagi setiap insan yang bergelar penyanyi tidak terkecuali Adira mahu bekerjasama dengan idolanya.
"Siapa yang tidak mahu bekerjasama dengan penyanyi yang lebih senior daripada kita lebih-lebih lagi artis pujaan sejak dari dulu.
"Sekarang ini saya sudah berduet dengan Awie, pada masa akan datang kalau ada rezeki saya nak juga bekerjasama dengan Datuk Siti Nurhaliza atau Jaclyn Victor (Jac)," katanya yang menyanyikan lagu, Ratuku duet bersama Awie untuk lagu tema drama, Sehangat Asmara.
Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Adira mempunyai senarai yang panjang dalam merencanakan karier dan kisah hidupnya.
Walau bagaimanapun, dia tidak mahu mendedahkan kepada umum mengenai perancangannya kerana takut akan dikutuk orang ramai sekiranya tidak berjaya nanti.
"Sebenarnya memang sangat banyak benda yang saya mahu lakukan tetapi tak nak hebohkan kepada semua orang sebab tak mahu orang cakap saya ni terlalu gelojoh nak capai semua benda.
"Biarlah saya simpan untuk diri sendiri sahaja dan kalau ada perkara menarik yang saya boleh dikongsikan, saya akan kongsi dengan semua orang," ujarnya yang tercalon untuk ABP 2012 dalam kategori Artis Duo/Berkumpulan Popular bersama Hafiz.
Teman lelaki
Bercerita mengenai persiapan sempena ABP 2012, Adira mengakui sangat sibuk dengan kerja dan belum mempunyai waktu yang sesuai untuk berkempen meraih undi daripada peminat.
Mempunyai kelab penyokong yang memahami kesibukan kerjanya, kata Adira kumpulan peminatnya itu telah pun memulakan siri kempen yang diperlukan untuk memastikan dirinya membawa pulang anugerah.
"Sekarang ini saya sangat sibuk tetapi saya ada kelab peminat yang memahami dan mereka sudah pun memulakan siri kempen ABP kali ini. Saya sangat berterima kasih dengan para peminat kerana menyokong setiap kali saya tercalon dalam ABP.
"Walaupun tidak pernah membawa pulang apa-apa trofi, dapat tercalon dalam lima yang teratas daripada berpuluh-puluh orang sudah mencukupi dan bersyukur dengan usaha serta sokongan mereka selama ini.
"Bagi acara karpet merah, saya sudah bersedia daripada awal-awal kerana bimbang tidak sempat dan pada ABP kali ini saya akan menggayakan pakaian rekaan Hatta Dolmat," ujarnya dengan penuh bersemangat.
Baru tiga tahun dalam industri sudah bermacam kontroversi yang tercalit di wajah penyanyi ini. Gosip percintaannya dengan penyanyi Alif Aziz yang bermula sejak tahun lalu masih belum reda lagi.
Penat diajukan soalan yang sama, Adira tidak mahu kisah tersebut dipanjangkan dan menganggap ia adalah sesuatu yang lumrah bagi artis bila digandingkan dengan artis yang lain akan timbul pelbagai andaian daripada banyak pihak.
"Sudah banyak kali saya menjelaskan perkara ini kepada semua yang saya tidak ada apa-apa hubungan istimewa dengan dia.
"Saya mengaku kami hanya rakan baik tapi untuk ke arah bercinta memang tiada. Saya hanya berhubung dengan dia atas urusan kerja sahaja, tidak lebih daripada itu.
"Buat masa ini saya memang tiada teman lelaki dan tidak akan cari kerana saya ingin fokus kepada kareer saya tetapi kalau sudah takdir saya bertemu dengan orang yang sesuai akan terima dengan seadanya," jelasnya.
Bermasam muka
Ditanya mengenai ciri-ciri lelaki idaman, Adira menjelaskan dia tidak suka memilih dan tiada ciri-ciri khusus lelaki idamannya cukup sekadar sedap mata memandang.
Selain itu Adira juga turut dikritik ketika melakukan persembahan bersama Hafiz untuk lagu Ombak Rindu pada AJL 27 baru-baru ini ekoran dirinya bermasam muka terutamanya ketika dia digendong oleh aktor tampan, Aaron Aziz yang membuat penampilan khas, selain dikatakan membuat persembahan ala kadar.
Menyanggah dakwaan tersebut, Adira menjelaskan dia sentiasa bersemangat untuk menjayakan persembahan tersebut dan dia berbuat demikian adalah kerana kehendak lagu tersebut.
"Ramai orang cakap kenapa tidak senyum pada masa itu. Sebenarnya ia adalah kehendak lagu tersebut yang memerlukan saya untuk tidak senyum. Saya rasa perkara kecil seperti ini tidak perlu dibesar-besarkan. Apa yang saya lakukan adalah semata-mata kerana kehendak lagu tersebut.
"Itu adalah cara penghayatan saya dan membawakan lagu itu dengan penuh semangat. Lagu itu menceritakan tentang kesedihan, mana mungkin kita senyum apabila nyanyi lagu sedih, tidak sesuailah," jelasnya.
Tegas Adira, segala kontroversi lalu yang melanda dirinya biarlah ia pergi begitu sahaja supaya dapat menjadi pengajaran baginya untuk lebih berhati-hati dengan setiap tingkah lakunya pada masa akan datang.
"Bagi saya perkara yang dah lepas biarlah berlalu tak perlu diungkit lagi dan menjadi pengajaran kepada saya di masa akan datang. Orang akan terus bercakap tapi lama-kelamaan bila dah penat mereka akan berhenti juga.
"Tahun 2013 ni saya akan cuba kalau boleh elakkan diri daripada kontroversi tapi kalau benda dah jadi saya nak buat macam mana," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: