Saturday, January 19, 2013

Manfaat daripada zat daun


WANITA yang mengambil teh dikatakan mempunyai tulang yang kuat.


TEH telah ditanam selama berabad-abad lamanya bermula di India dan China. Hari ini, teh merupakan minuman yang paling banyak diminum selepas air kosong.
Beratus-ratus juta warga dunia minum teh dan kajian menunjukkan bahawa minuman teh khususnya teh hijau mempunyai banyak manfaat untuk kesihatan.
Terdapat tiga jenis teh yang utama iaitu teh hijau, hitam dan wu long (oolong). Ia dibezakan melalui cara teh diproses.
Teh hijau tidak melalui proses fermentasi dan mengandungi kepekatan antioksidan iaitu polifenol yang tinggi.
Antioksidan merupakan bahan-bahan yang bertindak melawan radikal bebas yang merosakkan sel-sel dalam badan, merosakkan asid deoksiribonukleik (DNA) dan menyebabkan kematian sel.
Ramai saintis percaya bahawa radikal bebas menyumbang kepada proses penuaan dan menyebabkan beberapa masalah kesihatan termasuk kanser dan penyakit jantung.
Antioksidan seperti polifenol dalam teh hijau boleh meneutralkan radikal bebas dan membantu mencegah sesetengah kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas.
Dalam perubatan tradisional Cina dan India, pengamal perubatan menggunakan teh hijau sebagai perangsang, diuretik (untuk menyingkirkan cecair berlebihan dalam badan), astrigen (untuk mengawal pendarahan dan membantu menyembuhkan luka) dan meningkatkan kesihatan jantung.
Selain itu, teh hijau dikatakan mampu merawat masalah angin dalam badan, mengawal suhu badan dan gula dalam darah, bagus untuk pencernaan dan meningkatkan proses mental.
Teh hijau telah dikaji secara meluas ke atas manusia, haiwan dan eksperimen makmal. Kajian tersebut menunjukkan teh hijau mampu membantu merawat keadaan kesihatan seperti aterosklerosis, kolesterol tinggi dan kanser.

TEH ros membantu menangani masalah sistem penghadaman dan melancarkan aliran darah.


Satu kajian kecil mendapati bahawa minum teh hijau membantu mencegah kaviti gigi. Sungguhpun begitu, lebih banyak kajian perlu dilakukan bagi membuktikannya.
Ia juga dikatakan bermanfaat dalam penyakit radang seperti artritis. Dalam isu penyakit itu, teh hijau boleh membantu mengurangkan keradangan dan melambatkan kerosakan tulang rawan.
Bahan kimia dalam teh hijau juga boleh membantu merawat ketuat kemaluan dan mencegah gejala-gejala selesema dan flu.
Lebih bagus daripada kopi
Akademi Perubatan New York yang mengadakan simposium mengenai kesan farmakologi dan fisiologi teh pada tahun 1955 mendapati bahawa teh tidak seperti kopi yang menyebabkan jantung berdebar, insomnia, keletihan dan memberi masalah pada perut jika diminum berlebihan.
Teh merupakan ejen yang baik dalam melegakan kelesuan dan keletihan, membantu proses pemikiran serta pencernaan.
Pelbagai kajian penyelidikan dijalankan ke atas teh memberikan kita kefahaman tentang manfaat teh yang boleh menghindarkan penyakit jantung.
Menurut laporan jurnal Archives of Internal Medicine, wanita di Belanda yang minum satu hingga dua cawan teh mengurangkan risiko aterosklerosis.
Ia merujuk kepada penyakit pada arteri apabila plak-plak berlemak berkembang pada dinding dalam lalu menyebabkan penyekatan aliran darah) yang teruk.
Ia merupakan faktor utama yang menyumbang kepada penyakit jantung koronari. Wanita yang minum lebih daripada lima cawan teh setiap hari mempunyai risiko paling rendah menghidap aterosklerosis.

TEH hijau mengandungi antioksidan yang tinggi mampu melawan radikal bebas.


Melawan kanser
Penyelidik di Institut Penyelidikan Pusat Kanser Saitoma, Jepun mendapati bahawa sel kanser yang menyerang nodus limfa berkurangan dengan amalan mengambil teh hijau secara kerap.
Sementara itu, dalam senario lain, wanita penghidap kanser payudara kurang kritikal yang meminum lebih daripada lima cawan teh hijau sehari, mempunyai 50 peratus kemungkinan masalah tersebut tidak berulang kembali.
Menurut Dr. John Weisburger daripada American Health Foundation, minum teh dengan sedikit susu sebenarnya meningkatkan perlindungan terhadap kanser payudara.
Dalam pada itu, kajian di Britain mendapati bahawa wanita yang minum teh mempunyai tulang yang lebih kuat berbanding mereka yang tidak mengambil teh.
Teh juga mampu meningkatkan metabolisme dan membantu seseorang membakar lebih banyak kalori selain mencegah tanda-tanda penuaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: