Saturday, January 19, 2013

Tradisi menjinak lembu jantan


LELAKI ini sedaya upaya cuba berpaut pada bonggol lembu jantan ini.


JIKA Sepanyol masih teguh dengan tradisi 'permusuhan' matador dan lembu jantan, India juga mempunyai tradisi yang hampir sama. Begitupun, dalam acara yang dijalankan di India khususnya di daerah Tamil Nadu itu, peserta tidak menggunakan sebarang senjata manakala lembu jantan langsung tidak dicederakan.
Sejak era klasik Tamil kira-kira 400 tahun dahulu, pertandingan menjinakkan lembu jantan atau Jallikattu diadakan setiap tahun sempena festival Ponggal. Ia sebenar-benar pertembungan kudrat manusia dan haiwan.
Sejarahnya mengimbas kisah keperwiraan dan keperkasaan para pahlawan lelaki yang mampu menundukkan tenaga lembu jantan liar. Sukan tersebut bukan sahaja menjadi acara adu tenaga yang menghiburkan suatu ketika dahulu, malah gelanggang Jallikattu menjadi medan buat golongan wanita mencari calon suami yang paling hebat.
Secara asasnya, terdapat tiga kategori pertandingan. Pertama ialah dengan melepaskan lembu jantan ke dalam kawasan gelanggang berpagar.
Peserta yang menguji lembu itu akan melompat ke atasnya dan berpaut pada bonggol di belakang badan haiwan itu. Haiwan itu akan berlari, melompat dan menyentak tubuhnya agar peserta itu terjatuh dan markah dikira mengikut tempoh berpaut yang paling lama.

SALAH satu kategori Jallikattu adalah percubaan menundukkan lembu jantan secara berkumpulan.


Kategori kedua adalah melepaskan lembu secara bebas tanpa sekatan pagar. Sesiapa sahaja dari kalangan peserta boleh mengejarnya dan cuba menundukkannya.
Bagi kategori ketiga pula, lembu tersebut ditambat dengan tali sepanjang 15 meter. Lembu itu bebas bergerak dalam lingkungan tambatan tersebut sementara sekumpulan lelaki cuba mengatasi kekuatan haiwan itu sebelum 'menumbangkannya' ke tanah.
Begitupun, sukan tersebut tidak terlepas daripada kontroversi dan bantahan daripada aktivis serta pertubuhan pencinta haiwan. Meskipun lembu jantan yang terlibat dalam festival itu tidak dicederakan, banyak laporan telah dibuat oleh para pemerhati kepada pihak berkuasa.
Sesetengah peserta dikatakan menyapu serbuk lada ke mata haiwan tersebut sebelum ia dilepaskan ke gelanggang. Begitu juga dengan perbuatan memaksa lembu jantan itu meminum alkohol dan menyakiti organ pembiakannya sebelum pertandingan bermula.

BAWAH: Pelbagai aksi lasak dan mendebarkan penonton dapat dilihat di dalam gelanggang.


Semua itu adalah untuk menjadikan lembu jantan itu lebih liar dan ganas seterusnya menghasilkan lebih banyak aksi mendebarkan. Para peserta kemudiannya mengejar kemegahan dengan sedaya upaya 'menjinakkan' haiwan yang dalam keadaan amuk tersebut.
Sepanjang Jallikattu diadakan, ramai orang telah menjadi korban. Pada kurun ke-21 sahaja, kira-kira 12 kematian dilaporkan sementara lebih seribu orang mengalami kecederaan akibat kemarahan lembu jantan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: