Saturday, January 19, 2013

Hidang teh dalam aksi kung fu

SUI TIONG menunjukkan pelbagai jenis teh yang dijual di premisnya.


KEDUA-DUA tangan lelaki berbadan tegap itu kejap memegang 'senjata' istimewanya iaitu teko tembaga yang panjang muncung penuangnya mencecah satu meter. Dalam kilas aksi akrobatik, dia tangkas menghayunkannya secara berganti-ganti di kiri dan kanan tangannya.
Pesona atur langkah lelaki yang mempunyai ketinggian 175 sentimeter itu mengingatkan penulis kepada watak Wong Fei Hong dalam filem-filem aksi seni bela diri yang mampu membuatkan penonton tergamam.
Segak dengan persalinan tang zhuang yang merupakan busana zaman Dinasti Tang, 'senjata' yang dihayun itu kemudiannya diacu ke arah lelaki yang sedang duduk tenang di hadapannya.
Aliran deras air teh memancut keluar mengisi sebiji mangkuk porselin yang kosong lalu ia sedia untuk diminum.
Begitulah rutin harian empunya nama Shan Wen Tao, 36, yang menggalas gelaran Tea Master di Chynna Restaurant, Hotel Hilton Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.
Mungkin kerjaya sebagai Tea Master begitu asing di Malaysia tetapi tidak di tanah kelahirannya, Qingdao, Shangdong, China.
"Tea Master sama seperti pelayan bar yang boleh menampilkan aksi menjugel botol atau bekas-bekas minuman.
"Seseorang Tea Master yang mahir mampu melakukan pelbagai aksi menggunakan teko tradisional muncung panjang sebelum ia dituang ke dalam cawan," katanya.
Mula menjinakkan diri untuk menjadi seorang Tea Master pada usia 23 tahun, Wen Tao kemudian bekerja di hotel di China dalam masa yang sama mempelajari kemahiran dan selok-belok kemahiran daripada Tea Master yang lain selama 10 tahun sebelum merantau ke Malaysia mencari rezeki.
Ujian khusus
"Tempoh masa untuk menjadi seorang Tea Master yang mahir sebenarnya terpulang kepada seseorang individu, tetapi biasanya ia mengambil masa selama dua tahun.
"Seperkara lagi, untuk menjadi seorang Tea Master anda perlu lulus peperiksaan bertulis dan praktikal," ujarnya mengenai peperiksaan yang menyentuh aspek teknikal, kesusasteraan dan pengetahuan mengenai teh itu.
Dalam ujian aksi, setiap gerakan perlu diiringi lagu dan pemberian markah diberikan berdasarkan aksi yang seirama dengan rentak lagu.
Tambahnya, fleksibiliti sangat penting dan untuk menjadi Tea Master yang hebat, seseorang itu perlu menjalani latihan fizikal yang mengambil masa lebih daripada setahun.
"Tea Master bukan dalam kalangan lelaki sahaja, tetapi kaum wanita turut berkecimpung dalam bidang kerjaya ini.
"Sungguhpun begitu, gerakan Tea Master wanita tidak setangkas lelaki kerana gerakannya lebih perlahan, lembut dan sopan," ceritanya yang turut mendedahkan bahawa pendapatan Tea Master lebih lumayan pada lapan tahun lalu berbanding kini.
Walaupun mempunyai pengalaman bertahun-tahun, Wen Tao mengakui mempunyai masalah apabila beraksi pada ruang yang sempit kerana ia akan membataskan pergerakannya.
Sambil menunjukkan muncung teko, Wen Tao memberitahu panjang muncung sesebuah teko bergantung kepada ketinggian seseorang Tea Master.
"Ukuran panjang muncung teko tidak boleh diletakkan sewenang-wenangnya kerana ia akan menyebabkan muncung terseret ke lantai.
"Ukuran yang paling panjang mencecah ukuran 1.2 meter dan teko sebegini digunakan di Szechuan," katanya yang tidak terlepas daripada mengalami kemalangan kecil ketika melakukan latihan di China.

FLEKSIBILITI sangat penting bagi seseorang Tea Master untuk menampilkan aksi-aksi yang hebat.


Pelbagai jenis gerakan dipersembahkan oleh Wen Tao ketika menyambut kunjungan Kosmo!.
Antaranya ialah gerakan shu qin bo jian (gaya menghayun pedang), guo shan liu shui (gaya air dari gunung yang tinggi) dan hui di lao yue (gaya mencapai bulan dari laut). Wen Tao telahpun menguasai 18 gerakan yang diajar oleh sifunya.
Ramuan istimewa
Air di dalam teko tidak boleh diisi penuh ketika melakukan setiap gerakan kerana khuatir terkena kepada pelanggan.
"Setiap gerakan ada namanya dan jika anda perasan ia mempunyai kombinasi wusyu, akrobik dan tarian," ujarnya sambil memberitahu, kandungan dua per tiga air dalam teko teh boleh dihidangkan kepada 10 orang pelanggan.
Wen Tao seterusnya menuangkan teh yang dinamakan teh Eight Treasure (Lapan Khazanah) itu ke dalam mangkuk porselin. Dia santun mempelawa tetamu merasai kemanisan hasil gabungan lapan ramuannya iaitu kurma merah, longan kering, asam keping, beri goji, buah luo han guo, teh jasmin, bunga kekwa, ginseng dan gula batu.
"Kesemua ramuan tersebut dimasukkan ke dalam teko dan kemudian dituangkan air panas ke dalamnya. Tunggu beberapa minit hingga ia mengeluarkan aroma kemudian ditapis dan dituang ke dalam teko tembaga muncung panjang," kata Wen Tao.
Tambahnya, teh dibancuh dalam bekas lain sebelum dimasukkan ke teko muncung panjang bagi mengelakkan bahan-bahan teh tersumbat lalu menjejaskan aliran air yang keluar daripada lubang muncung penuang yang selebar biji sagu bersaiz kecil.
Wen Tao tidak menafikan amalan meminum teh mempunyai khasiat tertentu, namun ia terpulang kepada jenis teh yang diminum. Sebagai contoh, teh Eight Treasure dipercayai baik untuk kesihatan, menyejukkan badan dan menghilangkan keletihan.
Menggalas tanggungjawab sebagai Tea Master, Wen Tao perlu melakukan latihan setiap hari untuk memberikan aksi yang lebih menarik.
"Buat masa ini saya akan terus menjadi seorang Tea Master dan mahu mengajar anak lelaki saya mengikut jejak bapanya," ujarnya tentang anaknya, Shuang Long, 10, yang kini di bawah jagaan isterinya di China

SUI TIONG memberitahu setiap jenis teh mempunyai khasiatnya yang tersendiri.


Singkir toksin
Sementara itu, Lim Sui Tiong, 43, yang menceburi bidang kepakaran teh lebih daripada 20 tahun sejak tahun 1991 memberitahu, masyarakat Cina di negara ini gemar minum teh kerana ia merupakan tradisi ribuan tahun selain mampu meningkatkan tahap kesihatan.
Pemilik premis Qiu Xiang Tea yang berasal dari Ulu Yam, Selangor itu berkata, teh mampu membuang toksin di dalam badan dan mengurangkan tekanan darah.
Menurutnya, di Malaysia sudah semakin ramai peminum teh berikutan kesedaran mengenai khasiat dan kegunaannya.
"Dahulu hanya orang dewasa dan golongan berusia yang gemar minum teh tetapi pada zaman sekarang, golongan muda juga sudah mula minum teh Cina.
"Selain membuang toksin, teh juga dikatakan mampu mengurangkan kolesterol, melancarkan perjalanan darah dan mampu mencegah strok. Walaupun dianggap sebagai minuman berkhasiat, ia tetap tidak boleh menggantikan ubat," katanya yang bagaimanapun mengiyakan kepercayaan bahawa amalan minum teh boleh membantu menambahkan kecantikan dan mengurangkan berat badan.
Tambahnya, pengambilan teh bagus untuk kesihatan jika diamalkan dalam jangka masa panjang tetapi jangan berlebihan.
Katanya, ada segelintir individu tidak boleh tidur selepas minum teh secara berlebihan tetapi masalah tersebut boleh diatasi dengan mengambil makanan atau minuman yang manis.
"Pengguna juga boleh minum teh berdasarkan keperluan, contohnya jika mahu hilangkan kepanasan badan, seseorang itu perlu minum teh jenis sejuk seperti hijau.
"Jika badannya sejuk, dia boleh mengambil teh jenis suam seperti pu'er," ujarnya sambil memberitahu teh wu long dan pu'er menjadi pilihan popular dalam kalangan pelanggan.
Sui Tiong menambah, Qiu Xiang Tea menjual lebih 100 jenis teh termasuk teh di bawah kategori utama seperti teh shui xian, teh tie guan ying, teh da hong pau yang diimport dari China.
Pakar teh itu berpesan, teh jenis aromatik perlu disimpan di dalam peti sejuk bagi mengelakkan rasa dan bau wanginya hilang. Begitupun, teh pu'er tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk kerana bau dan rasanya tidak akan hilang.
"Setiap jenis teh diimport dari tempat-tempat yang berlainan. Contohnya, teh tie guan ying dari An Xian dan Hokkien, manakala teh pu'er pula dari Yunnan.
"Trend pembelian teh dalam kalangan pelanggan tidak tetap. Ada yang beli teh dalam tin dan ada yang beli teh dalam bentuk kepingan (pu'er)," katanya sambil memberitahu teh di premisnya dijual pada harga antara RM10 hingga RM200 mengikut pek bungkusan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: