Friday, January 18, 2013

KRR ukir senyuman anak yatim


SEORANG kanak-kanak kelihatan teruja dengan kehadiran maskot KRR.


KEHADIRAN Ratu Cantik Malaysia 2013, Carey Ng, 23, dan kakitangan restoran makanan segera, Kenny Rogers Roasters (KRR) sempena kempen Wishing Tree ternyata menggembirakan penghuni Rumah Anak Yatim Maahad Tahfis Baitul Ummah, Kuala Lumpur.
Program itu adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) KRR dalam usaha mendekati dan membantu masyarakat yang memerlukan.
Dalam program itu, kanak-kanak dari rumah tersebut bukan sahaja diberi peluang beramah dan berbual mesra bersama Carey, bahkan menyertai pertandingan meniup belon.
Lebih menarik, Carey juga tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut untuk memberi semangat kepada penghuni rumah berkenaan. Kepenatan bermain permainan itu dihargai KRR dengan pemberian hadiah cenderamata untuk mereka yang menjadi pemenang.
Menjelang tengah hari, maka tiba masanya untuk mengisi perut yang lapar dengan sajian lazat dibawa khas dari dapur KRR.
Setiap kanak-kanak dilayani dengan set Kenny's Quarter yang merangkumi nasi aromatik, ayam panggang, salad, kentang putar, mufin dan minuman tropical freeze yang begitu menyelerakan.
Menambahkan lagi kegirangan kanak-kanak itu apabila KRR turut membawa maskot ayam mereka untuk meluangkan masa bersama penghuni rumah anak yatim berkenaan.

KAKITANGAN KRR turut membantu kanak-kanak itu bermain belon dan menyampaikan sumbangan alat tulis.


Kegirangan jelas terpancar pada wajah kanak-kanak tersebut yang teruja bersalam dan mengambil gambar bersama maskot KRR.
Bagi Nurul Balqis Muhammad Firdaus, 12, dia mengakui begitu bertuah kerana berpeluang bertemu dengan seorang ratu cantik yang begitu merendah diri apabila sudi berbual mesra dan mengikuti pelbagai aktiviti bersama mereka.
Menurutnya, selama ini dia hanya mampu melihat ratu-ratu cantik menerusi kaca televisyen.
"Saya tidak sangka akhirnya dapat bertemu dengan salah seorang ratu cantik Malaysia. Lagipun, saya sempat bertanya beberapa soalan kepadanya tentang penglibatannya dalam dunia kecantikan," kata Nurul Balqis sambil memuji kecantikan Carey.
Hulur bantuan
Seorang lagi kanak-kanak, Muhammad Firdaus Muhammad, 11, berkata, dia juga gembira kerana menerima kunjungan daripada pihak KRR.
"Kami semua dihiburkan dengan acara yang telah disusun selain dapat menjamu selera dengan hidangan yang lazat. Ia satu aktiviti yang sangat menyeronokkan," jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Berjaya Roasters (M) Sdn. Bhd, Esther Woo berkata, program tanggungjawab sosial seperti itu sebenarnya sudah dirintis oleh pengurusan restoran berkenaan sejak lapan tahun lalu.

SALAH satu pertandingan meniup belon turut diadakan semasa kunjungan KRR.


"Kempen ini mengingatkan kita supaya menghargai kanak-kanak kurang bernasib baik dengan menghulurkan bantuan kepada mereka.
"Lagipun, dengan adanya program seumpama ini, ia secara tidak langsung dapat menceriakan golongan tersebut," katanya ketika ditemui di Rumah Anak Yatim Maahad Tahfis.
Terdahulu, pihak KRR turut menyampaikan sumbangan berbentuk alat tulis kepada kesemua kanak-kanak itu bagi memulakan sesi persekolahan yang baru dibuka awal Januari lalu.
Bagi Carey pula, beliau terharu dengan pelawaan pihak penganjur ke program tersebut.
"Saya berasa gembira kerana dapat bertemu dengan mereka. Kunjungan kami sekurang-kurangnya menghiburkan anak-anak ini," tuturnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: