Friday, January 18, 2013

Mahu galakkan anak muda berjubah

YUSLIDAWATY menunjukkan
dua helai jubah daripada koleksinya.


PESONA wanita yang mengenakan persalinan jubah berwarna merah jambu berserta hiasan sulaman menarik dengan hijab coklat keemasan ternyata mencuri perhatian.
Pemilik butik Jumana dan butik maya, JubahOnline.com, itu kelihatan sangat bergaya walaupun hanya mengenakan jubah.
Menyingkap pembabitannya dalam perniagaan busana muslimah, Yuslidawaty Abdul Khalid, 37, memberitahu segalanya bermula apabila dia mengikut suaminya menetap di Kaherah, Mesir selama empat tahun atas urusan kerja.
“Saya gemar membeli-belah dan suka mengenakan jubah. Apabila berada di sana, saya begitu teruja dan rambang mata melihat pilihan jubah dengan pelbagai fabrik dengan warna-warna ceria kerana sebelum ini kita sedia maklum bahawa rona hitam sinonim dengan jubah.
“Gemar dengan reka corak dan warnanya, saya mula berkongsi dengan rakan-rakan melalui internet dan mereka mula membuat pesanan,” kata ibu kepada tiga orang anak ini.
Ujarnya, ketika menetap di sana, dia dan keluarga akan pulang ke Malaysia setahun sekali membawa bersama beg-beg yang sarat dengan jubah yang dipesan rakan-rakan dan ahli keluarga.
Melihatkan jualan jubah dari Kaherah yang dijualnya laku bak goreng pisang panas, walaupun dijual dalam kalangan keluarga dan sahabat handai, membuatkan Yuslidawaty cuba untuk berjinak-jinak meluaskan pasaran dengan menjualnya secara dalam talian atas saranan rakan-rakan.
Mula menemui pelanggan secara dalam talian pada tahun 2008, Yuslidawaty yang merupakan pengurus bersama Jumana Couture Sdn. Bhd., mengambil risiko membeli stok jubah untuk dihantar ke Malaysia.

YUSLIDAWATY bersama tiga orang anaknya.


“Kos penghantaran dari Malaysia lebih murah berbanding saya terus membuat penghantaran dari Mesir kepada pelanggan. Saya tidak mahu pelanggan terbeban dengan kos.
“Segala stok jubah saya tinggalkan kepada kakak ipar dan saya akan maklumkan pesanan kepadanya dari Kaherah sebelum dia menguruskan penghantaran pos kepada pelanggan,” jelasnya.
Bina keyakinan
Anak kelahiran Alor Setar yang dibesarkan di Kuala Lumpur itu pulang ke tanah air pada 2009 dan pada ketika itu dirinya langsung tidak berniat untuk membuka premis menjual busana Muslimah.
Namun, bagi membina keyakinan para pelanggan terhadap produknya, Yuslidawaty yang ketika itu menetap di Sungai Petani, Kedah mengambil risiko untuk berbuat demikian.
Yakin dengan produk jualannya yang unik dan lain daripada yang lain, Yuslidawaty membuka premis pertamanya iaitu Jumana by JubahOnline.com pada bulan Disember 2010 di Sungai Petani.
“Penerimaan pelanggan pada ketika itu sangat bagus kerana pada 2010, pemakaian jubah sudah menjadi satu trend.
“Selepas dibuka selama dua minggu di Sungai Petani, saya berpindah ke Kuala Lumpur kerana mengikut suami yang bekerja di sana,” katanya yang membuka butik kedua di Kota Damansara, Petaling Jaya selepas lima bulan membuka butik sulungnya.
Keputusan membuka premis di Kuala Lumpur dilakukan memandangkan ramai pelanggannya datang dari Lembah Klang.
Menyifatkan pemilihan lokasi di Kota Damansara sebagai strategik, Yuslidawaty menjual jubah bukan kerana keuntungan semata-mata. Lebih daripada itu, dia mahu menggalakkan para wanita memakai busana tersebut.
Dengan koleksi jubah Jumana, tiada lagi istilah jubah sebagai busana ketinggalan zaman kerana ia menawarkan pelbagai warna dengan potongan dan reka corak yang lebih segar.
Jubah-jubah Jumana dijual dari harga RM99 hingga RM899 sehelai dan ia didatangkan dalam material fabrik 100 peratus kapas, kapas campuran, satin kapas, krep dan sutera satin dengan menawarkan lebih 50 jenis reka corak.
Koleksi kanak-kanak
“Kami letakkan harga yang berpatutan supaya anak-anak muda mampu memiliki jubah jenama Jumana dalam masa yang sama mempromosikan cara yang betul memakai jubah dan tudung mengikut syariat.
“Saiz jubah yang dijual di sini besar sedikit daripada saiz standard Malaysia iaitu bermula daripada saiz S hingga saiz XXXL. Saiz XXXXL juga ada tetapi bilangannya tidak banyak,” ujarnya sambil memberitahu sasaran pasaran dalam kalangan wanita berusia 20 hingga 50 tahun ke atas.
Menurutnya, satu-satu reka corak jubah tidak dijual dengan kuantiti yang banyak. Oleh yang demikian, dia menyarankan para pelangga agar berkunjung ke butiknya dua bulan sekali untuk melihat reka corak yang baharu.
Selain menawarkan jubah untuk wanita, butik Jumana juga menjual jubah kanak-kanak, blaus panjang, pakaian umrah, stokin lengan, tudung dan jubah lelaki selain menyediakan perkhidmatan penyewaan busana pengantin Arab.
Cabaran berniaga
Banyak cabaran yang ditempuh oleh wanita ini lebih-lebih lagi apabila berurus niaga dengan ‘Pak Arab’ yang banyak fiilnya.
Ceritanya, dia pernah bertegang urat dengan pembekal dari tengah hari hingga ke petang gara-gara tidak berpuas hati dengan kualiti barangan.
“Pembekal tersebut memberitahu bahawa dia tidak pernah jumpa orang macam saya yang sanggup memeriksa ratusan helai jubah satu persatu.
“Pengalaman tersebut membuatkan pembekal-pembekal di sana lebih berhati-hati apabila berurusan dengan saya yang cerewet apabila menyentuh bab kualiti,” katanya yang berkunjung ke Mesir dua hingga tiga kali setahun untuk memilih reka corak dan fabrik.
Kejayaannya hari ini hingga tersergamnya dua buah butik, bukanlah usaha sehari dua. Baginya, tanpa sokongan suami dan ibunya, Norhayatte Mustaffa, 59, tidak mungkin ia menjadi realiti.

BUTIK Jumana menawarkan pelbagai jenis jubah pada harga yang berpatutan.


Baginya, seseorang yang melibatkan diri dalam bidang perniagaan bukan sahaja memerlukan modal yang besar, malah pengetahuan luas juga penting selain mempunyai ketahanan mental dan fizikal.
Bermula dengan modal RM100,000 untuk pembukaan butik, dekorasi hiasan dalaman dan segala urusan perniagaan dilakukannya sendiri dengan dibantu oleh ibu dan suaminya.
Ternyata usahanya berbaloi kerana ada pelanggannya yang sanggup memandu jauh dari Singapura semata-mata untuk mengunjungi butiknya selain mendapat permintaan daripada rakyat Malaysia yang bermastautin di luar negara seperti di United Kingdom, Australia, Jepun dan sebagainya.
“Pelanggan dari Sabah dan Sarawak juga akan ke butik jika ada urusan di Semenanjung.
“Hasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan membuka cawangan butik di beberapa buah negeri memang ada, tetapi saya berhadapan dengan isu kekangan tenaga kerja,” katanya yang mahu membuka butik di Pantai Timur, Selatan tanah air, Sabah dan Sarawak dalam masa setahun dua.
Sungguhpun begitu, sesiapa yang berminat untuk menjadi ejen jualan amat dialu-alukan, namun mereka yang berminat perlu memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: