|
HONG HON KEONG, 36, pada siang hari bertugas sebagai pengatur cara komputer di Cheras, Kuala Lumpur sementara S. Kugan, 20, bekerja sebagai pelayan pusat hiburan. Namun pada sebelah malam, kedua-dua orang awam itu mempunyai misi yang sama iaitu membantu polis memerangi jenayah.
Sebagai Sukarelawan Simpanan Polis (SSP), mereka sebagai mata dan telinga pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Walaupun memakai pakaian seragam, peranan sukarelawan ini dilihat agak kurang menonjol sehinggalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan bajet 2013 pada 28 September lalu.
Sejak itu singkatan SSP atau The Police Volunteer Reserve (PVR) dalam bahasa Inggeris mula kedengaran.
Usaha memperkasakannya kini giat dijalankan dengan penambahan anggota baharu sehingga 10,000 orang.
Walaupun hanya anggota sukarelawan polis, namun mereka berganding bahu membantu menjaga keamanan dan ketenteraman awam.
Masyarakat berdisiplin
Mereka melakukan rondaan di kawasan perumahan yang berisiko tinggi berlaku jenayah selain membantu operasi polis di daerah masing-masing.
Berkongsi pengalaman dengan Komandan SSP Kontinjen Kedah Supritendan Rozali Abd. Ghani, yang telah tiga dekad menyertai SSP, usaha memperkasakan SSP sudah lama dinantinya.
"Mungkin sebelum ini, peranan SSP tidak dilihat secara serius. Setelah Perdana Menteri umumkan untuk menambah keanggotaan, sudah mula nampak gelombang baharu dalam SSP sejak lima bulan kebelakangan ini.
"Ia sesuatu yang positif kerana SSP mampu membentuk masyarakat yang berdisiplin dan memahami serta menghormati undang-undang di negara ini," katanya yang kini bertugas di Majlis Bandaraya Alor Setar, Kedah.
Mula berkhidmat sebagai konstabel dalam SSP pada tahun 1982, Rozali menjelaskan penambahan keanggotaan SSP membantu meningkatkan kehadiran berterusan polis terutamanya di lokasi-lokasi panas.
Di Kedah, terdapat 325 anggota dan pegawai SSP yang digerakkan di setiap daerah dan balai untuk membantu melakukan tugas rondaan, mengawal bit atau membuat sekatan jalan raya serta operasi trafik pada malam minggu.
Namun, jumlah itu masih belum mencukupi untuk mengoptimum peranan yang dimainkan oleh anggota dan pegawai SSP di setiap daerah serta balai yang mereka ditempatkan.
Dengan penambahan 10,000 anggota yang diumumkan baru-baru ini, terdapat 750 kekosongan dibuka untuk Kontinjen Kedah.
"Ini menunjukkan ramai golongan belia yang mahu membantu polis menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat sekali gus menurunkan kadar jenayah," katanya yang meminati kerjaya polis sejak kecil.
Berkongsi pandangan yang sama, Komandan Kontinjen Johor, Supritendan Ahmad Mustafa. Menurut beliau, penambahan keanggotaan membolehkan lebih banyak tugasan dilakukan selain membantu menampung kekurangan anggota tersebut.
Menurutnya, rondaan yang lebih kerap dapat mencegah jenayah selain mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap jenayah.
Mencari maklumat dan menjadi mata dan telinga polis antara tanggungjawab yang turut dipikul anggota SSP.
Jadi maklumat itu boleh disalurkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya bagi menjaga keselamatan awam.
"Dengan cara ini tindakan pencegahan seperti menempatkan lebih ramai anggota di lokasi-lokasi yang sering berlaku jenayah dapat mengurangkan jenayah," katanya dan menambah Johor kini mempunyai seramai 550 anggota SSP.
Elaun kerja
Elaun seorang pegawai ialah RM7.80 sejam dan bagi anggota pula sebanyak RM6 sejam. Mereka hanya boleh menuntut elaun kerja maksimum 96 jam setiap bulan meskipun kebanyakan anggota yang bertugas lebih daripada masa yang dihadkan.
Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur baru-baru ini menerima 165 anggota baharu SSP bagi Kontinjen Kuala Lumpur.
Ia merupakan pengambilan siri kelima dan mereka menjalani latihan sesi pengenalan dan asas undang-undang selama tujuh hari.
Selepas seminggu latihan, mereka akan diserahkan ke kontinjen sebelum diagihkan ke Ibu Pejabat Daerah P olis yang berdekatan dengan kediaman masing-masing bagi memulakan latihan sambil kerja. Bagi Hon Keong penyertaannya dalam SSP adalah untuk merealisasikan impian menjadi seorang anggota polis.
Lelaki yang mempunyai seorang cahaya mata itu mahu mengubah persepsi kaum Cina yang memandang serong kerjaya polis.
"Dengan cara ini juga mungkin saya boleh perbetulkan pandangan anggota masyarakat terutama mereka yang rapat dengan saya selain misi utama untuk membantu menjaga keselamatan di kawasan rumah saya yang sering berlaku kes pecah rumah," katanya yang tinggal di Taman Len Seng, Cheras.
Sementara itu seorang anggota SSP yang hanya mahu dikenali sebagai Kugan berharap pengalaman dalam SSP akan membuka jalan kepada beliau menyertai pasukan polis sebagai anggota tetap suatu hari nanti.
"Saya seorang yang agak nakal hingga sering menimbulkan kebimbangan keluarga, saya berharap disiplin yang diterapkan dalam SSP akan mengubah diri saya menjadi pemuda yang lebih baik.
"Saya mahu menyumbang sesuatu kepada negara dan menjadi kebanggaan keluarga," kata anak sulung dua beradik yang kini menetap di Selayang, Batu Caves, Selangor.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: