PULAU PINANG 7 Feb - Menyedari kurangnya pemahaman masyarakat tentang ubat-ubatan generik, Universiti Sains Malaysia (USM) menerbitkan sebuah buku bertajuk Apakah Yang Anda Perlu Tahu Tentang Ubat Generik yang mengandungi maklumat lengkap mengenai ubat-ubatan generik.
Penulis buku tersebut, Profesor Madya Dr. Mohamed Azmi Ahmad Hassali berkata, adalah penting orang ramai didedahkan dengan ubat berkenaan bagi mengatasi salah faham mengenainya.
Beliau yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF) USM menjelaskan, ubat generik mempunyai ciri-ciri kualiti, keselamatan dan keberkesanan yang sama dengan produk berjenama di pasaran.
"Penting untuk pengguna didedahkan kepada penggunaan ubatan generik kerana tidak semua masyarakat benar-benar memahami ubat berkenaan, malah ada juga yang beranggapan ubat generik berada pada kualiti yang jauh lebih rendah daripada ubat asal.
"Menyedari kurangnya pemahaman pengguna, USM melalui PPSF tampil dengan buku ini yang menceritakan pelbagai fakta berkaitan ubatan generik, termasuk definisi terma berkaitan, maklumat umum dan panduan yang amat membantu dengan bahasa paling mudah dan ringkas,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku tersebut di sini baru-baru ini yang disempurnakan oleh Dekan PPSF, Profesor Syed Azhar Syed Sulaiman.
Dua lagi penulis buku berkenaan ialah Dr. T. Jayabalan dan Dr. Asrul Akmal Shafie.
Sementara itu, Syed Azhar memberitahu, beliau berharap buku tersebut dapat dijadikan sumber maklumat kepada masyarakat umum, selain boleh menambah pengetahuan mengenai ubat generik dan perkara-perkara lain berkaitan dengannya.
Buku tersebut diterbitkan dalam dwibahasa dan boleh diperolehi di Koperasi Kedai Buku USM dan kedai buku MPH Distributors Sdn. Bhd. pada harga RM10 senaskah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: