TUJUAN saya bercerita bukan nak salahkan sesiapa, tetapi ingin berkongsi pengalaman semoga jadi iktibar kepada wanita lain supaya tak jadi macam saya. Kalau nak tolong suami berpada-pada, tolong diri sendiri dulu sebab suami sekarang bukan macam ayah kita yang berkorban untuk keluarga.''
Menurut Nornajwa, dia berkahwin selama 30 tahun tetapi sudah dua kali bercerai sebab tak tahan dengan perangai suami.
''Saya tak mahu burukkan suami saya Jay pada saudara mara. Saya tolong dia cari duit dengan berniaga kecil-kecilan, sayangnya Jay semakin ditolong dia nak pijak kepala saya. Lagipun siapa percaya Jay yang bergaji tetap tak ada duit?
''Suami orang lain bertanggungjawab beri isteri makan, tapi saya terpaksa balik rumah emak minta bantuan. Lepas beranak satu, hidup semakin sempit. Nak beli susu anak pun tak ada duit. Takkan nak minta duit emak lagi. Jadi saya buat kuih jualan demi anak. Sebab Jay setiap bulan bawa balik tak sampai RM80. Katanya dia banyak hutang.
''Mula-mula jual kuih sejenis dua, lepas tu tambah nasi lemak bungkus dan ambil tempahan juga. Dengan duit jual kuih, saya boleh beli susu dan makanan anak. Bila ada duit, Jay terus lepas tangan. Hingga anak tiga, kebanyakan urusan rumah dan belanja sekolah saya pikul.
''Punca Jay tak ada duit dia kaki 'baca kitab', sebut aja daun apa, semua dia tahu. Dia gila berjudi. Makan minum anak-anak dia tak ambil tahu. Tapi saya tak pernah cerita pada emak bapa atau adik-beradik kerana tak mahu jatuhkan air muka Jay.
''Ceti pernah datang rumah tagih hutang. Akhirnya saya yang kena bayar setiap bulan. Saya kena bantu supaya Jay tak diberhenti kerja.
''Malangnya semakin saya tolong dia semakin ligat. Bila anak semakin besar, dia ada hobi baru, suka main cinta. Orang lain semakin tua nak kumpul duit beli rumah untuk persediaan bersara tapi Jay ligat bercinta.
''Saya sentiasa ikut kalau pindah. Kami pernah tinggal di Labuan, Johor dan utara. Jadi kalau alasannya bercinta kerana jauh daripada isteri, itu tak benar. Cuma masa dipinjamkan ke Subang, di situ dia jumpa Azie seorang ibu tunggal.
''Saya pernah hubungi Azie ceritakan siapa Jay sebenarnya tapi Azie tak percaya. Saya tak pernah jumpa dia tetapi anak-anak yang kebetulan ada di KL jumpa Azie. Mereka ceritakan semuanya. Bahawa Jay bukan duda, ada tiga anak, dia tak ada BMW atau rumah banglo dan bukan pegawai tinggi.
''Saya fikir tentu Azie marah dan mereka putus, malangnya entah apa Jay bohong, hubungan mereka diteruskan juga hingga kini di samping kekasih barunya.
''Jay berhenti kerja selepas 20 tahun berkhidmat. Dengan sedikit duit berhenti kerja kami buat deposit beli apartmen di utara, dia janji bayar setiap bulan. Kalau masa bekerja hidup susah, dah berhenti kerja dengan pencen tak seberapa tentu kami tambah susah. Tapi dia rajin cari kerja. Saya fikir tentu hidup kami lega sikit, tetapi dia masih gila bercinta.
''Saya pernah tanya Jay bila dia nak berubah, tak cukupkah saya bantu dia cari duit dan besarkan anak-anak, tetapi Jay nafikan tenaga, pengorbanan dan duit ringgit yang saya curahkan kepadanya. Malah dia kata saya menyusahkan hidupnya. Saya rasa amat sedih dan kecewa. Anak yang dengar kata-kata kesat ayahnya suruh saya berhenti buat kuih. Katanya tak guna tolong orang yang tak tahu kenang budi.
''Atas bantuan kawan, Jay dapat kerja dengan PLKN, yang peliknya dia tak pulang ke rumah hampir setahun. Alasan Jay, dia sibuk walaupun ada cuti panjang Krismas, Tahun Baru Cina atau hari raya. Kata Jay kem PLKN rumahnya. Rupa-rupanya di situ ada komputer dan dia sibuk bercinta dalam Facebook, chatting dan entah apa lagi.
''Di situ dia kenal Ct isteri orang. Rahsianya terbongkar bila kawan anak saya nampak gambar wanita dengan Jay. Tapi bila tanya Jay, dia sanggup bersumpah menafikan. Melalui khidmat friendfinder saya jejaki telefon Jay. Katanya bekerja, tapi dia ada di PP.
''Saya dan anak jejaki dia di hotel. Petugas kaunter sahkan Jay dah dua malam menginap dengan 'isterinya'. Kerana sakit hati tertipu, saya buat laporan polis dan pegawai pencegah maksiat. Dia ditangkap basah dan dibuang kerja.
''Esoknya kami ke hotel tersebut dan dapati mereka masih di situ. Langsung tak takut dan malu ditangkap basah semalamnya. Saya terus minta cerai depan wanita tersebut dan Jay setuju. Dua minggu kemudian dia rujuk semula.
''Apabila tak bekerja, baru dia duduk rumah. Saya yang kesian minta tolong kawan dan Jay dapat kerja di Sabah. Waktu itu dia ajak saya temankan. Dia juga merayu bantuan saya untuk bayar denda Mahkamah Syariah. Memikirkan dia dah insaf kerana usia pun dah 50 tahun, saya janji akan carikan RM3,000. Apabila saya setuju bayar, dia suruh saya balik kononnya kesian kat anak.
''Rupa-rupanya dia panggil Ct datang temankan dia. Walaupun saya bayarkan denda RM3,000 tetapi Jay tegah saya ke mahkamah. Mengikut cerita kawan yang jadi penjamin, Jay mengaku depan hakim akan kahwin selepas Ct bercerai.
''Satu hari Jay tertinggal pen-drive. Apa lagi anak-anak pun buka dan lihat gambar mereka yang amat memalukan. Dengan semua bukti yang ada, saya tak boleh maafkan dia lagi. Saya minta cerai setelah enam bulan kami rujuk.
''Saya tak mahu bersubahat dengan maksiatnya. Saya juga telefon suami Ct dan ceritakan apa yang berlaku. Saya kirimkan gambar sebagai bukti. Suatu hari saya terima panggilan daripadanya memberitahu dia sudah ceraikan Ct. Katanya dia tak mahu simpan biawak lagi.
''Saya tak pernah tegah Jay kahwin lagi, tapi dia memang tak mahu kahwin. Azie hingga kini lebih 13 tahun menunggunya, begitu juga Ct dah lebih setahun bercerai tapi Jay masih tak ambil dia jadi isteri. Kerana apa? Kalau bukan kerana perangai Jay lebih suka bercinta daripada berkahwin. Bagi saya biarlah Jay terus mencari apa yang diidamkannya.
"Saya tidak pernah kesal dengan perceraian ini sebab saya telah jalankan amanah sebagai isteri dan ibu. Saya rela hilang rumah yang kami diami kerana dilelong bank, tapi saya tak boleh hilang anak-anak. Hanya Allah boleh pisahkan kami. Dulu saya takut kena cerai tapi kini saya tak mahu bersubahat dengan dosanya lagi. Selepas bercerai saya boleh berdikari kerana bantuan anak-anak, merekalah segalanya dalam hidup saya.'' Itu cerita Nornajwa yang bercerai setelah 30 tahun berkorban demi seorang suami.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: