Sunday, February 26, 2012

Chomell obses fesyen gila-gila




SEWAKTU melangkah masuk ke kediaman pelantun lagu BFF ini di Sri Subang, penulis tergamam melihat koleksi kasutnya yang tersusun rapi dalam rak.

Bukan saja kerana jumlahnya yang boleh dibuka sebuah kedai itu, tetapi juga kerana bentuk dan coraknya yang unik, berbeza dengan koleksi tipikal wanita seusianya.

Daripada but merah jambu terang, kasut sarung bertumit tinggi enam inci, but tumit tinggi corak harimau bintang, hingga ke pelbagai jenis dan warna kasut sniker, ia menyerlahkan kegilaan si comel Chomell Fana ini terhadap fesyen yang unik.

Tidak cukup koleksi kasutnya yang lebih daripada 100 pasang, wanita berusia 26 tahun ini turut mengumpul ratusan aksesori pelbagai gaya yang disimpan rapi dalam beberapa buah kotak serta topi dan tali pinggang pelengkap gaya uniknya itu.

“Saya memang pantang melihat kasut dan aksesori yang unik terutama yang berwarna-warni, pasti saya akan beli dan ia satu tabiat yang sukar dikikis sejak zaman sekolah lagi.

“Tidak kisah kasut itu sesuai dengan gaya hip hop, funky, Lolita, Gothik atau apa saja, saya akan beli asalkan berkenan terutama fesyen yang jarang dipakai orang lain,” kata Chomell sambil mengikat tali kasut berlampu kelip-kelip pada kasut sniker yang disarungnya.

Antara kasut kegemarannya tumit tinggi empat inci yang bertapak ala but jenama Pedro kerana ia amat selesa dan sesuai dengan pelbagai gaya.

Demi memenuhi tuntutan hobi berfesyen itu, Chomell sering ‘memburu’ kasut dan aksesori di butik pakaian Jepun, barangan vintaj, bundle, malah melalui butik online dan ada juga yang dihadiahkan rakan-rakannya.

Cerita pelakon dan pengacara ini, hobi mengumpul kasut dan aksesori yang ‘pelik’ dilakukannya sebelum bergelar artis lagi.

“Karakter saya dalam drama Comel arahan Aziz M. Osman yang juga lakonan pertama saya adalah watak dan gaya sebenar saya iaitu ‘sporty’ dengan gaya tersendiri.

“Apabila masuk industri seni, lagi bertambah alasan saya menambah koleksi,” ujar bekas pemain bola sepak wanita Malaysia B itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: