Monday, February 27, 2012

5,000 banjiri Festival Dram Dunia


RAJA Dr. Nazrin Shah memukul gong tanda perasmian penutup Festival Dram Dunia Royal Belum 2012 sambil disaksikan Zambry (kanan) di Lapangan Terbang Gerik malam tadi.


GERIK – Festival Dram Dunia Royal Belum 2012 yang berlangsung sejak enam hari lalu menutup tirainya malam tadi dengan penuh meriah di Lapangan Terbang Gerik di sini.

Persembahan kesemua 12 pasukan dari 10 negara berjaya memukau lebih 5,000 pengunjung yang membanjiri lokasi festival.

Pasukan terlibat memberikan persembahan penuh bertenaga meskipun sebahagian besar mereka agak keletihan kerana baru sahaja membuat persembahan pada Malam Gala yang berlangsung di Dataran Bandaraya Ipoh.


SEBAHAGIAN daripada ribuan pengunjung yang menonton persembahan pada hari terakhir Festival Dram Dunia Royal Belum 2012 di Lapangan Terbang Gerik malam tadi.


Tiga wakil negara, Kuala Lumpur Drumline Corps, Dhol Federation dan White Percussion Unit berjaya membuktikan kehebatan mereka dan menerima tepukan gemuruh penonton.

Kumpulan-kumpulan antarabangsa seperti Saratuspersen (Indonesia), Absolute Thai (Thailand), Rhytm Masala (Singapura), Wakaido Syo (Jepun) dan U Ri So Ri (Korea Selatan) juga tidak kurang hebatnya.

Kolaborasi jitu jelas terpancar sepanjang persembahan melibatkan kumpulan Bonita (Vietnam), Malwa Sabhyacharak Club (India) dan Capoeira Camara (Brazil) yang mempersembahkan unsur tarian masing-masing.

Apa yang pasti, seperti persembahan pada siri jelajah di Taiping, Lumut, Kuala Kangsar dan Ipoh sebelum ini, kelibat wakil dari Azerbaijan, Natiq Rhythm Group bagai dinanti-nantikan pengunjung.


PASUKAN dari Malaysia, Dhol Federation membuat persembahan pada hari terakhir Festival Dram Dunia Royal Belum 2012 di Lapangan Terbang Gerik malam tadi.


Dengan gaya bersahaja, paluan kumpulan itu menerima sambutan hangat bahkan ramai yang bertepuk tangan mengiringi persembahan mereka.

Majlis yang bermula pada pukul 8.45 malam diserikan dengan kehadiran Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang berkenan merasmikan upacara penutup festival.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Exco Kanan, Datuk Hamidah Osman dan pimpinan kerajaan negeri lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: