PEPERANGAN selama empat minit di antara robot memberi pengalaman baru yang mengujakan kepada pengunjung Universal Studios Singapura di pulau Sentosa selepas Transformers The Ride dilancarkan pada 3 Disember lalu.
Pengunjung yang menaiki kenderaan The Ride yang diberi nama Evac pasti berpuas hati apabila dapat merasai pengalaman berperang di antara robot seperti aksi di dalam filem Transformers.
Permainan ini sungguh menghiburkan kerana memberi kegembiraan dan kepuasan tidak terhingga kepada pengunjung selepas merasai pengalaman perang di antara kumpulan baik yang diketuai Autobots dengan watak jahat, Decepticons selama empat minit di dalam kenderaan yang direka khas.
Kesan lebih tinggi dapat dirasai apabila pengunjung menggunakan kaca mata 3D yang memberi kesan sebenar seperti benar-benar berada di dalam peperangan.
Transformers The Ride dibina dalam zon Sci-Fic City dilancarkan oleh Pengerusi Resort World, Tan Sri Lim KokThay bersama Pengarah Transformers, Michael Bay.
Penulis dan wakil media seramai 100 orang dari seluruh dunia diberi pengalaman berharga apabila menikmati pengalaman menaiki kenderaan autobot itu yang bermula dari awal cerita sebelum menikmati peperangan antara robot.
Keterujaan penulis dapat dirasai apabila berpeluang menaiki kenderaan itu sebanyak tiga kali dan merasai peperangan alam robot sebenar.
Kenderaan Evac dapat memuatkan 12 penumpang bagi menyelamatkan Allspark dengan memulakan perjalanan mendebarkan apabila merasai bahang peperangan, termasuk pantulan cahaya api dan kesan peluru yang hadir dari kaca mata 3D.
Dengan melalui bangunan tinggi, terowong gelap dan terbang di awan membuatkan jantung penumpang Evas berdegup kencang apabila bedilan pihak lawan seakan-akan sebenar di depan mata.
Kesan bunyi dan kesan khas menjadikan suasana di dalam Evac bertambah gamat dan pengunjung akan merasai seperti berada di dalam filem Transformers.
Namun, pengalaman itu tidak menyerikan, malah menarik pengunjung untuk naik buat kali kedua.
Semua 11 watak filem diwujudkan dalam permainan iaitu Optimus Prime, Bumblebee, Megatron, Sideswipe, Ravage, Wheelie, Sideways, Bonecrusher, Grindor, Starcream dan Devastator.
Evac direka khas dengan menggunakan teknologi canggih yang disiapkan selama empat tahun dan boleh berubah kepada tiga bentuk iaitu hybrid, kenderaan di jalan raya dan robot.
Selesai melalui siri peperangan, pengunjung berpeluang membeli cenderahati di kedai Transformers sebagai kenangan mengunjungi Universal Studios Singapura dengan harga berpatutan.
Pengunjung juga boleh merasai kegembiraan dengan beberapa permainan lain, termasuk Roller Coaster, Shrek, Shrek 4-D Adventure, Madagascar, The Mummy, The Lost World dan WaterWorld.
Di WaterWorld, pengunjung dapat menyaksikan pertunjukan luar biasa yang menampilkan cerita dari filem WaterWorld, iaitu pertempuran di antara Mariner dengan Kapten Botak yang mahu menyelamatkan kekasihnya Helen.
Persembahan ini dipenuhi adegan ngeri, termasuk percikan api, kepulan asap, tembakan mengenai air hingga pesawat terbang yang masuk ke dalam arena yang sebenar-benarnya terjadi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: