Sunday, February 26, 2012

Hidangan Uzbekistan di Le Chateau de Puah




SIAPA sangka di sebalik kesibukan Jalan Gombak, terdirinya sebuah restoran berupa banglo dengan landskap dan tata hias yang mendamaikan.

Jika menyelusuri jalan itu, perhatikan papan tanda kecil menunjukkan arah ke Jalan Puah dan di dalam kawasan perkampungan itulah tersergam indah sebuah bangunan ala binaan Perancis iaitu Restoran Le Chateau de Puah.

Restoran yang menggunakan kayu dan batu-bata sebagai asas binaan itu dilengkapi kolam ikan serta tumbuhan menghijau yang menggamit perasaan pengunjungnya.

Tambah istimewa, restoran yang diasaskan oleh Razali Noor ini menjadikan hidangan Uzbekistan sebagai menu utamanya.

“Istimewanya hidangan Uzbekistan ini adalah masakan yang berkhasiat kerana tidak menggunakan minyak serta santan.

“Masakan Uzbekistan amat ringkas. Roti dan nasi mendominasi sejajar status makanan ruji dan hidangan mereka tidak mengandungi banyak lemak, garam, gula dan juga perasa.

“Chef-chef kami diterbangkan khas dari Uzbekistan bagi mengekalkan keaslian menu negara itu,” ujarnya yang mengusahakan Restoran Le Chateau de Puah sejak 2006.

Hidangan Asia Barat itu tidak pernah mengabaikan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam setiap menu.

Sambil lepak di ‘choyhana’ iaitu tempat duduk bersila khas ala pangkin dipenuhi karpet dan tebaran kusyen, melengkapkan suasana ala Timur Tengah. Hidangan kebab, palov iaitu nasi bukhara ayam, stew kambing Samarkand, roti Taliban, somsa, manti dan sup chuchvara. menjadi pelengkap gaya.

Palov yang dimasak bersama lobak merah, kacang kuda dan beberapa rempah istimewa turut dihidangkan bersama ayam mokhara, telur, kentang kukus dan salad.

Andai tidak mahu menjamah nasi, boleh memilih roti Taliban yang berintikan daging hancur bercampur rempah yang seakan-akan murtabak tetapi tidak berminyak.

Selain Uzbekistan, masakan Itali serta pelbagai menu tempatan turut disajikan di restoran tersebut.

Sudah kenyang dengan hidangan di Le Chateau de Puah, anda boleh merehatkan badan dengan pakej-pakej urutan, rawatan wajah serta sauna di Spa De Mechinta Sauna yang bergabung dengan restoran tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: