Sunday, February 26, 2012

Rahsia putik Capers




CAPERS merupakan salah satu bahan makanan yang popular untuk hidangan Barat. Ia adalah kuntum-kuntum bunga dari pokok semak Capparis Spinosa yang masih belum berkembang dan berwarna hijau.

Pokok capers merupakan tumbuhan semak yang berduri biasanya tumbuh meliar. Tumbuhan belukar ini didapati banyak tumbuh secara meliar di negara-negara Mediterranean dan kini telah ditanam secara komersial di Itali, Sepanyol, Greece dan Perancis.

Tunasnya dituai antara Mei dan Ogos dan dipetik pada awal pagi sebelum tunas mempunyai masa bertukar menjadi sekuntum bunga.

Ia juga ada didapati tumbuh di bahagian Asia tengah. Tumbuhan Capers dan buah berinya telah lama digunakan selama berkurun-kurun sejak dari zaman purba Greeks dan orang-orang Rom.

Pada mulanya mereka menggunakannya untuk tujuan-tujuan kesihatan tetapi lama-kelamaan ia digunakan secara meluas dalam masakan.

Selepas kuntum-kuntum bunga Capers dituai ia akan dikering atau dijeruk dalam cuka dan air garam. Saiz putik-putik bunga Capers bergantung kepada grednya iaitu dari bersaiz sekecil kacang hijau dan ia boleh mencapai sehingga sebesar buah zaitun yang matang. Saiznya yang berbeza membuatkan ia digunakan mengikut jenis makanan apa yang ingin dimasak.

Saya percaya mesti ada yang baru hari ini mengenali Capers dan tidak biasa dengan bahan makanan ini.

Walaupun negara kita tidak mempunyai tumbuhan ini, kita masih boleh mendapatkan dalam bentuk jeruk yang telah dibotolkan.

Anda boleh mencarinya di pasar raya-pasar raya besar yang berdekatan dengan anda. Anda juga mungkin tertanya-tanya apakah kegunaan sebenarnya Capers ini dan bagaimana rasa.

Rasanya agak luar biasa kadang-kadang rasa yang anda perolehi itu agak sukar untuk digambarkan dengan kata-kata apabila mengunyahnya.

Capers yang dijerukkan menghasilkan aroma yang sedikit tajam, rasanya pula ada sedikit pedas-pedas, masin-masin dan masam.

Anda mungkin pernah merasa Capers yang dicampurkan dalam makanan tetapi anda tidak boleh mengenalinya kerana telah bercampur dengan bahan makanan lain.

Capers ini banyak digunakan dalam masakan-masakan Barat terutama dalam makanan Itali. Kegunaannya yang pelbagai membuatkan ia banyak digunakan dalam sejumlah resipi sos pasta.

Lain-lain cara yang agak popular juga sering digunakan untuk membuat sos atau kuah-kuah salad, piza.

Capers boleh juga digunakan dalam makanan seperti ayam piccata, makanan laut atau daging. Boleh juga dicampurkan dalam sup dan stew. Ia boleh juga dicampurkan dalam masakan Mediteranean sayur-sayuran seperti articok dan sebagainya.

Capers yang ditumis dan ditaburkan ke dalam masakan di atasnya akan memberikan rasa yang ringkas dan menarik.

Jadi apa kata anda ambil masa membeli Capers jeruk di pasar raya yang berhampiran dan cubalah resipi yang saya kongsikan bersama anda kali ini. Saya pasti resipi ini akan memberi satu kelainan pada menu anda pada minggu ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: