Wednesday, February 29, 2012

Ekspo dedah trend perkahwinan

PELAMIN merupakan kelengkapan perkahwinan yang kerap mengalami revolusi dari segi bentuk dan hiasan.


ZAIDI OSMAN sudah sedekad terlibat dalam perniagaan berasaskan kelengkapan perkahwinan. Bermula dengan menjual kraf tangan untuk hadiah perkahwinan, kini dia sudah mempunyai sebuah butik yang terletak di Puchong, Selangor.

Lelaki yang berusia 40 tahun itu berpendapat dengan menyertai sesebuah ekspo, ia merupakan jalan paling mudah untuk melihat perkembangan terbaharu sesuatu bidang yang diceburi.

Walaupun majlis perkahwinan dianggap sebagai satu upacara suci dan sering bersifat tradisional, perubahan dari segi pakaian serta gubahan pelamin sering mengalami revolusi.

Setiap tahun, pasti berlaku perubahan pada pakaian pengantin, gubahan hantaran malah, cenderamata untuk tetamu turut mengikut trend.

Jika dahulu tetamu yang hadir hanya dapat membawa pulang telur rebus, kini hadirin boleh menikmati manisan atau hadiah comel seperti tuala dan gelas kecil.

Dalam sesebuah ekspo kata Zaidi, peserta boleh melihat trend terkini pakaian pengantin dan hiasan pelamin terutama pempamer yang terdiri daripada syarikat besar.

“Ekspo pameran juga boleh menjadi platform kepada mereka yang terlibat dalam bidang ini untuk memperkenalkan perkhidmatan mereka,” katanya ketika ditemui di ibu pejabatnya yang terletak di Puchong, Selangor.

Disebabkan kebanyakan ekspo sering mendapat perhatian media, mereka yang bernasib baik boleh memperkenalkan busana pakaian terbaharu sekali gus boleh menjadi trendsetter dunia perkahwinan.

Tambah Zaidi lagi, dengan menyertai ekspo, para peserta mampu mendapatkan kontrak kerja kahwin sekurang-kurangnya untuk tiga hingga empat bulan mendatang.

Jelas lelaki dari Pulau Pinang itu, pengunjung yang hadir ke ekspo itu sudah tentunya individu yang berminat untuk membeli kelengkapan perkahwinan.

“Mereka (pengunjung) adalah pelanggan yang akan membeli pakej perkahwinan atau pelanggan yang mempunyai prospek,” katanya lagi.

Ekspo perkahwinan

Justeru itu, pada 23 hingga 25 Mac ini, Zaidi melalui anak syarikatnya, Dios Printing & Advertising Sdn. Bhd. bakal mengelolakan Ekspo Perkahwinan dan Fesyen di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.


PESERTA ekspo dapat melihat dan membandingkan trend terkini majlis perkahwinan terutama fesyen dan rekaan pakaian pengantin.


Berbeza dengan ekspo-ekspo perkahwinan lain, ekspo itu turut memberi penekanan terhadap fesyen pengantin.

Untuk tujuan itu, lebih 15 slot pertunjukan fesyen disediakan bagi memberi ruang kepada pempamer memperaga pakaian. Dalam bidang fesyen, pertunjukan fesyen menjadi kayu pengukur sesuatu busana itu.

Dengan pakej berharga RM2,000 untuk satu slot, para peserta boleh memperaga enam pasang pakaian wanita dan tiga pasang pakaian lelaki. Pereka juga dapat muncul pada bahagian akhir peragaan.

Dengan jurusolek dan model disediakan oleh pihak penganjur, peserta hanya perlu menyediakan pakaian untuk sesi peragaan selama 30 minit.

“Bagi saya, ini adalah peluang keemasan. Saya pernah membuat pertunjukan fesyen sebelum ini dan minimum kos kira-kira RM8,000 untuk tempoh masa yang sama,” ujar Zaidi berkongsi pengalaman.

Kata Zaidi, pecahan kos paling mahal adalah bayaran untuk model iaitu paling rendah berharga RM500 seorang.

Ekspo selama tiga hari itu nanti bakal menjadi pameran barang-barang perkahwinan setanding dengan Jakarta Wedding Fair yang diadakan setiap tahun pada bulan Mei atau Jun.

Jakarta Wedding Fair yang diadakan di Pusat Persidangan Jakarta di Indonesia itu sering menjadi medan pemain industri mempromosi pakej-pakej dan trend terbaharu yang dimiliki mereka.

Zaidi yang sering bertandang ke situ saban tahun berkata, pempamer ekspo di Jakarta bersaing sesama sendiri melalui ruang pameran yang dibuat paling cantik selain barisan busana baharu.

Selain gerai dan pertunjukan fesyen, turut diadakan persembahan artis, pertandingan solekan dan membuat gubahan.

Malah, para peserta ekspo digalakkan untuk mengadakan demonstrasi solekan dan gubahan di ruang pentas bagi memeriahkan acara dan mempromosi produk serta pakej perkahwinan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: