Sunday, February 26, 2012

Anzalna kecut perut

pix_middle
pix_topright

KEJELITAAN pelakon baru sedang mencipta nama, Nur Anzalna Md Nasir, 24, cepat mencuri tumpuan. Buktinya, sebaik terjun ke dunia seni tahun lalu, tawaran diterima untuk berlakon filem mahupun drama tidak pernah putus.

Dalam tempoh setahun, Anzalna sudah membinta­ngi dua filem iaitu Sepah The Movie dan Taikun manakala drama dibintangi, Suria Di Cardoba, Ramadan Terakhir dan Gemersik Kalbu berjaya meng­angkat namanya sebagai antara pendatang baru berbakat. Ternyata keadaan ini membuatkan Anzalna bimbang dan takut.

Anzalna yang juga finalis pertandingan Dewi Remaja bersama Izara Aishah dan Neelofa berkata, dia sebenarnya mahu menimba ilmu terlebih dulu dan tidak pernah terbayang akan diberikan kepercayaan membintangi filem mahupun drama dengan memegang watak utama.

“Sekiranya penonton perasan, pada awal pembabitan saya dalam dunia lakonan, saya lebih banyak memegang watak pembantu. Bagaimanapun populariti drama Ramadan Terakhir mengubah perjalanan kerjaya seni saya. Selain drama, saya juga ditawarkan membintangi filem.


“Tidak dinafikan, sewaktu menerima tawaran berlakon filem, saya sangsi dengan kemampuan diri. Takut pun ada. Maklumlah, cabaran untuk berlakon filem lebih besar. Namun kakitangan Produksi PTV yang menerbitkan Sepah The Movie meyakinkan saya. Kata mereka, sebaik-sebaiknya saya bermula dengan watak lebih ringan,” katanya.


Cabaran paling besar yang dilalui Anzalna sewaktu dia menjayakan filem Taikun diterbit­kan Worldwide Far East Berhad (WFEB) dan diarahkan Izan Hailmey Mokhtar.

Katanya, pertama kali berada di set dan dikelilingi bintang besar seperti Aaron Aziz, Remy Ishak, Bront Palarae dan Adam Corrie membuatkan dia kecut perut.

“Sebagai pendatang baru, apabila ditawarkan berlakon di samping semua aktor hebat sudah tentu membuatkan saya rasa besar hati. Tanpa fikir panjang, saya terus mengatakan iya.

“Saya berlakon Taikun bukan kerana mahu berada di samping mereka sekali gus menumpang populariti. Perkara itu langsung tidak terlintas di fikiran sebalik­nya dalam hati saya berkata, ini peluang terbaik untuk orang baru seperti saya menimba ilmu,” katanya.

Hari pertama di lokasi Taikun dan berhadapan aktor kacak dan berpengalaman, Anzalna mengakui menggigil. Terutama apabila melihat setiap daripada mereka begitu serius.

“Sebelum turun ke lokasi lagi saya sudah set dalam kepala bahawa saya harus melakukan setiap babak dengan baik kerana pelakon lelaki yang digandingkan dengan saya bukan sebarangan orang. Selain bagus beraksi, mereka juga sangat komited jadi saya harus bersedia.

“Bagaimanapun sebaik melangkah masuk ke dalam set dan pengarah menyebut ‘action’ saya sudah gementar lutut. Perkara itu bukan saja disedari pengarah tetapi pelakon terbabit terutamanya Remy.

“Kedudukan mereka yang cukup popular dan bagus apabila beraksi berlegar di kepala membuatkan tumpuan saya terganggu. Saya takut berlaku kesilapan dan dimarahi mereka. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Setiap aktor popular terbabit tidak lokek untuk berkongsi ilmu. Malah Remy sendiri yang menyedari saya menggigil berada di sebelahnya mena­sihatkan saya tidak terlalu memikirkan mereka aktor hebat atau popular sebaliknya anggap saja mereka rakan sekerja.

“Lebih daripada itu, Remy turut memberitahu agar saya menganggapnya orang biasa dan bukan siapa-siapa. Cara­nya itu sedikit sebanyak membantu dan lama-kelamaan saya semakin selesa untuk bekerja,” katanya.

Apapun, Anzalna berasa cukup bertuah apabila diberi peluang membintangi Taikun kerana diberi kepercayaan memegang watak yang cukup mencabar walaupun masih baru. Pastinya watak itu juga menjadi idaman kebanyakan pelakon baru
seangkatannya.

“Dalam filem itu, saya menjadi Ramona seorang primadona, tetapi apabila tidak berada di pentas sikapnya berbeza agak kasar seperti tomboi. Banyak juga aksi lasak yang harus dilakukan dan semuanya saya lakukan sendiri.

“Peluang ini saya gunakan untuk timba pengalaman. Habis satu badan saya lebam dan sakit-sakit namun itu hanya perkara kecil berbanding pengalaman dan ilmu yang saya peroleh,” katanya.

Sebahagian besar filem Taikun banyak berkisar kepada Anzalna, Remy dan Bront kerana jalan ceritanya mengisahkan Ramona menyukai Manan lakonan Remy tetapi tidak diendahkan sebaliknya Abang Long (Bront) menyimpan perasaan terhadap Ramona.


Saya tidak pernah letak harga

WALAUPUN baru setahun jagung dalam industri, sudah timbul cerita mengatakan pelakon kelahiran Pulau Pinang ini agak ‘demanding’ dan sudah pandai letak harga tinggi sekiranya ada produksi mahu melamarnya membintangi filem mahupun drama dihasilkan.

Dalam pertemuan itu, Anzalna mengambil peluang untuk menjelaskan bahawa perkara yang disebarkan itu sama sekali tidak benar. Katanya, tanyalah mana-mana produksi yang pernah bekerja dengannya, pernahkah dia meletak harga atau ‘demand’.

“Selalunya apa yang saya tanya terlebih dulu adalah bagaimana watak ditawarkan dan siapa pengarah. Kalau ada yang tanya soal harga, saya serahkan kepada mereka untuk memutuskannya.

“Pernah juga ada produksi terkejut apabila saya nyatakan harga untuk berlakon satu episod, Kata mereka, ia terlalu murah dan tidak setimpal dengan watak dan jumlah babak yang harus dilakonkan. Mereka sendiri yang menaikkan harga untuk saya.

“Pada saya, soal bayaran perkara kedua sebaliknya hasil kerja saya harus dinilai terlebih dulu sama ada memuaskan hati atau tidak,” katanya.

Waktu sama jelas Anzalna, sebagai orang baru dia sedar di mana letak
dirinya. Apatah lagi sekarang ini saingan agak besar dan rata-rata mereka yang turut menjadi rakan seangkatannya tidak kurang berbakat dan cantik.

“Adalah lebih baik sekiranya saya membuktikan kepada semua penggiat seni mahupun peminat bahawa saya benar-benar berbakat dalam dunia lakonan. Nilai dulu bakat saya dan bayarlah mengikut kesesuaian,” katanya.

Sepanjang bergelar pelakon, Anzalna tidak pernah lagi berhadapan dengan situasi kurang menyenangkan seperti dimaki pengarah di lokasi, walaupun sebelum ini perkara itu sering dimomokkan kepadanya.

“Setakat ini perkara itu tidak pernah berlaku kepada saya. Alhamdulillah, rata-rata penggiat menerima baik kehadiran saya dalam dunia seni. Seperti saya katakan tadi, sewaktu hendak membintangi Taikun memang ada juga terfikir kalau saya melakukan kesilapan saya akan dimarahi atau dimaki.

“Perkara itu juga yang menyebab­kan tumpuan saya agak terganggu di awal penggambaran dijalankan. Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Semua pelakon berpengalaman itu cuba membimbing saya agar memberikan persembahan terbaik.

“Saya percaya, kejayaan sesebuah produksi itu bergantung penuh kepada kerjasama. Atas alasan itu juga semua pelakon berpengalaman ini juga mahu saya menjadi bagus seperti mereka agar persembahan diberikan seiring sekali gus menjadikan ia sebuah karya hebat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: