Galaxy Tab 7.7 inovasi terkini

Samsung Malaysia Electronics Sdn Bhd, peneraju global digital media dan teknologi digital mengumumkan inovasi terbarunya, Galaxy Tab 7.7, tablet pertama di dunia yang menampilkan paparan­ skrin Super Amoled.

Skrin pintar dengan resolusi tinggi ini, menyediakan pengalaman menonton terbaik, malah saiznya yang unik bagi memastikan kemudahan alihan secara maksimum.

Pengarah Urusannya, Kwon Jae Hoon berkata, Galaxy Tab 7.7 menunjukkan komitmen berterusan dari Samsung terhadap inovasi terkini.

“Tablet ini bukan sahaja ringan, berkuasa tinggi, berteknologi maju, tetapi ia juga melengkapi fesyen terkini yang mana ia akan menjadi aksesori mesti dimiliki bagi mereka yang mementingkan gaya.

“Dengan pengenalan Galaxy Tab 7.7 ini, kami yakin Samsung mengekalkan posisinya sebagai peneraju penyedia telefon mudah alih di Malaysia,” katanya.

Dengan berat 340 gram dan 7.89 mm nipis, Galaxy Tab 7.7 adalah peranti mudah alih, paling sesuai disimpan di dalam beg tangan, poket dan jaket.

Selain itu, dengan rangkaian HSPA+21 Mbps, pengguna akan merasai pengalaman muat turun dan naik lebih laju.