TANPA persediaan rapi dan mantap, kemakmuran dan kesejahteraan yang dikecapi negara selama ini akan hilang dan sudah pasti merugikan rakyatnya.
Sehubungan itu, generasi muda harus menerima hakikat bahawa mereka bakal menjadi pelapis menerajui negara suatu hari nanti kerana pemimpin sedia ada tidak akan kekal selama-lamanya.
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang sudah memasuki tahun kesembilan sejak dilancarkan pada 2004 bertanggungjawab membantu generasi muda melengkapkan diri untuk menjadi pemimpin masa depan.
Melaluinya, remaja dilengkapkan dengan semangat patriotisme, daya kepimpinan berkualiti, pembentukan sikap bertoleransi, memiliki jati diri dan menanamkan sifat positif dalam menerajui kemajuan negara suatu masa nanti.
Sehingga kini, lebih 600,000 remaja daripada pelbagai kaum dan agama telah mengikuti latihan itu dengan jayanya.
Melalui program itu juga, ciri-ciri masyarakat majmuk Malaysia diterapkan dalam pembelajaran supaya generasi muda dapat terus mengekalkan sikap toleransi antara satu sama lain.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara yang mempunyai modal insan terbaik akan pasti berjaya walaupun negara itu kekurangan sumber asli seperti Singapura, Luxembourg dan Taiwan.
''Negara berkenaan yang tidak banyak hasil buminya tetap muncul sebagai pemegang kuasa terbesar ekonomi dunia,'' katanya ketika berucap merasmikan PLKN Kumpulan 1 Siri 9/2012 di Kem PLKN Junaco Park, Sibu, Sarawak baru-baru ini.
Justeru katanya, tindakan kerajaan mewujudkan PLKN yang dibentuk mengikut acuan sendiri merupakan satu langkah tepat ke arah melahirkan modal insan yang memiliki nilai keperibadian tinggi, berdisiplin, bertanggungjawab dan bertoleransi untuk meneruskan agenda negara di samping dapat bersaing di persada antarabangsa.
Beliau percaya banyak lagi cabaran dan dugaan yang akan ditempuh Kementerian Pertahanan, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), pengurusan Kem PLKN serta agensi lain yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam program itu.
Katanya, peserta PLKN tlah berjaya membuktikan bahawa mereka adalah bunga-bunga bangsa yang cinta kepada masa depan negara.
Kejayaannya pada hari ini dilakar dengan megah melalui perubahan yang ditunjukkan bekas pelatih serta bukti-bukti kajian dan penilaian yang diberikan oleh ibubapa. Majikan serta masyarakat umum turut memberikan maklum balas positif terhadap keberkesanan PLKN mendidik generasi muda lepasan sekolah itu.
Beberapa modul diperkenalkan dalam PLKN untuk membentuk peserta menjadi modal insan yang seimbang, mempunyai nilai-nilai positif, bertoleransi, berpatriotisme dan jati diri yang tinggi.
"Saya yakin dengan adanya latihan seumpama ini masalah gejala sosial seperti merempit, melepak, penyalahgunaan dadah, HIV dan jenayah yang kian meningkat kalangan remaja dapat dibendung di samping hala tuju generasi muda dapat difokuskan ke arah pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat," tegasnya.
Dalam usaha menentukan peserta menjalani latihan yang baik dan berfaedah, PLKN sentiasa melakukan pelbagai perubahan dan penambahbaikan antaranya sub-modul Budaya Kerja yang bertujuan memberi pendedahan awal kalangan remaja mengenai kepentingan nilai murni dan etika kerja yang harus ditampilkan dalam apa jua kerjaya mereka kelak.
Selain itu satu sub-modul baru juga telah diperkenalkan mulai siri lepas iaitu Program Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) yang dibangunkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi memberi pengetahuan dan kemahiran kepada remaja yang mudah terdedah dengan gejala tidak sihat.
Pendekatan pelaksanaan Modul PKRS adalah secara holistik dan menyeluruh serta merangkumi aspek biologikal, sosio-budaya, psikologikal serta kerohanian yang memberi penekanan kepada pembinaan kemahiran untuk menghindari tingkahlaku berisiko tinggi, membuat pilihan bijak dan tepat berhubung kesihatan reproduktif serta sosial mereka.
Ahmad Zahid juga berkata, satu program khas turut dimulakan pada siri yang lepas iaitu Literasi Membaca dan Menulis atau dipanggil 'I-SMART' bagi membantu pelatih yang mempunyai masalah menulis dan membaca dengan 30 jam masa program diperuntukkan untuk tujuan itu.
''Sejumlah 80 peratus daripada jumlah pelatih yang mengikuti program itu menunjukkan peningkatan yang memberansangkan apabila mereka boleh menguasai pada tahap minimum kemahiran membaca dan menulis,'' katanya.
Ahmad Zahid memberitahu, setakat ini hampir 320,000 remaja lelaki dan 280,000 remaja perempuan menyertai PLKN dan jumlah tersebut akan terus meningkat.
''Bermula dari 85,000 orang pada 2004, ia meningkat kepada 140,000 orang pada tahun ini,'' katanya.
Bagi memastikan objektif perpaduan kaum dan integrasi nasional tersebut dapat dicapai merentasi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, maka Jawatankuasa Kabinet Mengenai Khidmat Negara telah mengusulkan agar dua puluh peratus pelatih dari Sabah dan Sarawak diberikan penempatan di kem-kem PLKN di Semenanjung Malaysia.
Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) kemudiannya telah bersetuju dengan usul tersebut dengan 20 peratus pelatih Sabah dan Sarawak telah ditempatkan di kem PLKN di Selangor manakala kekosongan di Sabah dan Sarawak tersebut diisi oleh pelatih dari Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pelaksanaan polisi penempatan itu menjadikan hampir 15,000 pelatih daripada sejumlah 84,522 pelatih kelahiran Sabah dan 17,000 pelatih daripada sejumlah 96,047 pelatih kelahiran Sarawak telah diberi penempatan di kem-kem PLKN di Semenanjung sejak 2004.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: