KAMPUNG BALAISAH – Perigi lama berusia 400 tahun masih digunakan penduduk di sini untuk mendapatkan bekalan air kerana airnya tidak pernah kering walaupun ketika musim kemarau panjang melanda.
Ia dibina daripada bata tanah yang disusun padat dan kemas dengan ketinggian kira–kira 10 meter.
Uniknya, sehingga ke hari ini ciri–ciri seni bina warisan lama masih terpelihara kerana perigi tersebut tidak pernah ‘diusik’ untuk penambahbaikan dan sesuai dijadikan produk pelancongan.
Imam Masjid Al–Ula, Abdul Razak Sulaiman berkata, sehingga ke hari ini, air dari telaga tersebut masih digunakan penduduk kampung di sini terutamanya untuk berwuduk.
“Mana-mana jemaah yang bersolat di Madrasah Al–Ula Kampung Balaisah, Pasir Pekan akan berwuduk dengan air dari telaga tersebut.
“Airnya jernih dan untuk mendapatkan air dari telaga ini masih boleh menggunakan timba untuk mencedoknya.
“Bagaimana pun dek arus pemodenan, disediakan pam air bagi mempercepatkan proses mengambil air dari telaga tersebut,” katanya.
Seusia dengan perigi itu juga adalah madrasah Al–Ula Kampung Balaisah, Pasir Pekan atau lebih dikenali sebagai balaisah tua, satu satunya balaisah terawal wujud di kampung tersebut yang diasaskan tokoh agama terkemuka di Pasir Pekan iaitu Tok Awang Bahar, berasal dari Minangkabau.
Di zaman Tok Awang Bahar, Kampung Balaisah merupakan pusat pengajian pondok dan ramai pelajar dari seluruh pelosok kampung menuntut agama dengannya.
Malah nama Kampung Balaisah diambil sempena nama balaisah tersebut.
Abdul Razak yang merupakan generasi ketujuh keturunan Tok Awang Bahar berkata, ada tercatat di tangga madrasah Al–Ula Kampung Balaisah mengatakan madrasah tersebut siap dibina pada tahun 1245 Masihi.
“Kalau balaisah itu dibina 400 tahun lalu, bererti perigi tersebut pun digali 400 tahun yang lalu juga.
“Perigi tersebut tidak pernah dibaiki, cuma balaisah itu sudah dua tiga kali ia ditambahbaikkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: