Sunday, February 26, 2012

Cara baru undang tetamu

PEMINAT ANIMASI...  kad jemputan berupa buku komik.
PEMINAT ANIMASI... kad jemputan berupa buku komik.

PASANGAN yang akan berkahwin kini berusaha keras untuk memastikan majlis perkahwinan mereka lebih menarik, termasuk menggunakan pelbagai cara bagi menghantar kad jemputan yang diperbuat daripada tuala, cakera padat dan juga piring hitam diperbuat daripada plastik keras.

Usaha aneh itu sebahagian daripada cara baru yang menyaksikan pasangan tidak lagi berminat menggunakan kertas dan kad untuk menjemput tetamu masing-masing.


Laurence Manly, 44, dan Elaine Waugh, 38, menghasilkan semula muka depan sarung piring hitam Abba Greatest Hits, lengkap dengan cakera padat untuk menjemput tetamu ke majlis perkahwinan mereka.

  • Foto

    TIKET KAPAL TERBANG... kad jemputan ini lengkap kad jawapan yang direka seperti tag bagasi.

  • Foto

    BERBEZA... kad jemputan yang boleh memainkan lagu dengan lirik yang menjemput tetamu.

  • Foto

    PENUH IDEA... Carla Berrocal dari Madrid, Sepanyol, menghasilkan gaya Atari pada 1980-an untuk dua penganalisis komputer di Chile.

  • Foto

    PINTAR... Manuel Morgado memilih tema zombi untuk dua peminat filem zombi

  • Foto

    ROMANTIK... Trevor Navarra menghasilkan kad jemputan dengan menggunakan gambar yang dirakam menerusi kamera telefon bimbit sepasang kekasih.

  • Foto

    PALING UNIK... piring hitam daripada plastik keras yang direka oleh Kelli Anderson untuk rakannya.

Mereka menggunakan bantuan dua anak mereka untuk gambar itu dan cakera padat berkenaan mengandungi fail komputer dengan arah tempat berlangsungnya majlis itu.


Jurugambar, Laurence dari Henley-on-Thames, Oxon, berkata: “Kami berdua bukan peminat setia Abba. Namun, ia imej ikon sejak saya kecil lagi. Saya yakin setiap orang mempunyai album LP itu di rumah mereka.


“Saya mendapat ilham mengenai kad jemputan seumpama itu sejak beberapa tahun sebelum berkahwin, tetapi Elaine kurang setuju. Saya pasti ramai yang terkejut dan sukakannya.

“Elaine berharap dia tersenyum di gambar itu. Namun, jika saya mengubahnya, ia sudah tentu tidak asli. Memang ada seorang rakan berkata, Elaine seolah-olah tidak gembira mengenainya.” Mungkin kad jemputan paling unik ialah rekod diperbuat daripada plastik keras yang dihasilkan oleh artis dan pereka, Kelli Anderson untuk rakannya.


Kad jemputan itu berubah menjadi pemacu rekod sementara yang membolehkan tetamu pusing dengan jari untuk memainkan lagi jemputan daripada pasangan itu.

Kelli dari Brooklyn, New York berkata: “Kami mula memikirkan mengenainya apabila rakan saya, Mike dan Karen menyedari mereka memerlukan kad untuk menjemput tetamu ke majlis perkahwinan mereka.


“Mereka sukakan muzik. Saya berpendapat, muzik mempunyai peranan penting untuk menyatukan orang ramai. Kami buat penyelidikan mengenai pelbagai bahan dan akhirnya mereka sesuatu yang menghasilkan bunyi dan juga lirik yang boleh didengar.” Apabila Karen Wilson, 31 dan Ben Brown, 36, berkahwin pada 2009, mereka mahu menghasilkan sesuatu yang akan bertahan selama-lamanya. Pasangan itu mencetak jemputan mereka pada tuala.


Karen dari Ridgmont di Milton Keynes, berkata: “Kami menerima banyak maklum balas daripada tetamu mengenainya. Mereka masih bercakap mengenainya hingga sekarang. Kami bangga apabila ke rumah mereka dan melihat tuala itu digunakan atau dijadikan pameran.


“Ia juga bermakna mereka tidak ada alasan untuk melupakan ulang tahun perkahwinan kami! Reaksinya sungguh menakjubkan hingga mendorong kami mewujudkan laman web sendiri. Pasangan boleh memilih satu daripada 17 reka bentuk dan melakukan seperti kami,” kata Karen.


Heidi Atocicco, 31, dan Chris Ryder, 34, meminta rakan dan artis, Tony Fleecs, melukis kad jemputan kahwin mereka yang berbentuk komik lima muka. Muka depannya adalah gambar versi kartun pasangan itu, sementara di atasnya tertera perkataan ‘Heidi and Chris True Tales of Wedded Bliss’.


Heidi yang berasal dari North Hollywood, California berkata: “Keluarga dan sahabat kami menyimpannya di dalam kereta masing-masing supaya dapat menunjukkan kepada rakan mereka.


“Chris ialah penulis buku komik. Dia yang menulis skrip itu dan Tony menghasilkan lukisan. Proses itu mengambil masa lama. Lebih lama daripada masa diambil untuk mereka kad jemputan kahwin lain. Namun ia tidak mengecewakan,” kata Heidi.


Pereka, Carla Berrocal dari Madrid, Sepanyol, menghasilkan jemputan gaya Atari pada 1980-an untuk pasangan penganalisis komputer di Chile.


“Pasangan itu menghubungi saya dan memberikan segala kebebasan yang saya inginkan supaya menggunakan kreativiti saya dan menjadikan jemputan kahwin itu sesuatu yang peribadi bagi mereka,” kata Carla.


Menurutnya, selepas itu, ramai menghubunginya untuk meminta bantuan mereka kad jemputan masing-masing.


Manuel Morgado, pereka dari Portugal pula menghasilkan jemputan bertemakan zombi untuk beberapa pasangan di Amerika Syarikat.


Manuel berkata: “Ada pasangan yang taksub dengan filem zombi dan mahukan sesuatu yang dapat menggambarkan minat mereka. Saya seronok menghasilkan kad jemputan mereka.


“Saya mengambil masa seminggu untuk menyiapkannya dan mereka sungguh gembira. Sejak itu, saya membuat kad serupa untuk beberapa pasangan lain.


Brad O’Sullivan pula diminta menghasilkan kad jemputan berbentuk tiket penerbangan, lengkap dengan kad jawapan gaya tag bagasi.


Brad yang berasal dari Boulder, Carolina berkata: “Pasangan itu benar-benar kreatif. Seorang artis dan seorang lagi DJ. Saya menghasilkan kad yang berbeza dan melambangkan personaliti mereka.” Pengarah kreatif, Trevor Navarra menggunakan gambarnya dan bakal isteri, Megan, yang dirakam menerusi kamera telefon bimbit mereka untuk menjemput rakan dan sanak saudara ke majlis perkahwinan.


Pereka grafik, Patrick Gray menghasilkan gaya poster perlumbaan kereta lasak untuk wartawan, Jana Meier dan Nick Roberts, dari Munich, Jerman. Pasangan itu berkenalan ketika masing-masing ditugaskan membuat liputan perlumbaan.


Jana, 34, berkata: “Setiap orang mahu menghantar jemputan kepada orang yang mereka sayang. Ada yang meminta lebih daripada itu. Ada orang yang tidak tahu sejarah kami bertanya sama ada gambar dua kereta itu bertembung sesuai untuk dijadikan tema kad jemputan. Bagi kami, ia bukan saja sesuai, tetapi paling sempurna.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: