Sunday, February 26, 2012

Tuah pembaca setia Utusan


Zulkarnain Safiei (tiga dari kiri) dan Mohd. Amini Ahamad Sayuti (tiga dari kanan) serta pemenang saguhati Kuiz Bicara Haji bersama replika hadiah masing-masing di Majlis Penyampaian Hadiah Kuiz Bicara Haji Musim 1432 Hijrah di Dewan Besar Tabung Haji, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


KUIZ Bicara Haji anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) dan Utusan Malaysia sempena musim haji 1432 hijrah tahun lalu dimenangi oleh dua pembaca setia akhbar ini dengan masing-masing memenangi tajaan pakej umrah bernilai RM6,000.

Mereka adalah Mohd. Amini Ahamad Sayuti, 32, berasal dari Pulau Indah, Selangor dan Zulkarnain Safiei, 43, dari Bentong, Pahang.

Pemenang utama, Mohd. Amini adalahPensyarah Kejuruteraan Elektrikal Politeknik Seberang Perai tidak menyangka slogan yang direka khas oleh isteri tercinta 'menjadi' hadiah untuknya menunaikan ibadah umrah.

Beliau yang bersyukur dengan kemenangan itu memberitahu artikel pertama bicara haji yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada tahun lalu membuatkan beliau dan isteri menyimpan impian mahu menunaikan umrah bersama-sama.

Apatah lagi apabila artikel itu membuka peluang kepada sesiapa sahaja menunaikan ibadah tersebut yang ditaja oleh TH Travel and Services Sdn. Bhd. (THTS).

'Untuk membangkitkan roh haji' adalah antara potongan ayat daripada slogan yang dicipta oleh isteri saya yang sebenarnya diambil olehnya daripada petikan-petikan 12 artikel yang disiarkan sepanjang dua minggu peraduan kuiz.

"Saya dan isteri hanya mengolah kembali petikan menarik daripada kesemua artikel tersebut dan dengan hasil kreatif isteri, dia telah menjadikan slogan itu berbentuk pantun.

"Justeru sebagai tanda terima kasih kepada isteri, saya akan membawanya bersama-sama menunaikan umrah.

"Alhamdulillah, kami dapat menjawab dengan mudah hasil bantuan daripada artikel itu sendiri dan Internet," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah Kuiz Bicara Haji di Bangunan TH, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagi Zulkarnain yang merupakan seorang operator di Jabatan Kerja Raya Bentong, Pahang yang juga pemenang utama berkata, kejayaan itu merupakan satu perkara yang indah dalam hidupnya.

Menurutnya, Kuiz Bicara Haji itu banyak menambah pengetahuan untuknya kerana di samping membaca artikel yang disiarkan, bapa kepada tiga anak itu turut menggunakan buku-buku berkaitan rukun haji sebagai rujukan bagi menjawab soalan-soalan tersebut.

"Semestinya saya tidak sabar menjejakkan kaki ke Tanah Suci dan bercadang menunaikan umrah April ini.

"Pada awalnya saya telah tertinggal dua siri artikel awal tetapi dengan usaha dan pertolongan keluarga, saya dapat mengumpul kesemua 12 episod itu dan saya bersyukur kerana usaha itu tidak sia-sia," katanya.

Selain Mohd. Amini dan Zulkarnain yang memenangi hadiah utama, 10 peserta lagi turut mendapat hadiah saguhati dengan masing-masing menerima satu set cakera padat digital (DVD) ibadah haji serta langganan percuma selama setahun majalah Anis dan Asuh tajaan Galeri Ilmu Sdn. Bhd bernilai RM350.

Pada majlis penyampaian hadiah itu, empat daripada 10 pemenang saguhati yang hadir adalah Zainon Zainal dari Perak; Azizah Hassan dari Selangor; Azlina Baharom @ Kadir dari Kuala Lumpur dan Mohd. Yusri Ahamad Sayuti yang merupakan adik kepada pemenang utama.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji, Lembaga Tabung Haji, Datuk Syed Saleh Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima 1,006 penyertaan dari seluruh negara dan hanya 199 peserta menjawab soalan-soalan dengan tepat.

Beliau memberitahu, daripada jumlah itu, juri memilih 12 pemenang bertuah berpandukan slogan yang kreatif.

Artikel yang disiarkan menerusi sisipan Mega, Utusan Malaysia pada 13 hingga 30 September tahun lalu itu adalah hasil sumbangan Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji, pengkursus ibadah haji tanah air, doktor-doktor pakar dan kakitangan Bahagian Bimbingan Jabatan Haji.

Turut hadir, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif THTS, Datuk Yasmin Yazid dan Ahli Lembaga Pengarah Galeri Ilmu Sdn. Bhd., Nik Aziah Hamzah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: