Wednesday, February 29, 2012

Telefon pintar mampu milik


TELEFON pintar M3 Communicator buatan tempatan yang disokong sistem operasi Android bakal ditawarkan pada harga pasaran di bawah RM500.


KEBANYAKAN produk telefon bimbit pintar yang terdapat di pasaran hari ini dijual pada harga tidak kurang daripada RM1,500.

Dengan kos yang boleh dikategorikan sebagai tinggi itu, hanya individu yang mampu sahaja boleh memiliki dan menikmati perkhidmatan telekomunikasi yang tawarkan.

Membuka peluang yang sama kepada semua rakyat negara ini, sebuah syarikat telekomunikasi tempatan, DMD Mobile Sdn. Bhd. memperkenalkan telefon pintar mampu milik dikenali M3 Communicator.

Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohammed M. Daud, pelancaran produk itu bagi memberi peluang kepada ahli masyarakat untuk berkomunikasi dan berhubung secara lebih mudah dengan kos yang minimum.

''Kami memberi fokus kepada apa yang diperlukan oleh pelanggan. Telefon ini menawarkan perkhidmatan dan aplikasi terbaik sama seperti telefon pintar yang lain,'' katanya pada pelancaran model itu di ibu negara baru-baru ini.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang.

Peranti komunikasi pertama keluaran syarikat tersebut dipacu oleh sistem operasi Android dengan sokongan kuasa pemproses 650 MHz.

Ia hadir bersama skrin sentuh QVGA bersaiz 2.6 inci, memori SRAM 256 megabit (MB) dan memori binaan luar sehingga 32 gigabit (GB) menggunakan kad microSD.

Spesifikasi lainnya, ia disokong oleh capaian rangkaian WCDMA 3.75 HSPA, akses Wi-fi, sistem penentu kedudukan global (GPS), Bluetooth 4.0 dan menyokong teknologi Near Field Communication (NFC).

Menerusi NFC, pengguna boleh berkongsi pelbagai kandungan multimedia seperti muzik, foto dan kontak bersama peranti yang mempunyai teknologi sama di samping membuat transaksi pembayaran secara maya.

Sesuatu yang menarik mengenai M3 Communicator, ia dibangun dan dipasang sepenuhnya di negara ini.

Produk yang bakal memasuki pasaran tempatan menjelang April ini didatangkan secara pakej bersama perkhidmatan data DMD Mobile untuk pengguna prabayar serendah RM10 sebulan.

Kemudahan itu bakal membolehkan pengguna untuk mengakses pelbagai perkhidmatan Internet seperti pelayaran web, capaian laman sosial, e-mel dan berborak secara dalam talian (IM).

Dengan segala kelebihan tersebut, M3 Communicator bakal dijual dengan harga tidak melebihi RM500.

Maklumat dan spesifikasi lengkap mengenainya boleh diperolehi daripada laman web www.dmdmobile.net.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: