SAYA dan kawan-kawan bekerja di bahagian kemasukan data (data entry) dan sentiasa berurusan dengan orang ramai. Setiap kali mereka datang ada yang membawa buah tangan seperti keropok, buah-buahan, kerepek malah ada yang memberi kami duit.
Selalunya kami akan mengambil semua pemberian ini dan dibahagi-bahagikan sama rata. Adakah ini dikira rasuah dan berdosa kami semua memakannya? Saya lebih menganggap pemberian ini ikhlas ibarat kalau kita bertandang ke rumah saudara mara, maka kita akan membawa sedikit buah tangan. Kalau betul itu dikira rasuah bagaimana cara untuk menolak semua pemberian tersebut tanpa mengecilkan hati orang yang memberi?
JAWAPAN
Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada saudari yang bertanya soalan ini. Biarpun pada asasnya nampak macam remeh, mungkin juga ada yang berkata soalan macam ini pun hendak tanya.
Saya ingin mulakan begini. Apa yang menyebabkan saudari bertanya soalan ini? Bukankah dengan mendapat sedikit habuan atau buah tangan daripada pengunjung ke premis itu suatu yang seronok, malahan dapat jimat duit poket.
Manakan tidak kalau sehari ada lima hingga 10 pengunjung pasti buah tangan pun lumayan. Tidakkah saudari fikir bahawa kalau jawapan yang bakal diberi bertentangan dengan syariah atau undang-undang itu sendiri?
Ada di kalangan masyarakat kita yang sengaja tidak mahu tanya soalan, walaupun dia merasakan perbuatannya salah. Buat apa tanya, kalau dia jawab tidak boleh nanti susah.
Sebab ada yang fikir buat salah sedangkan dia tidak tahu itu salah adalah tiket untuk lepaskan diri, dengan menjawab: "Saya tidak tahu itu salah."
Perlu ingat di sini, kejahilan bukan alasan melepaskan diri daripada undang-undang mahupun syariat. Saya puji sifat saudari kerana berani bertanya demi mencari kebenaran yang berlandaskan syariah.
Sifat ini pastinya terbit daripada keimanan saudari yang inginkan setiap suapan yang masuk ke dalam mulut yang kelak menjadi darah daging seharusnya hala.
Teringat saya kepada sifat seorang wanita yang meminta anak perempuannya agar mencampurkan air ke dalam susu supaya jumlah susu menjadi banyak, dengan demikian dapat keuntungan dalam menjual susu.
Tetapi anak perempuan wanita tersebut membantah suruhan ibunya dengan berkata: "Wahai ibu, kalau Amirul Mukmin (Umar bin al-Khattab) tahu pasti kita akan dihukum.
Iibu srikandi itu menjawab: "Sesungguhnya Amirul Mukminin tidak melihat apa yang kita buat." Anak perempuan itu menjawab: "Walaupun Amirul Mukminin tidak melihat akan tetapi Tuhan Amirul Mukminin sentiasa melihat."
Rupa-rupanya perbualan mereka didengar oleh Umar yang lalu di situ dalam misi meninjau keadaan rakyat pimpinannya. Sehingga Umar meminta anak lelakinya agar meminang dan menikahi gadis tersebut.
Ini kisah keimanan, bukan sekadar cerita tetapi sifat inilah yang seharusnya ada dalam jiwa kaum hawa. Indahnya alam ini sekiranya ia dihiasi dengan wanita-wanita yang solehah seperti dalam kisah di atas. Ini kerana mukmin yang sebenar pasti akan berusaha membezakan yang halal dan haram.
Hal ini jelas dalam sabda Rasulullah SAW yang daripada Abu Abdillah Nu'man bin Basyir RA dia berkata: "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang menjauhkan diri daripada syubhat bererti dia telah menyelamatkan (memelihara) agama dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.
Sebagaimana penggembala yang menggembala ternakannya di sekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan (ada batasan) dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan-Nya.
Ketahuilah bahawa dalam diri manusia terdapat segumpal daging, jika segumpal daging itu baik maka baiklah seluruh tubuhnya dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa ia adalah hati. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)."
Boleh difahami daripada hadis ini beberapa perkara berikut;
Pertama:; Menjauhkan diri daripada perkara syubhat termasuk sikap warak seseorang.
Kedua: Banyak melakukan syubhat akan mendorong seseorang kepada perbuatan haram.
Ketiga: Menjauhkan perbuatan dosa kecil kerana hal tersebut dapat mengheret seseorang kepada perbuatan dosa yang lebih besar.
Keempat: Memberikan perhatian terhadap masalah hati, kerana padanya terdapat kebaikan fizikal tubuh badan manusia.
Kelima:, Hati yang sejahtera dapat menghasilkan perbuatan yang baik.
Keenam: Petanda ketakwaan seseorang jika dia meninggalkan perkara-perkara yang dibolehkan kerana khuatir akan terjerumus kepada hal-hal yang diharamkan.
Menerima dan memberi sesuatu habuan, sama ada buah tangan, hadiah, wang dan sebagainya boleh dikategori sebagai rasuah. Kalau hendak beri buah tangan kepada yang bekerja lagi bergaji adalah tidak patut dan niatnya boleh dipertikaikan.
Justeru, apa-apa sahaja pemberian yang saudari dan rakan-rakan saudari terima adalah salah di sisi undang-undang dan syarak. Sebab itu takrif rasuah harus difahami dengan tepat dan betul.
Ia ditakrifkan sebagai memberi sesuatu kepada orang tertentu dengan niat mendapatkan sesuatu yang bukan menjadi haknya. Memberi sesuatu itu sama ada dalam bentuk wang ringgit, harta benda, jawatan, perkhidmatan, janji manis dan sebagainya.
Ia diberi kepada orang tertentu yang tidak layak menerimanya. Mungkin orang yang diberi rasuah itu mempunyai gaji dan upah yang tertentu, lebih kaya dan berjawatan dan bukan pula kaum keluarga si pemberi.
Pemberian dengan niat agar suatu masa mendapat balasan dan imbalan yang lebih besar daripada orang tertentu tadi. Sedangkan pada hakikat orang lain yang sepatutnya memiliki hak itu.
Walaupun pada bahasa yang saudari dan kawan-kawan saudari fahami adalah buah tangan yang dibawa oleh seseorang yang bertandang ke rumah kita. Bunyinya macam baik tetapi matlamatnya tidak begitu.
Islam sama sekali tidak akan menghalal cara untuk sampai kepada matlamat. Pemberian yang diterima jangan diukur dengan jumlah atau apa yang diterima tetapi ukurlah dengan neraca keadilan.
Masalahnya bila sudah menerima secara tidak langsung termakan budi, dan timbul pula perasaan: "Dia dah bagi kalau tak tolong lain kali mesti dia tak bagi apa-apa."
Sebab itu kerjalah dengan jujur, katakan kepada pelanggan lain kali jangan beri apa-apa kalau nak perkhidmatan.
Kalau hendak memberi, berilah kepada yang lebih memerlukan seperti anak-anak yatim, rumah orang tua dan sekolah-sekolah persendirian yang perlukan bantuan dan sumbangan.
Nescaya Allah SWT akan memurahkan lagi rezeki anda.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: