NAMANYA mula dikenali ramai apabila dia diumumkan sebagai seorang jutawan pada usia muda.
Kisahnya memenuhi dada-dada akhbar saban hari menceritakan bagaimana dia mampu mengumpul RM1 juta hanya melalui perniagaan yang diusahakan secara dalam talian.
Daripada situlah, nama Irfan Khairi meniti dari bibir ke bibir dan tidak kurang juga ada yang menjadikannya sebagai idola dalam mengorak langkah memulakan perniagaan secara dalam talian.
Jika selama ini masyarakat hanya mengetahui siapakah Irfan Khairi serta bagaimana kejayaan yang dikecapinya hari ini diperoleh, jadi untuk minggu ini, apa kata kita tinggalkan sebentar cerita mengenai kejayaan anak muda ini dan selami pula jiwanya sebagai seorang suami serta bapa kepada empat orang cahaya mata.
Menamatkan zaman bujang bersama pilihan hatinya, Shazrina Mohd. Yusof, 36, pada 24 Ogos 2001, kini mereka merupakan pasangan yang sangat bahagia.
Tidak pernah 'berperang' besar sepanjang bergelar suami isteri, bagi Irfan mahupun Shazrina, mereka percaya hormat menghormati serta saling percaya mempercayai antara satu sama lain menjadi rahsia keharmonian rumah tangga yang dibina sejak 10 tahun lalu.
Menurut pasangan ini lagi, kebahagiaan rumah tangga mereka bertambah kukuh dan erat dengan hadirnya cahaya mata yang melambangkan cinta abadi mereka selama ini.
Seperti pasangan-pasangan lain, jelas Irfan, perhubungan mereka tiada yang unik dan istimewa untuk dikongsi bersama kerana ketika itu mereka berada di England, Irfan menyambung pelajaran manakala Shazrina bekerja.
Namun Irfan tidak menafikan Shazrina adalah cinta pertamanya tatkala terpandang wajahnya buat kali pertama apabila masing-masing setuju untuk menonton wayang bersama.
"Tidak dinafikan, saya jatuh cinta pandang pertama apabila terpandangkan Shazrina buat kali pertama.
"Bagaimanapun, kami seharusnya berterima kasih kepada kawan-kawan kerana mereka yang beria-ia hendak mempertemukan kami kerana mereka mendakwa kami mempunyai wajah yang sama.
"Alhamdulillah, selepas salam perkenalan dihulurkan, kami serasi bersama sehingga hari ini," ujarnya sambil menjeling isteri tersayang.
Daripada apa yang diceritakan pasangan ini, ternyata perhubungan yang dijalin seperti insan lain dan tiada yang istimewa untuk dikenang.
Malah menurut Irfan, sepanjang perkenalan, mereka lebih kerap bertanya khabar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) berbanding 'bergayut' di telefon atau pun berutus surat.
Ini mungkin disebabkan mereka berada di perantauan dan Irfan turut memberitahu mereka banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakan lain memandangkan keluarga masing-masing jauh di tanah air.
Jadi mereka tiada masa untuk berbual panjang di telefon, apatah lagi untuk berutus surat.
Ini secara tidak langsung mengeratkan lagi persahabatan mereka dan akhirnya masing-masing mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan pada 12 Februari 2001.
Jika sebelum ini tiada cerita-cerita yang menarik untuk dikongsi bersama pembaca tetapi apabila pasangan ini membuka mulut mengenai pertunangan mereka, ternyata ia merupakan satu majlis yang unik dan simbolik.
Manakan tidak, apabila pasangan ini ditunangkan, mereka tidak berada di kampung halaman masing-masing serta tiada upacara menyarungkan cincin oleh bakal mertua ke jari manis bakal menantu.
Hal ini terjadi kerana Shazrina tidak pulang ke tanah air dan majlis yang diraikan di Kuala Lumpur hanyalah upacara pertukaran cincin yang dilakukan antara keluarga Irfan dan juga keluarga Shazrina.
Ya, inilah satu majlis yang unik di mana individu yang diraikan tiada ketika majlis berlangsung.
Begitupun, menurut pasangan ini, detik-detik tersebut merupakan saat manis untuk dikenang dan akan diceritakan kepada anak cucu kelak.
Ketika ditanya mengenai hadiah pertama pemberian Irfan kepada isterinya, ia disambut dengan senyuman oleh kedua-dua pasangan ini.
Ini kerana, menurut Shazrina, masakan dia dapat melupai pemberian pertama daripada suami tercinta kerana barangan tersebut hingga kini menjadi alat mainan anak ketiganya.
"Sejak menerima pemberian daripada Irfan iaitu seekor patung beruang, ia tidak pernah terpisah daripada saya.
"Dan hari ini ke mana sahaja saya pergi, ia pasti 'mengikut' kerana ia sudah berpindah 'hak milik'.
"Anak ketiga saya amat menyukai patung tersebut dan dia selalu mengusung ke mana sahaja dia pergi dan secara tidak langsung, ia sentiasa berada di hadapan mata saya," katanya lagi sambil tersenyum.
Hari ini walaupun bergelar pasangan suami isteri jutawan, ternyata Irfan mahupun Shazrina tetap merendah diri.
Ini dapat dilihat daripada penampilan masing-masing yang cukup ringkas malah tidak sesekali mendabik dada dengan kekayaan yang dimiliki mereka hari ini.
Apa yang mereka harapkan sudah pasti kebahagiaan yang berpanjangan di samping kehidupan aman damai bersama anak-anak tercinta, Ilham Abadi, 10 tahun; Kasih Kamilia Abadi, lapan tahun; Ikhlas Abadi (enam tahun) dan Cinta Strawberry Abadi (empat tahun).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: