SETELAH menyepikan diri dalam industri seni sejak lima tahun lalu, nama bekas penyanyi utama kumpulan Shades, Mohamad Faizal Mohd. Ali atau lebih dikenali sebagai Wan Shades, 39,kembali menjadi sebutan ramai. Bukan kerana dia muncul dengan lagu baharu tetapi angkara dituduh merogol anak tirinya selama tujuh tahun.
Berita tersebut mulai tersebar luas apabila sebuah pengendali blog hiburan terkenal menerbitkan artikel berjudul Wan Shades Suspek Utama Penyanyi Kumpulan R&B Rogol anak Tiri Selama Tujuh Tahun, yang secara jelas merujuk kepada dirinya.
Terkejut dan malu dengan tuduhan tersebut, penyanyi yang popular dengan lagu Jangan Diucap Selamat Tinggal itu ketika bersama Shades itu, nekad mahu mengambil tindakan menyaman pengendali blog hiburan tersebut.
Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai cerita yang membelenggu Wan Shades, ikuti soal jawab ini.
Boleh ceritakan bilakah anda dapat tahu mengenai cerita ini?
Saya dapat tahu mengenai artikel itu selepas seorang teman memberitahu saya pada 20 Februari lalu. Ketika itu, saya baru selesai penggambaran drama Atas Nama Cinta.
Apa perasaan anda ketika membaca artikel tersebut?
Saya terkejut kerana ia jelas satu fitnah yang tidak berasas yang boleh menjatuhkan maruah saya sebagai artis dan nama baik saya sebagai Naib Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayung Daerah Gombak dan Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga Gombak Setia.
Apakah tindakan anda selepas itu?
Beberapa jam selepas membacanya saya terus buat laporan polis di Balai Polis Ukay Perdana, Selangor. Selepas itu, pihak polis menghubungi saya memberitahu perogol sebenar berjaya ditahan. Saya tanya siapa tetapi pihak polis enggan mendedahkan gerangan perogol tersebut. Daripada situ, saya mulai geram sedangkan perogol sebenar sudah diketahui tetapi pihak polis masih menyimpan maklumat. Sebaliknya, blog hiburan tersebut dengan senangnya menuduh saya tanpa usul periksa.
Jadi disebabkan itulah anda nekad untuk menyaman blog hiburan tersebut?
Saya terpaksa ambil tindakan undang-undang untuk memberi pengajaran kepada pengendali blog itu supaya bertanggungjawab terhadap artikel yang dikeluarkannya selain meminta mereka tampil untuk menjawab setiap tuduhan yang dilemparkan.
Apakah sebabnya anda ingin bersemuka dengan penulis blog tersebut walaupun nekad untuk menyaman mereka?
Saya beri tempoh tujuh hari kepada blogger itu untuk menjawab tuduhan yang dilemparkan kepada saya. Saya sedia bersemuka dengan blogger terbabit untuk mendapatkan penjelasan, namun mereka gagal dihubungi.
Apa perkembangan terkini anda?
Saya kini sedang terbabit dalam sebuah drama lapan episod terbitan TV3. Saya bawa watak sebagai ayah kepada Tasha Shila. Selain itu, saya sedang dalam persiapan menyiapkan single solo terbaharu saya yang berkonsep pop ketuhanan yang sepenuhnya dihasilkan oleh saya sendiri. Saya juga aktif sebagai Naib Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayung Daerah Gombak dan Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga Gombak Setia.
Semoga baik baik sahaja ya. Keep moving forward dengan karier okay
ReplyDelete