Puan Aniz,
SAYA berusia 18 tahun. E-mel ini dikirim kepada Puan untuk memohon pandangan tentang situasi yang sedang saya alami. Ia sesuatu yang amat sukar untuk saya percaya tetapi itulah yang terjadi. Baru-baru ini, saya secara tidak sengaja telah membaca SMS yang diterima oleh ayah saya daripada seorang wanita yang tidak saya kenali.
SMS itu penuh dengan kata-kata manja dan cinta dan apabila saya ajukan pertanyaan kepada ayah, dia menjawab SMS itu daripada seorang kenalan wanitanya. Saya tidak sampai hati untuk memaklumkan kepada ibu tentang perkara ini.
Buat pengetahuan Puan Aniz, ibu dan ayah saya tidak duduk bersama sejak setahun lalu kerana ayah bekerja di luar daerah. Beliau hanya pulang ke rumah setiap hujung minggu, bergantung kepada jadual tugasannya. Saya buntu dan berada dalam dilema melihat wajah ibu dan pada masa yang sama terbayang-bayang SMS teman wanita ayah. Tolong saya Puan, apa yang sewajarnya saya lakukan bagi menyelamatkan keluarga kami.
Marissa,
Melaka.
TERIMA kasih atas kiriman e-mel ini . Sememangnya bukan sesuatu yang mudah untuk ditangani, apatah lagi menerima kejutan sebegini. Perasaan Marissa pastinya bercampur baur antara sedih, terkilan, marah, simpati dan keliru. Apa pun ketahuilah Marissa bahawa semua ini adalah sebahagian daripada warna-warni kehidupan. Setiap rencana Allah pasti ada hikmah untuk diteladani.
Sebagai anak, apa yang seharusnya Marissa usahakan adalah mendoakan agar segala kekusutan yang hadir ini diberikan penyelesaian terbaik.
Bapa Marissa pastinya berasa sunyi tanpa kehadiran seorang teman setia bernama isteri yang selama ini menemaninya. Walaupun dengan kecanggihan teknologi, bapa Marissa dapat berhubung dengan anak-anak dan isteri, namun berada di sisi tidak sama. Tanpa jati diri, kekuatan iman dan matlamat yang jelas, nescaya hati lelaki ayah pasti goyah, apatah lagi jika selalu berhadapan mahupun punyai ruang untuk berdampingan dengan teman wanita itu tadi.
Di sinilah kejujuran memainkan peranan yang amat penting. Sebagai anak yang punya harapan tinggi untuk melihat mahligai ibu dan ayah terus bersemi kasih, subur dan harmoni, berdoalah. Marissa perlu berdoa dengan penuh ikhlas kepada Allah. Mudah-mudahan doa yang tulus murni ini dapat menguatkan kembali ikatan cinta ibu dan bapa Marissa yang berjauhan dan mudah-mudahan juga Allah memberi rencana yang lebih baik ke arah itu. Siapa tahu mungkin sahaja ayah Marissa dipanggil pulang bertugas kembali di daerah Marissa sekeluarga bermastautin.
Berkenaan untuk memaklumkan ibu Marissa tentang SMS dan hubungan cinta ayah itu tadi, sesungguhnya Marissa yang punya jawapan yang tepat untuk hal ini. Lihat ke dalam hati apakah wajar berita ini Marissa sampaikan kepada ibu. Jika Marissa rasakan ia perlu, waktu bilakah ia bersesuaian, bagaimanakah cara terbaik agar ibu lebih berlapang dada menerima berita ini. Insya-Allah, saya percaya dengan kemurnian dan ketulusan hati untuk melihat keluarga Marissa harmoni, bahagia dan sejahtera, lebih jujur dan luhur pasti Allah akan bersama-sama mempermudahkan perjalanan.
Doa saya semoga Marissa mampu memainkan peranan dengan bijaksana dalam membantu keharmonian dan kasih sayang keluarga yang sedang teruji. Yakin selalu janji Allah yang pasti di sebalik kepahitan ada manis juga indah yang menanti di penghujungnya.
Salam rahmat
Puan Aniz Haji Anwar
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: