ELEKTRIK merupakan sumber tenaga yang amat penting kepada manusia. Hampir kesemua peralatan yang dicipta ketika ini memerlukan sumber tenaga untuk menggerakkannya.
Bagaimanapun berbeza keadaannya dengan wilayah Bamyan, Afghanistan kerana sumber tenaga elektrik di sana amat terhad dan terbatas. Oleh itu, penduduk di situ perlu bergantung kepada sumber alternatif iaitu tenaga daripada matahari.
Namun masalah tetap timbul apabila bergantung kepada tenaga matahari kerana untuk memproses tenaga daripada sinaran cahaya bintang itu kepada tenaga elektrik, ia memerlukan panel solar. Namun tidak semua pihak mampu memilikinya kerana kosnya yang agak tinggi, lebih-lebih lagi dengan keadaan penduduk di wilayah berkenaan yang rata-ratanya kurang berkemampuan.
Kekurangan sumber tenaga elektrik di wilayah tersebut boleh dilihat apabila kebanyakan pusat kesihatannya tidak mempunyai tenaga elektrik yang mencukupi untuk beroperasi. Ada pula sesetengah tempat yang hanya menggunakan cahaya daripada lampu suluh untuk menemani mereka pada waktu malam. Bayangkan sekiranya berlaku kes-kes kecemasan pada waktu malam seperti wanita ingin bersalin.
Justeru itu, sebagai sebuah pasukan yang membantu dalam aspek pembangunan kesihatan di Bamyan, kontinjen ketiga Operasi Interim Sokongan dan Bantuan Nasional ke Afghanistan (Malcon Isaf 3) telah berbincang dan berusaha membuat kertas kerja bagi menempatkan panel solar di pusat-pusat kesihatan di wilayah berkenaan. Atas keprihatinan kerajaan Malaysia, 10 pusat kesihatan telah dipilih untuk dipasang dengan panel solar tersebut.
Bermula 26 November 2011, Malcon Isaf 3 yang diketuai oleh Pegawai Juruteranya, Kapten Aminuddin Kasim bersama Ketua Pasukan Kesihatan Awam, Kapten Dr. Ahmad Farhan Ahmad Fuad telah memulakan kerja-kerja pemasangan panel solar di pusat-pusat kesihatan terpilih wilayah berkenaan.
Tugas-tugas pemasangan alat tersebut dilakukan bersama wakil syarikat pembekal panel solar iaitu Afghan Bamica Construction Company. Usaha Malcon Isaf 3 itu ternyata amat dialu-alukan dan disambut baik oleh para petugas di pusat-pusat kesihatan terpilih berkenaan.
Menurut Aminuddin, penggunaan tenaga solar merupakan sumber tenaga terbaik di wilayah Bamyan kerana kos penyelenggaraan yang rendah selain tiada kos tambahan operasi.
"Ini berbeza dengan penggunaan generator untuk menghasilkan tenaga elektrik. Menggunakan tenaga solar sebagai punca utama elektrik adalah lebih menjimatkan dan tidak membabitkan kos operasi seperti bahan bakar atau sebagainya.
"Tambahan pula kos bahan api di sini agak tinggi dan nilai pasarannya tidak tetap kerana tiada kawalan," katanya.
Sementara itu Farhan pula berkata, kewujudan panel solar berkenaan sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan penduduk di wilayah Bamyan mendapatkan rawatan terutamanya pada waktu malam sekiranya berlaku kes-kes kecemasan.
"Panel solar juga membolehkan para petugas perubatan di pusat-pusat kesihatan di Bamyan menggunakan peralatan perubatan yang memerlukan tenaga elektrik," jelasnya.
Sumbangan Malcon Isaf dalam membantu menyediakan kemudahan di Bamyan mendapat maklum balas positif daripada penduduk wilayah tersebut.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Hafizullah menyifatkan sumbangan itu sebagai sesuatu yang amat besar dan bermakna kepada mereka serta membantu melancarkan perjalanan kehidupan seharian penduduk setempat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: