Monday, February 27, 2012

Pulihara Taman Marin Tun Sakaran


PROGRAM konservasi untuk memulihara spesies marin di perairan Semporna perlu diteruskan bagi memastikan kawasan tersebut menjadi tarikan pelancong.


KEPELBAGAIAN bio terumbu karang yang terdapat di Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), terletak di pantai timur Sabah, cukup istimewa kerana ia kaya dengan pelbagai spesies berbanding taman marin lain di Malaysia.

Taman marin tersebut yang terbesar di negeri Sabah, mempunyai lapan pulau yang keseluruhannya berkeluasan 35,000 hektar. Meliputi 34,046 kawasan laut dan terumbu karang serta 954 hektar kawasan tanah.

Ia dipantau rapi oleh Taman-Taman Sabah (TTS).

Lapan pulau itu terdiri daripada Bohey Dulang, Tetagan, Mantabuan, Bodgaya, Maiga, Sibuan, Selakan dan Sebangkat. Perairan di sekitar semua pulau itu memiliki kawasan terumbu karang yang menarik.

Terdapat 544 jenis ikan terumbu karang, 255 jenis karang keras, 70 jenis karang lembut, 140 jenis span laut, 265 jenis moluska dan 109 jenis ekinoderma.

Ia diperoleh daripada projek yang dikenali Projek Darwin Pulau-Pulau Semporna daripada dana projek yang disalurkan melalui Inisiatif Darwin yang merupakan projek usahasama TTS dan Persatuan Pemuliharaan Marin United Kingdom.

Bagi TTS yang diberi tanggungjawab menjaga taman ketujuh daripada lapan taman yang diwartakan di negeri ini, mereka melaksanakan pendekatan terbaik dalam usaha melindungi dan memulihara kawasan itu untuk tempoh jangka panjang.

Sepanjang enam tahun menyelia taman marin itu, agensi di bawah kerajaan negeri Sabah itu melaksanakan program melindungi dan memulihara kawasan yang tidak ditumpukan kepada hidupan marin tetapi juga kepada pengurusan komuniti yang tinggal di dalam kawasan taman marin.

Pengarah TTS, Paul Basintal berkata, menjadi cabaran utama kepada pihaknya untuk mengurus komuniti yang tinggal di dalam kawasan taman marin itu bagi mengelakkan mereka mengeksploitasi hidupan marin.

Dianggarkan terdapat 2,000 orang menghuni kampung di kawasan itu dengan pekerjaan utama mereka adalah nelayan.

Tindakan alternatif bagi menjana pendapatan ekonomi mereka perlu diwujudkan supaya mereka tidak terlalu bergantung kepada sumber marin.

Daripada lapan pulau di taman marin itu, lima daripadanya mempunyai komuniti yang menetap di pulau-pulau berkenaan iaitu di Selakan, Mantabuan, Bodgaya, Sebangkat, Sibuan dan Bohey Dulang.

Katanya, pendidikan perlu diberikan kepada penduduk tempatan dalam usaha memulihara dan melindungi taman marin itu.

Dari segi penguatkuasaan, Paul berkata, walaupun penguatkuasaan boleh dilaksanakan mengikut Enakmen Taman-Taman Sabah 1984 terhadap mereka yang melakukan kesalahan, tetapi agensi itu memilih supaya mereka diberi amaran dan penerangan.

"Tindakan tegas seperti denda dan penjara adalah satu kaedah terakhir diambil selagi kesalahan yang dilakukan tidak serius," katanya.

Prasarana juga dibina di taman marin itu dan pada masa sekarang terdapat kemudahan rumah pekerja TTS, rumah untuk taklimat dan pameran, rumah rehat, pusat pembenihan dan jeti di Pulau Bohey Dulang.

Paul berkata pada masa depan, pihaknya akan membina sebuah pusat pengkulturan mutiara untuk tujuan pembenihan.

Katanya pihaknya juga akan membangunkan rangkaian laluan ke atas bukit di Pulau Bohey Dulang bagi mereka yang gemarkan aktiviti menjelajah di kawasan hutan.

Menurutnya, penyediaan prasarana di kawasan taman marin itu akan dikawal bagi memastikan ia tidak menjejaskan hidupan marin

TTS mengenal pasti sebanyak 56 kawasan di sekitar taman itu yang sesuai dijadikan aktiviti menyelam kerana mempunyai hidupan marin dan terumbu karang yang menarik.

Oleh itu TTS akan membuka secara perlahan-lahan beberapa kawasan di dalam taman itu sebagai tempat menyelam kepada pelawat.

Sebagai langkah awal, dua kawasan menyelam iaitu berhampiran pulau Mantabuan dan pulau Sibuan telah dibuka kepada pengusaha pelancongan untuk membawa pelawat menyelam dalam jumlah yang terhad.

Kawasan menyelam yang lain akan dibuka secara perlahan-lahan dan pemantauan yang ketat terutama mengehadkan bilangan penyelam pada satu-satu masa akan diberi keutamaan.

Dalam pada itu , program lain yang dalam perancangan ialah untuk mewujudkan sumber pendapatan komuniti berkenaan adalah menerusi pemeliharaan abalon.

Paul berkata, pusat penyelidikan di pulau Buhey Dulang sedang menjalankan penyelidikan pembenihan abalon.

Abalon itu diperoleh dari perairan Semporna dan jika pembenihan itu berjaya, anak abalon yang dapat dihasilkan akan diberikan kepada komuniti terpilih untuk mereka ternak.

Menurut Paul, penternakan abalon jika dijalankan sejak kecil, hanya mengambil masa enam bulan untuk membesar dan boleh dijual.

Beliau berkata, nilai abalon di pasaran adalah tinggi iaitu sekitar RM40 sekilogram dan mampu memberikan pendapatan lumayan kepada komuniti yang terlibat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: