|
LONDON - Cardiff City akan beraksi dengan semangat juang yang tinggi pada final Piala Liga menentang Liverpool di Stadium Wembley malam ini.
Meskipun turun selaku pasukan underdog, kelab Wales itu tidak gentar untuk berdepan skuad The Reds yang dibarisi ramai pemain berstatus bintang.
Pengerusi Cardiff, Datuk Chan Tien Ghee berkata, para pemain sudah berse- dia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi perlawanan yang dianggap penting dalam sejarah kelab itu.
"Apa sekalipun keputusannya malam esok (malam ini), saya tetap berasa bangga. Ini kerana kejayaan Cardiff melangkah ke final sudah dianggap sebagai suatu kejayaan dan sejarah buat kelab ini.
"Bermain di Stadium Wembley adalah suatu kebanggaan buat para pemain dan penyokong Cardiff. Namun, apa yang lebih penting adalah kejayaan Cardiff juga dianggap sebagai suatu kejayaan buat rakyat Malaysia.
"Nama Malaysia akan terpampang di jersi para pemain Cardiff dan ia adalah sesuatu yang membanggakan," kata Tien Ghee kepada pemberita Malaysia di Hotel Berjaya Eden Park semalam.
Mengulas lanjut mengenai perlawanan malam ini, Tien Ghee berkata, para pemain Cardiff telah berlepas ke padang latihan Chelsea di London untuk menjalani latihan ringan bagi menghadapi aksi final itu.
Katanya, meskipun menyedari cabaran getir yang bakal dihadapi, para pemain tidak menunjukkan sedikit pun perasaan takut, sekali gus berazam untuk melakar satu lagi sejarah malam ini.
"Pagi tadi (semalam), saya sempat bertemu para pemain sebelum mereka berlepas ke London. Saya lihat mereka semua bersemangat dan tidak sabar untuk menghada- pi perlawanan itu.
"Malah, status pasukan underdog langsung tidak menjejaskan persiapan mereka. Sekiranya semangat seperti ini dapat dikekal- kan sehingga perlawanan sebenar nanti, saya percaya kami mampu mencipta kejutan.
"Saya yakin para pemain Cardiff dapat menyesuaikan diri dengan suasana malam esok (malam ini) meskipun bermain di gelanggang lawan dan di depan ribuan penyokong Liverpool.
"Namun, dengan kehadiran kira-kira 32,000 orang penyokong Cardiff ke Stadium Wembley, ia sudah cukup untuk memberikan motivasi dan semangat kepada para pemain," katanya yang turut yakin Jalur Gemilang akan berki- bar di Stadium Wembley malam ini.
Memiliki rekod selaku juara kelab Eropah sebanyak lima kali, Liga Perdana England (18 kali), Piala FA dan Piala Liga (7 kali), Li- verpool yang dibimbing Kenny Dalglish diletakkan sebagai pilihan untuk menjadi juara.
Keyakinan itu semakin jelas selepas skuad The Reds dibarisi ramai pemain berstatus bintang seperti kapten Steven Gerrard, Andy Carroll, Dirk Kuyt dan penye- rang kontroversi Uruguay, Luis Suarez.
Selain itu, kehadiran semula penyerang Wales, Craig Bellamy di Anfield dianggap sebagai satu kelebihan buat Liverpool kerana bekas pemain Manchester City ini pernah dipinjamkan ke Cardiff pada musim 2010-2011.
Bagaimanapun, kemampuan Cardiff yang dibimbing Malky Mackay tidak boleh dipandang rendah kerana ketika ini semangat para pemainnya berada di puncak.
Selain memburu slot ke kempen Liga Perdana England musim depan, kelab Liga Kejuaraan itu turut berazam untuk menamatkan kemarau trofi selepas kali terakhir menjuarai Piala FA pada 1927.
Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah dalam kempen Piala Liga pada 31 Oktober 2007 yang berkesudahan Liverpool menang 2-1, sekali gus mara ke pusingan kelima.
Ia juga adalah kali kelima Cardiff beraksi di Stadium Wembley selepas kali terakhir pada final playoff Liga Kejuaraan 2010 menentang Blackpool.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: