|
BAGI mereka yang ingin menikmati masakan tulen Thailand, apa kata anda singgah di Vistana Coffee House, Hotel Vistana, Kuala Lumpur. Hotel berkenaan sedang mempromosi makanan dari negara jiran itu selama dua bulan sehingga 21 April ini.
Apresiasi gastronomi dan tunas rasa yang hampir sama antara masyarakat Malaysia dengan rakyat Negara Gajah Putih itu membuatkan pihak hotel tersebut mengambil inisiatif itu.
Sememangnya masakan Thailand mempunyai ramai penggemarnya di ibu negara. Di seluruh Malaysia, dan di ibu negara khususnya, warga kota menggemari ciri masakannya yang pedas, masin, masam dan banyak menggunakan serai serta limau.
Malahan penggunaan sos ikan, gula merah, kelapa dan cili itu sememangnya memberi rasa yang berbeza. Ia diseimbangkan dengan elemen manis dan lemak yang didatangkan daripada pelbagai sumber bahan di rantau ini.
Bagi pembuka selera, anda mungkin boleh cuba som tam (salad betik), tod mun pla (bebola ikan) dan gai ob bai toey (ayam daun pandan) yang dijual pada harga RM12 sehidang.
Daripada pembuka selera sehinggalah menu istimewa hidangan yang ditawarkan di hotel berkenaan sememangnya tidak menghampakan.
Hidangan utama
Menyentuh mengenai menu istimewa, para pengunjung Hotel Vistana disarankan agar tidak melepaskan peluang menikmati pla thot atau ikan goreng masam manis kerana kerangupan ikan yang digoreng dan kemudian disira dengan sos Thai pasti membuka selera.
Selain ikan, pengunjung juga disaran untuk mencuba tom yam kung (ayam dan udang) yang hanya berharga RM10 sehidang. Kelikatan kuahnya yang berwarna merah dan isi bahannya yang padat dengan ayam, udang, limau purut, lengkuas dan serai menjadikan tom yam itu mempunyai rasa terbaik untuk dinikmati bersama nasi.
Jika mahu memilih hidangan lain, pengunjung boleh memesan nasi goreng nanas, ma-moung gai (ayam panggang yang dihidang bersama hirisan buah mangga), dan kari ayam hijau yang mirip rasa masak lemak cili api yang popular di negara ini.
Bahan asli
Menurut Chef Dzulkafli Mohd. Yusop dari Hotel Vistana, kesemua hidangan itu disediakan dengan bahan-bahan asli terutamanya penggunaan sos Thai buatan sendiri yang biasa digunakan dalam dapur rakyat Thailand.
"Kebanyakan jenis hidangan Thai yang banyak dijual di restoran atau telah diubah suai mengikut selera orang tempatan, tetapi di Hotel Vistana, kami mengekalkan ciri-ciri sebenar masakan bagi memenuhi kepuasan pelanggan.
"Oleh itu, bahan-bahan yang digunakan semuanya segar supaya rasa masakan itu sedap," katanya ketika ditemui pemberita di hotel berkenaan baru-baru ini.
Bagi melengkapkan menu tersebut, para pelanggan juga diberikan pilihan pencuci mulut iaitu cendol Thai selain empat jenis smoothies iaitu tembikai, laici, serai dan mangga yang dijual pada harga RM11.
Dalam pada itu, pengalaman menikmati kelazatan menu di restoran yang boleh memuatkan seramai 100 orang pelanggan itu merupakan komitmen Hotel Vistana untuk memberi kepelbagaian menu kepada pengunjung.
Dengan harga promosi serendah RM8 hingga RM25, pengunjung boleh menikmati pelbagai sajian enak dari dunia kulinari Siam di hotel berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: