Wednesday, February 29, 2012

Nor Omar terima pengiktirafan FBI


Nor Omar Sappi sedang berbincang mengenai tugas bersama pegawai-pegawai unit ATIP.


Bukan semua orang mampu meraih kejayaan dan pengiktirafan dalam kehidupan peribadi atau kerjaya sekali gus namun manusia boleh berusaha dan berdoa untuk mengubah nasib dan masa depannya.

Namun bagi anak seorang nelayan ini, meskipun lahir di kawasan pedalaman Sandakan, Sabah, beliau telah membuktikan perkara itu tidak mustahil untuk dicapai.

Permulaan yang sukar menjadi kekuatan dan inspirasi bagi personaliti gaya polis minggu ini, Deputi Supritendan Nor Omar Sappi, 37.

Beliau berkhidmat sebagai Ketua Unit Anti Pemerdagangan (ATIP), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Sebagai pegawai unit itu, visi utamanya adalah untuk memperkasakan ATIP dalam membanteras kegiatan pemerdagangan manusia seterusnya menjadikan negara ini bebas daripada dijadikan transit atau pusat operasi.

Pemegang Sarjana Muda Perniagaan dari Universiti Malaysia Sarawak dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Utara Malaysia itu membuktikan tiada yang mustahil dicapai walau apa pun latar belakang seseorang itu.

Meniti kehidupan sebagai anak nelayan, Nor Omar menceritakan dia terpaksa bekerja sambilan di perpustakaan universiti dengan bayaran RM4 sejam.

Kegigihannya telah membuahkan hasil selepas dia satu-satunya anak Melayu ketika itu memperoleh Anugerah Dekan ketika melanjutkan pengajian dalam Sarjana Muda Perniagaan.

Sejurus tamat pengajian, Nor Omar mengikuti Program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) pada 1999, namun kerana minat yang mendalam dalam kepolisan, dia mengubah layar hidupnya.

Katanya, minat itu timbul sejak kecil lagi ketika beliau menjadi pengikut setia drama bersiri yang disiarkan menerusi televisyen, berjudul Chip’ s (California Highway Petrol).

“Drama itu mengisahkan tugas dan cabaran polis-polis peronda ketika menjalankan aktiviti pencegahan dan membanteras jenayah.

“Dari situ lahir keinginan yang mendalam untuk menyarung uniform kebanggaan negara dan saya terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi,” jelasnya.

Bermula dengan mengikuti latihan asas kadet Asisten Supritendan di Pusat Latihan Asas Polis, Jalan Semarak, Nor Omar kemudian telah ditugaskan selama empat tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, tiga tahun di Interpol, tiga bulan di Bahagian Risikan/Operasi (D4), dua tahun di Aseanapol sebelum ditukarkan ke JSJ, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sehingga hari ini.

Namanya mudah dikenali dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana sering mewakili sukan bola tampar dari peringkat daerah hingga kontinjen.

Ketika Nor Omar mewakili Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, pasukannya berjaya mengalahkan juara bertahan sukan bola tampar dari Cawangan Logistik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: