Sunday, February 26, 2012

Minka simbol seks baharu




SEJAK kecil, Minka Kelly mahukan kerjaya melepas emosi. Seiring kematangan dan pengalaman yang dilalui, wanita muda ini akhirnya memilih untuk menjadikan aktres sebagai profesionnya.

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Anak kepada pemain gitar grup Aerosmith, Rick Dufay dan isterinya Maureen Dumonet Kelly ini merupakan penari eksotik yang mula dikenali melalui drama bersiri Friday Night Lights.

Bekas kekasih John Mayer ini disunting pereka drama bersiri Friday Night Lights, Peter Berg yang merupakan pengarah filem The Kingdom. Walaupun hanya muncul sebagai aktres undangan namun penampilan tersebut adalah permulaan untuk Minka. Pada 2010, Minka, 31, dipilih sebagai Wanita Paling Seksi oleh majalah Esquire.

Usai pemilihan tersebut, aktres ini dilamar untuk membawakan salah satu watak dalam siri Charlie’s Angels yang kini disiarkan saluran Fox (Astro 710) pada setiap Ahad pukul 9 malam.

Membawakan watak Eve French, turut terlibat sama dalam drama ini ialah Annie Ilonzeh, Rachael Taylor, Ramon Rodriguez dan Victor Garber.

“Watak Eve tidak jauh beza dengan saya. Dia anak yatim dan berdikari. Eve juga perlu berjuang untuk kelangsungan hidup, sama seperti saya yang merupakan anak tunggal dan dibesarkan oleh ibu tunggal. Saya tertarik dengan siri ini kerana ciri kekeluargaannya. Mungkin ramai orang di luar hidup seperti saya atau Eve. Siri ini juga mempunyai pemanis mata dan cantik ditonton, tambahan juga banyak emosi di dalamnya,” ujar Minka tentang wataknya dalam drama tersebut.

Menariknya, Minka berasa seronok kerana dapat belajar skuba memandangkan aktiviti tersebut sudah lama menjadi impiannya. Tidak hanya itu, untuk membawakan watak bidadari Charlie, Minka belajar menunggang kuda stail Inggeris yang dianggapnya mencabar.

“Saya pernah menunggang kuda tapi cara tunggangan Barat adalah seperti menaiki sebuah kerusi bergerak. Saya perlu imbangkan badan dan berpaut dengan kaki. Saya juga berkesempatan belajar menari salsa. Setiap hari pasti ada penjelajahan baru,” kata Minka.

Aktres filem 500 Days of Summer ini tergelak besar apabila memberikan komentar tentang gelaran simbol seks yang diberikan kepadanya. Buatnya, gelaran itu melucukan.

“Saya rasa terharu. Tetapi jika khalayak mengenali saya dan kehidupan seharian saya, umum akan ketawa. Ya, kita kadangkala perlu mentertawakan diri sendiri. Kita tidak perlu mengambil semua perkara dalam hidup secara serius kerana kita akan terhambat mengambil perkara negatif secara serius juga. Jadi, jalani ia dengan asam garam kehidupan,” ujar Minka memberi respons kepada gelarannya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: