|
HUJAN pada sebelah pagi menyebabkan persekitaran laluan menuruni Gunung Kinabalu itu agak basah dan licin. Bagi Gohimin Gohitung, ia bukan satu masalah besar. Langkahnya tetap tangkas, seakan-akan sudah mahir dengan selok-belok hutan dipterokarp bukit yang hidup subur di sekelilingnya.
Tumpuannya terarah terhadap sekumpulan pendaki di hadapannya yang berhempas pulas menuruni laluan berbatu dan berselirat dengan akar-akar kayu itu. Selaku ketua jurupandu arah sememangnya dia perlu berada pada kedudukan terakhir bagi memastikan kelancaran perjalanan itu dan tiada pendaki yang tercicir.
Awal pagi tadi, dia dan anggota kumpulan seramai 20 orang berjaya menamatkan misi menawan puncak gunung setinggi 4,095 meter. Selepas misi selama dua hari itu berakhir, kini tibalah masa untuk kembali semula ke Pintu Timpohon.
Gohimin tidak keseorangan sebaliknya turut ditemani tiga jurupandu arah lain yang berada di hadapan dan tengah kumpulan itu. Langkahnya tiba-tiba terhenti, seorang jurupandu arah menghampirinya dalam keadaan tergesa-gesa.
"Pak Gohimin, ada seorang pendaki tergelincir di atas batu semasa turun tadi, kakinya terseliuh," beritahunya.
Gohimin mempercepatkan langkah, dalam beberapa ratus meter di hadapan kelihatan seorang wanita mengerang kesakitan.
Bayaran ikut kilometer
Dia cuba membantu dengan menyapu minyak panas dan mengurut bahagian yang tercedera.
"Nampaknya tidak ada cara lain, kaki awak sudah bengkak, sukar untuk berjalan dalam keadaan begini. Kami terpaksa pikul awak turun untuk mendapatkan rawatan," terangnya.
Selepas berbincang selama beberapa minit dengan wanita itu, Gohimin mengarahkan seorang jurupandu arah di bawah seliaannya memikul wanita itu.
"Jangan risau, kami sudah biasa melakukannya. Awak cuma perlu berpaut pada leher dia," pesan Gohimin sebelum kelibat kedua-duanya hilang di sebalik rimbunan pepohon yang menghijau di laluan itu.
Dikenali sebagai 'teksi gunung', Gohimin berkata, ia merupakan perkhidmatan istimewa yang diberikan kepada pendaki di gunung itu.
"Adakalanya pendaki tidak sihat, terseliuh atau kekejangan otot dan tidak berupaya meneruskan pendakian.
"Justeru, ini adalah satu-satunya cara yang ada. Bagaimanapun, bagi kes-kes yang serius seperti patah tulang atau pendarahan, kami akan meminta bantuan renjer untuk tindakan susulan," jelasnya.
Lelaki yang berasal dari Kampung Kundasang kira-kira lima kilometer dari Taman Kinabalu Sabah itu menambah, pendaki yang menggunakan perkhidmatan itu dikenakan bayaran bagi setiap kilometer perjalanan.
Katanya, bayaran teksi gunung tidak tetap bergantung pada budi bicara pendaki dan kumpulan jurupandu arah. Namun ia boleh mencecah sehingga RM300 bagi satu kilometer.
"Biasanya dalam keadaan kecemasan begini, ramai yang tidak kisah, apa yang lebih penting mereka mahu cepat sampai untuk berehat atau mendapatkan rawatan susulan," jelasnya.
Gohimin berkata, biarpun tampak mudah, namun tanggungjawab teksi gunung begitu besar terutamanya dalam memastikan keselesaan dan keselamatan pendaki.
Dia yang berpengalaman luas selama lebih 30 tahun mendaki gunung itu memberitahu cabaran memikul pendaki memerlukan kekuatan mental dan stamina yang tinggi.
Pikul secara bergilir-gilir
"Selain terpaksa berhadapan dengan halangan laluan yang curam dan berliku-liku, kami juga terpaksa memikul pendaki termasuk yang berbadan besar.
"Saya sendiri pernah mengangkat seorang pendaki yang mempunyai berat sekitar 100 kilogram beberapa tahun lalu. Ia tidak boleh dilakukan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan khidmat beberapa teksi gunung untuk bergilir-gilir memikulnya.
"Salah satu cara lain adalah dengan menggunakan tandu, namun ia juga tetap mencabar," ceritanya.
Dalam usia yang mencecah 60 tahun, Gohimin merupakan di antara jurupandu arah paling berpengalaman di gunung yang diiktiraf kelima tertinggi di Asia Tenggara itu.
Manakan tidak, sejak berusia 30 tahun dia sudah bekerja sebagai porter atau pengangkut barang. Ketika itu dia sering berulang alik dari Pintu Timpohon ke Laban Rata untuk membawa pelbagai barangan runcit, sayur-sayuran, bahan binaan dan sebagainya.
"Sekitar tahun 70-an dahulu, laluannya lebih mencabar, kami perlu memanjat bukit batu, meredah hutan dan semak-samun atau berteduh di mana-mana sahaja jika hujan.
"Sekarang treknya semakin mudah dan selesa bahkan, ada laluan bertangga, ada pondok kecil yang lengkap dengan kemudahan tandas dan bekalan air malah, pengunjung juga boleh menginap di hostel dengan selesa," katanya.
|
|
Mula menjadi jurupandu arah sejak beberapa tahun yang lalu, Gohimin memberitahu, ia seiring dengan peningkatan usianya.
Ujarnya, biarpun masih berkemampuan memikul beban yang berat namun, tugas baharunya itu membolehkan dia menimba pengalaman di samping berkenalan dengan pelancong dari dalam dan luar negara.
"Ramai yang cemburu apabila melihat saya masih gagah dan cergas dalam usia begini, namun yang pasti saya tidak mempunyai sebarang rahsia.
"Saya makan seperti apa yang orang lain makan, begitu juga lain-lain. Mungkin ketenangan menghirup udara segar sambil ditemani kehijauan flora dan fauna menyebabkan saya awet muda," selorohnya.
Porter muda
Sementara itu, bagi Kamaluddin Jaffren, Gunung Kinabalu tidak asing kepada dirinya kerana beberapa ahli keluarganya turut bekerja di situ.
Keinginan membantu keluarga menyebabkan anak kedua daripada sembilan beradik itu menjadi porter secara separuh masa sejak berusia 15 tahun.
Ketika berusia 18 tahun, dia mula diberi kepercayaan menjadi jurupandu arah.
Pada masa yang sama, dia turut mengambil upah memikul beg dan kelengkapan pendaki di samping menjadi teksi gunung.
"Saya sendiri sudah beberapa kali menjadi teksi gunung, namun bukan wang yang menjadi keutamaan tetapi keselamatan pendaki itu sendiri," ujarnya yang berasal dari Kampung Mesilau.
Biarpun begitu, pemuda yang masih bujang itu berkata, ada di antara rakannya terpaksa berputih mata kerana tidak menerima bayaran seperti dijanjikan.
"Sebaik tiba di bawah sana, ada yang terus menghilangkan diri. Itu belum lagi dengan pelbagai alasan dicipta seperti kesempitan wang, meminta tempoh dan sebagainya.
"Mujurlah saya tidak pernah mengalaminya, namun saya sentiasa berwaspada. Apa yang penting, kami tetap memberikan perkhidmatan terbaik kepada yang memerlukan bantuan," katanya yang juga merupakan seorang pelajar lulusan agama di sebuah madarasah di negeri itu.
Sementara itu, Izman Shah Abdullah, 20, memberitahu, minatnya dalam kegiatan lasak dan mencabar mendorong dia menjadi porter di pergunungan itu.
"Daripada tidak berbuat apa-apa, lebih baik saya bekerja di sini, sekurang-kurangnya dapat juga menambah pendapatan.
"Lagipun ibu bapa tidak pernah menghalang saya bekerja di sini. Ia lebih baik daripada menghabiskan masa," katanya yang merupakan sepupu kepada Kamaluddin.
Mengakui masih cetek pengalaman, dia banyak belajar mengenai selok-belok hutan daripada jurupandu arah berpengalaman seperti Gohimin.
"Saya seronok berada di sini, berdamping dengan alam semula jadi yang masih kekal terpelihara," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: