|
|
OBJEK tampak yang bergerak, bergegar, bergoyang, bersinar dan berayun pastinya sering dilihat dalam sesuatu karya yang dihasilkan seniman seni visual.
Dari setiap pergerakan dan susun atur komposisi subjek sesuatu karya pada pelukis zaman ini dilihat bergerak ke arah kemodenan dari segi objek atau motif sesuatu pergerakan yang boleh menghasilkan rentak serta aliran dari satu ruang ke ruangan yang lain.
Dengan pergerakan tersebut, ia turut menjadikan sesuatu karya itu lebih menarik dipandang, hidup dan seolah-olah bernyawa.
Pergerakan boleh wujud dengan olahan beberapa unsur seperti garisan, rupa, warna, jalinan, bentuk, ruang yang beralih arah atau berulang.
Bagi pengkarya yang gemar melakarkan bentuk figuratif dalam karyanya, pastinya kurang memilih untuk menggunakan kaedah pergerakan kerana kebanyakan subjek lebih berbentuk statik.
Namun bagi Nor Hisyam Asmawi, subjek statik elemen tiga dimensi (3D) lebih menghidupkan pergerakan dalam sesuatu karya figuratif.
Ketika bertemu dengannya di Galeri Core Design dalam pameran Beautiful Mind baru-baru ini, penulis sempat berkongsi pendapat mengenai seni pergerakan dengan pembaca S3.
Pelukis karya Potret Sang Penyihir ini menggabungkan kecekapan melakarkan subjek figuratif dalam bentuk tiga dimensi dengan pencahayaan yang menarik.
Menariknya dalam karya cat minyak bersaiz 152 cm x 111 cm tersebut ialah penghasilan wajah Marcel Duchamp yang menampilkan imaginasi tinggi, unik dan penuh warna-warni.
“Marcel Duchamp mewujudkan satu perubahan luar biasa dalam dunia seni moden. Sejak beliau bergiat aktif dalam bidang ini, sejarah seni tampak telah berubah sehingga setiap objek dihargai dalam sesuatu karya.
“Malah seni juga sekali gus meningkatkan nilai sesuatu kebudayaan. Sebab itulah, mengapa saya namakan karya ini sebagai Potret Sang Penyihir,” jelasnya.
Menurutnya, dimensi baru yang lebih terbuka mencabar minda seseorang pelukis.
“Setiap pelukis perlu lari daripada hasil seni konvensional yang biasa. Bukan mudah untuk membuktikan anak tempatan mampu melahirkan karya kreatif setanding pelukis antarabangsa dengan mengetengahkan idea segar, penuh kelainan dan mampu memberi inspirasi kepada masyarakat,” ujarnya.
Hisyam berkata, selain penggunaan berunsurkan pengulangan secara melengkung, berpancar, berlingkar dan beralun, objek-objek seperti yang dihasilkannya itu seperti buku, buah catur dan kerusi boleh memberikan efek gambaran yang lebih menarik untuk diperhatikan.
“Objek sampingan boleh dihasilkan melalui pelbagai saiz atau bentuk yang menarik dalam sesebuah komposisi sesuatu karya.
“Susunan unsur yang menuju ke arah sama seperti yang saya hasilkan dari pelbagai objek menjadi tangan nampak lebih menarik jika dibandingkan dengan bentuk tangan sebenar.
“Selain itu, susunan berunsur pelbagai arah juga boleh dihasilkan bergantung kepada kesesuaian sesuatu idea,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: