Ananda Krishnan,

SINGAPURA - Orang kedua paling kaya di Malaysia, Ananda Krishnan, merancang menjual kepentingannya dalam syarikat operator satelit, Measat Global Bhd, langkah yang diambil beberapa hari selepas beliau mula menjual aset tenaga bernilai AS$3 bilion (RM9.05 bilion).

Akhbar tempatan, The Straits Times melaporkan bahawa aset tenaga dan satelit berkenaan bernilai hampir AS$3.5 bilion, yang menunjukkan Measat mungkin bernilai sekitar AS$500 juta.

Sambil memetik sumber perbankan, akhbar itu melaporkan cakap-cakap mengenai jualan itu bermula pada lewat 2011, dan firma satelit Arab Saudi, Arabsat, mungkin menjadi pemegang strategik atau kepentingan majoriti dalam firma satelit
Malaysia itu.

Jutawan itu baru-baru ini menjual keseluruhan portfolionya dengan melantik Standard Chartered untuk mengurus transaksi, membabitkan kira-kira sedozen loji tenaga.

Beliau melakukan beberapa urus janji korporat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menyenaraikan sebahagian daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi Maxis Bhd yang merupakan tawaran awam pemulaan terbesar di Asia Tenggara pada 2009.

Tahun lepas, pasukannya menyenaraikan semula syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas Malaysia Bumi Armada Bhd.

Beliau juga menjadikan syarikat monopoli TV berbayar Malaysia, Astro All Asia Networks Plc, sebagai syarikat persendirian, selepas peluasannya ke Indonesia dan India mencatat kerugian dan menjejaskan kewangan syarikat.

The Straits Times melaporkan pemilikan kawalan Measat oleh Arabsat mungkin sukar memandangkan Malaysia mengenakan sekatan penguasaan 40 peratus pemilikan asing ke atas aset strategik domestik.