Sunday, February 26, 2012

Tiub-tiub terus jadi artis


Yuna adalah pencetus kepada budaya Youtube tanah air.


JURUSAN penyiaran bukan lagi pembelajaran eksklusif di bilik kuliah kerana ia boleh dipelajari golongan amatur yang berminat menerbitkan hasil karyanya kepada orang ramai.

Biarpun secara tidak formal tetapi kemajuan boleh dilihat andai individu itu rajin merakam apa sahaja yang berlaku di sekelilingnya.

Elemen penyiaran juga sebahagian dari gaya hidup masyarakat masa kini. Apa sahaja rakaman terbaik pernah dihasilkan, pasti akan berkongsi bersama di laman sosial paling popular, Youtube.

Kelebihan yang ada pada Youtube yang mesra pengguna menyenangkan sesiapa sahaja untuk memuat naik dan menilai hasil karya orang lain.

Pendek kata, semakin kerap anda muat naik klip video hasil nyanyian atau apa sahaja karya anda di Youtube, berpotensi untuk jadi cepat popular.

Contohnya, pendatang baru Najwa Latif yang popular dengan lagu Cinta Muka Buku itu memuat turun klip video menyanyi sambil bermain gitar di Youtube untuk paparan bapanya, Abdul Latif Ismail.

Tidak sangka pula, lantaran dia rajin berlatih menyanyi macam-macam lagu popular masa kini di hadapan kamera video, menyebabkan semakin ramai orang menonton dan memujanya.

Sehingga hari ini, sebanyak 19.663 juta orang yang pernah menonton puluhan nyanyian klip video Najwa yang dipaparkan di Youtube.

Klip video Cinta Muka Buku ciptaan Najwa yang semakin popular itu juga mendapat sambutan sehingga 5.730 juta penonton. Purata kekerapan pencapaian yang cukup memberangsangkan buat ‘budak sekolah’ macam Najwa.

Sebab jumlah itu tidak dikira berapa butang ‘suka’ dan ‘tak suka’ yang diperolehi Najwa pada setiap klip video yang pada asalnya dimuat naik secara suka-suka itu.

Kesan sosial lambakan klip video di Youtube juga dilihat banyak menyumbang kepada budaya kerja masa kini secara tak langsung. Jalan pintas untuk memendekkan kerja dan menghapuskan kerenah birokrasi yang menjadi amalan kerja orang industri muzik kita selama ini.

Anjakan yang memberi kesan baik buat setiap artis kelahiran Youtube sebenarnya. Mereka tidak lagi perlu berdepan dengan ‘songeh’ komposer, penerbit atau orang berpengaruh dalam industri muzik untuk ‘menjual’ bakat seni.

Tak perlu lagi menyanyi pelbagai genre lagu untuk menetapkan genre pilihan. Atau perlu tunggu berjam-jam di syarikat rakaman untuk

pilih dan rakam lagu.

Tiada lagi amalan ketinggalan zaman kerana artis kelahiran Youtube ini sudah punya kelompok pengaruh tersendiri. Punya ratusan peminat ‘under ground’ yang sentiasa bertambah bilangannya untuk menyokong apa saja karya daripada artis Youtube tertentu.

Semuanya bertitik tolak selepas Youtube dijadikan bahan pengukur global kepada sesuatu produk yang ingin dipasarkan kepada peminat seni. Butang ‘suka’ dan bilangan kekerapan penonton dijadikan sukatan utama populariti sesebuah syarikat label muzik menawarkan seseorang itu menjadi artis di bawah naungannya.

Dua perkara itu cukup kuat untuk mengangkat individu yang “tidak ada apa-apa” sebelum naik ke persada pentas perdana. Sebelum syarikat rakaman buat hitam putih, labur wang bagi sempurnakan kekurangan pakej yang sepatutnya ada pada artis Youtube itu.

Logiknya, syarikat muzik hari ini pun tak nak ambil risiko besar dan buat kesilapan besar dengan mengambil bakat yang tak popular. Lainlah kalau individu itu ternyata berbakat, hebat secara semulajadi atau anak seorang berpengaruh dalam industri.

Syarikat rakaman juga mahu kerja senang, tak perlu kerja kuat nak buat promosi memperkenalkan artis naungan ke semua media cetak atau elektronik.

Hakikatnya, budaya Internet sebenarnya banyak membantu artis kelahiran Youtube yang berpotensi untuk berkembang dari semasa ke semasa.

Juga antara penyebab kepada pengurangan minat yang mendalam di kalangan orang ramai untuk menonton program realiti televisyen. Penyusutan kecenderungan di kalangan individu berbakat untuk menghadiri acara uji bakat yang dianjurkan oleh mana-mana stesen televisyen.

Buat apa nak bersusah payah beratur panjang di lokasi uji bakat, mengisi borang untuk menjadi sebahagian daripada rating televisyen, sedangkan individu itu sendiri boleh cipta rating Youtube sendiri.

Jalan penyelesaian terbaik adalah control cun semasa menyanyi merdu di hadapan kamera, sambil bermain gitar atau instrumen lain. Buat sedikit penyuntingan pada klip video itu sebelum terbitkan di Youtube. Lepas itu, tunggu maklum balas daripada orang ramai.

Kalau resipi itu berjaya, pasti pemilik syarikat label muzik beratur untuk ‘sambar’, tawarkan kontrak dan macam-macam perjanjian bersama. Andai ada yang tak kena dengan diri, boleh berbincang dahulu.

Sekiranya masih tak ada jalan penyelesaian juga, boleh cakap tak mahu, dan tunggu syarikat rakaman lain tawarkan kontrak yang lebih bagus dan bersifat menang-menang situasi. Mudah bukan?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: