JEPUN memang terkenal dengan industri muzik dan fesyen di peringkat dunia. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan negara Matahari Terbit itu berada di tangga teratas di Asia dalam dua bidang yang popular tersebut.
Justeru, bagi mana-mana penyanyi atau pemuzik dari luar negara yang berpeluang mengadakan persembahan di Jepun serta diterima dengan baik oleh para peminat di sana, maka ia sesuatu yang boleh dibanggakan.
Peluang itu antara yang diraih oleh kumpulan heavy metal dari Kajang, Selangor yang dikenali sebagai Vault sewaktu mereka mengadakan persembahan di Dewan Esaka Muse, Osaka, Jepun baru-baru ini.
Persembahan kumpulan lima anggota itu berlangsung pada True Thrash Festival yang turut menampilkan 10 kumpulan thrash metal yang kebanyakannya dari Jepun pada festival yang berlangsung dua hari berturut-turut.
Menurut penyanyi Vault, Hafizan Mohamad Zip, 29, peluang beraksi di festival yang kali ketiga diadakan itu sukar dilepaskan kerana ia turut membabitkan kumpulan-kumpulan dari pelbagai negara.
"Di Malaysia kami kurang dikenali ramai tetapi tidak sangka hanya dengan berbekalkan demo tape dan sebuah album yang kami terbitkan sendiri berjaya menarik perhatian pihak Rock Stakk Records di Jepun.
"Apatah lagi, ini adalah kali pertama kami mengadakan persembahan di luar negara, malah di Jepun yang mempunyai industri muzik yang cukup besar," katanya kepada Hits sewaktu kunjungannya ke negara tersebut.
Selain Hafizan selaku vokalis utama, Vault yang bermain muzik secara sambilan sejak lebih tiga tahun lalu turut dianggotai empat lagi anggotanya iaitu Faaiz (gitar), Azril (gitar), Shein (bass) dan Syibree (dram).
Biarpun berdepan dengan masalah komunikasi bersama krew pihak penganjur festival yang kurang fasih berbahasa Inggeris, ia tidak menjadi halangan buat Vault yang berkobar-kobar mahu beraksi di hadapan para peminat Jepun.
Selain Vault, antara kumpulan thrash metal Jepun yang mengadakan persembahan bersama mereka pada festival itu ialah kumpulan Jurassic Jade, Fastkill, Riverge, Abigail, Wargasmatron, Impaler serta Doraid.
Lebih menghangatkan festival apabila Rock Stakk Records turut menjemput kumpulan thrash metal legenda dari Toronto, Kanada iaitu Sacrifice mengadakan persembahan bersama empat anggota asal mereka.
Para peminat di sana semakin teruja apabila pihak penganjur menampilkan dua lagi kumpulan undangan iaitu Remains dari Thailand dan Witchburner (Jerman) pada festival yang bermula dari pukul 4 petang hingga 11 malam itu.
"Kami bukan sahaja teruja beraksi di hadapan para peminat Jepun, malah mereka juga mahu menyaksikan kelainan kerana festival ini menampilkan kumpulan-kumpulan dari luar negara dengan muzik yang berbeza.
"Walaupun ada masalah komunikasi tetapi para peminat di sana begitu peramah dan amat menyokong persembahan kami. Mereka bergambar dan mengambil tandatangan kami selepas festival itu.
"Malah, kami juga membawa 30 keping demo tape Vault dengan harga 500 yen (RM20) setiap satu yang habis dijual sebelum festival itu berakhir. Sepatutnya, kami bawa lebih banyak demo tape untuk dijual di sana," ujar Hafizan lagi.
Sewaktu beraksi di festival itu, Vault membawakan lagu-lagu mereka sendiri antaranya Raging Force, Black Leather Cult, Ripping Noise Terror, Victim of Pain, Heavy Metal Attack dan Onslaught of Death.
Dengan tiket festival dua hari berturut-turut berharga 10,000 yen (RM380) itu, Vault bukan sahaja membawa nama Malaysia tetapi turut membuka peluang kepada pemuzik dari negara ini untuk beraksi di sana pada masa depan.
Jelas pemilik Rock Stakk Records, Mikitoshi Matsuo, dia berasa teruja dengan pemuzik dari Malaysia sekali gus menjemput mereka beraksi pada festival yang disaksikan ribuan peminat tegar muzik thrash metal di sana.
"Tahun lalu misalnya, True Thrash Festival telah menjemput kumpulan Lobotomy dari Malaysia beraksi di sini. Sambutannya sangat menggalakkan. Ramai peminat di sini yang mahu melihat pemuzik dari luar negara beraksi.
"Selain pemuzik thrash metal, saya juga meminati kumpulan rock seperti Rusty Blade, Search, MAY dan Lefthanded. Walaupun saya tidak faham bahasa Melayu, tetapi saya kagum dengan muzik mereka," ulasnya.
Bukan setakat mengadakan persembahan, True Thrash Festival juga boleh dikatakan medan pertemuan setiap kumpulan pemuzik bertukar-tukar pendapat selain melebarkan lagi peluang mereka dalam bidang muzik.
Difahamkan Vault yang turut mencuri perhatian kumpulan Witchburner dari Jerman ditawarkan mengadakan persembahan di negara kelahiran Adolf Hitler itu bersama kumpulan terbabit pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.
True Thrash Festival juga semakin lama semakin menguatkan jenamanya apabila saban tahun menjemput beberapa kumpulan thrash metal legenda terkemuka dari seluruh dunia beraksi pada acara setahun sekali itu.
Contohnya, sebelum ini festival yang diadakan di pingging bandar Osaka itu pernah menjemput kumpulan-kumpulan thrash metal legenda seperti Hirax dan Razor dari Kanada, Assassin (Jerman) dan At War (Amerika Syarikat).
Sacrifice kumpulan yang amat dinanti-nantikan oleh para peminat di Jepun tampil mengadakan persembahan dua malam berturut-turut di True Thrash Festival tidak mampu menyembunyikan rasa keterujaan mereka.
Rob Urbinati, 44, penyanyi dan gitaris kumpulan yang ditubuhkan di Toronto pada tahun awal tahun 1980-an itu berkata, selepas lebih 25 tahun Sacrifice ditubuhkan, itu adalah kali pertama mereka beraksi di Jepun.
"Kami bukan sahaja kali pertama mengadakan persembahan di Jepun, tetapi ini adalah kunjungan kali pertama ke Asia. Kami biasa mengadakan persembahan di Kanada dan Amerika Syarikat.
"Bagaimanapun, kami dapat rasakan kelainan apabila beraksi di hadapan para penonton Jepun yang memberi sambutan sungguh hebat sekali. Ia mengingatkan semula konsert Sacrifice sewaktu era tahun 1980-an," ujarnya.
Selain Rob, Sacrifice yang turut dianggotai oleh tiga lagi anggota asalnya iaitu Joe Rico (gitar), Scot Watt (bass) dan Gus Pynn (dram) banyak menyanyikan lagu-lagu daripada album Torment In Fire dan Forward To Termination.
Antara lagu-lagu hits Sacrifice yang dipersembahan bertajuk Terror Strikes, Turn In Your Grave, Flames of Armageddon, Re-Animation, Necronomicon, Pyrokinesis, Afterlife dan Homicidal Breath.
Selain menonton persembahan, para peminat juga berpeluang membeli rakaman festival itu yang dijual dalam format DVD terbitan Rock Stakk Records di mana True Thrash Festival tahun ini akan diterbitkan pada tahun depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: