PESAWAT Japan Airlines JL 724 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun tepat 6.30 pagi selepas melalui terbang hampir tujuh jam dari Kuala Lumpur.
Maklum sahaja, negara matahari terbit, pancaran sinar suria pagi menyambut langkah pertama penulis di negara yang cukup terkenal dengan cara masyarakatnya menunduk sebagai tanda hormat kepada orang lain.
Walaupun kelopak mata masih liat untuk dibuka, namun hati sebenarnya sangat teruja dan tidak sabar-sabar menikmati serta melihat sendiri keindahan musim sejuk Jepun.
Kunjungan penulis ke Tokyo bersama empat lagi wartawan akhbar dan majalah dari Malaysia adalah atas jemputan Canon Singapura untuk membuat liputan Pameran Kamera dan Fotografi 2012 (CP+ 2012).
Melangkah keluar dari pintu pesawat, tiupan angin sangat sejuk dengan suhu serendah -1 darjah celsius menyapa pipi memaksa kami cepat-cepat menyarung baju sejuk yang sememangnya sudah tersedia di tangan.
Selesai urusan imigresen dan pengambilan bagasi, pihak penganjur membawa para media dari Malaysia, Indonesia dan Thailand bersarapan di Hotel Hilton Narita sebelum bergerak ke pusat bandar Tokyo.
Sepanjang perjalanan menaiki bas, agak janggal juga melihat pemandangan pokok-pokok sepanjang lebuh raya hanya tinggal ranting tanpa daun - namun itulah keunikan negara empat musim.
Untuk destinasi pertama, kami dibawa melawat tokong Buddha tertua di Tokyo dikenali sebagai Kannon Temple yang berusia 1,360 tahun.
Terletak di daerah Asakusa, tokong besar dengan reka bentuk istana lama itu menjadi antara lokasi popular dan tumpuan para pelancong di Tokyo.
Menurut pemandu pelancong kami, Takada, pelawat perlu membasuh tangan di takungan air yang disediakan di bahagian luar sebelum memasuki tokong bagi tujuan membersihkan diri.
Tidak jauh dari situ pula, terdapat sebuah pondok kecil yang digunakan sebagai tempat membakar abu untuk menghasilkan asap. Masyarakat tempatan akan mengelilingi pondok tersebut bagi mendapatkan tempias asap yang dipercayai mampu memberi kesejahteraan dan menyembuhkan penyakit.
Kami kemudian dibawa berjalan kaki sejauh 200 meter menuju deretan kedai tepi jalan dikenali sebagai Nakamise yang popular dengan jualan cenderamata Jepun seperti chopstik, kipas tangan, topi, kimono, baju T dan rantai kunci.
Kami diberi masa selama dua jam membeli-belah sebelum rombongan dibawa ke hotel penginapan, The Peninsula Tokyo di daerah Ginza yang digelar sebagai pusat fesyen oleh penduduk di sana.
Selepas mendaftar masuk, penulis sempat 'mencuri' sedikit masa untuk cuba menaiki salah satu laluan perkhidmatan tren bawah tanah (subway) daripada 24 laluan yang ada di Jepun untuk ke Ropongi di mana terletaknya kafe Hard Rock Tokyo.
Pada sebelah malam, rombongan media dibawa menikmati makan malam di Restoran Gonpachi yang sangat popular dan pernah dikunjungi oleh ramai selebriti hiburan dan sukan serta pemimpin ternama dunia seperti Lady Gaga, Leona Lewis, Zinedine Zidane, Stevie Wonder, Johnny Depp, Perdana Menteri New Zealand dan Putera Raja Monaco.
Antara makanan yang dihidangkan sushi ikan segar, makanan laut goreng tempura, puding telur, sashimi dan sup miso.
Menikmati ramen dan bermain salji
Hari kedua di bumi Jepun dimulakan dengan sesi lawatan ke pameran CP+2012 yang diadakan di Pusat Konvensyen Pacifio Yokohama, terletak kira-kira sejam perjalanan dari Tokyo.
Selesai acara di sana, kami dibawa melawat ke Muzium Ramen Hinyokohama. Ramen yang merupakan makanan tradisi masyarakat Jepun adalah sejenis mi sup yang dihidangkan bersama hirisan daging, rumpai laut, halia, sos soya, bawang hijau dan daging.
Sesuatu yang unik, bahagian dalam muzium itu yang dibuka pada 1994 dibina seakan rumah kedai lama sekitar 1940-an yang sangat klasik dan unik.
Pengunjung yang ingin merasa sendiri keenakan ramen asli Jepun boleh memilih mana-mana kedai yang mereka mahukan. Sistem pembelian perlu menggunakan mesin kupon yang tersedia di bahagian luar premis.
Makan malam kami hari itu disediakan di restoran Pan Pasific Yokohama sambil menikmati keindahan cahaya dari Roda Feris di Kabagawa dan persembahan lampu malam yang sangat menarik
Saat yang ditunggu telah pun tiba untuk perjalanan hari ketiga. Kami dibawa ke kawasan tanah tinggi di daerah Narusawa, Yamanashi iaitu di Fujiten Snow Resort.
Resort tersebut antara lokasi bermain ski dan papan luncur salji paling popular di Jepun yang dilengkapi dengan kemudahan menyeluruh seperti sistem lif, menyewa peralatan ski dan kelas bimbingan untuk mencuba aktiviti ekstrem itu.
Tidak tergambar keseronokan di hati apabila buat pertama kalinya penulis dapat memegang salji dan melihat sendiri salji turun dari langit pada sebelah petang.
Lebih mengujakan, resort yang terletak berhadapan gunung tertinggi di Jepun iaitu Gunung Fuji memberi pemandangan cukup indah dan menarik menyebabkan kesemua kami tidak melepaskan peluang untuk merakamkan foto kenangan.
Kami kemudian meneruskan perjalanan ke kawasan perkampungan tradisional masyarakat Jepun dikenali sebagai Saiko Iyashio yang terletak di daerah Sato Nenba.
Dikelilingi kawasan berbukit-bukau dengan suhu sangat sejuk, di sini terdapat lebih kurang 15 buah rumah yang mempunyai senibina lama diperbuat daripada buluh serta dihiasi dengan rekaan landskap cukup indah.
Di dalam setiap rumah pula, terdapat jualan makanan ringan tradisional Jepun, sayur-sayuran dan tumbuhan hiasan yang boleh dijadikan cenderahati kenangan.
Kunjungan ke lokasi ini bakal memberi peluang kepada pengunjung memahami dan mendapatkan maklumat mengenai cara hidup masyarakat tradisional Jepun.
Kemudian, kami dibawa ke daerah Kanaguchi untuk menikmati makanan popular Jepun, soba iaitu sejenis mi yang diperbuat daripada tepung dengan pilihan hidangan sama ada secara sejuk bersama sos soya atau panas bersama sup.
Hari keempat trip dipenuhi dengan sesi lawatan dan taklimat yang diadakan di ibu pejabat Canon Inc. di daerah Shimomaruko, Tokyo.
Ia diikuti sambutan majlis gala yang diadakan pada sebelah malam sebagai tanda berakhirnya kunjungan musim sejuk ke kota Tokyo.
Lima hari 'bertemankan' baju sejuk dan sarung tangan, memori dapat menjejakkan kaki ke bumi Nippon itu pastinya akan kekal segar di ingatan dan menjadi kenangan manis untuk selamanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: