|
|
NAMANYA mungkin baru dalam dunia lakonan. Namun tiada siapa yang dapat menyangkal aura yang dibawa gadis ini.
Sementelah namanya juga kian melonjak sebaris dengan pelakon wanita popular lain tanah air.
Memiliki wajah comel dan ilmu lakonan yang mantap, Yana Shamsudin kini bukan calang-calang pelakon apabila sering menjadi dambaan peminat filem Melayu.
Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini keupayaan pelakon muda itu mula menimbulkan kesangsian apabila bakat lakonannya dikatakan kurang menyerlah.
Isu itu timbul apabila watak dalam filem atau drama lakonannya dikatakan tidak menonjolkan bakat sebenarnya.
Bagi Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 28, dia langsung tidak terkilan dengan tanggapan itu yang baginya hanya pendapat sesetengah pihak.
Menurut Yana, biarpun pengalamannya dalam industri itu sudah menjangkau sembilan tahun, namun dunia lakonannya hanya bermula sejak tiga tahun lalu.
“Umur pengalaman saya di dalam dunia lakonan baru sahaja mencecah tiga tahun. Manakala lagi lima tahun itu saya banyak bekerja di sebalik tabir.
“Untuk itu rasanya masih terlalu jauh untuk saya mengatakan saya sudah puas dengan tahap lakonan saya.
“Sebenarnya 2012, merupakan tahun penting buat saya kerana kebanyakan filem-filem lakonan saya akan muncul pada tahun ini.
“Malah mungkin ia juga bakal menjadi penentu kepada kerjaya lakonan saya,” katanya ketika di temui di majlis pratonton Adnan Sempit 2 di Sunway Pyramid, Selangor baru-baru ini.
Mula dikenali sebagai pengarah sebelum bergelar pelakon, Yana mengakui ada kalanya dia berasa sangat rindu untuk kembali mengarah.
Namun kekangan jadual sebagai pelakon memaksanya lebih menumpukan kepada lakonan sahaja.
“Saya memang suka bekerja di belakang tabir. Malah saya sudah melakukannya sejak dari belajar lagi.
“Bagaimanapun saya jenis yang suka kesempurnaan. Oleh itu amat sukar untuk saya menumpukan banyak perkara dalam satu-satu masa. Buat masa ini saya hanya mahu menumpukan perhatian dalam bidang lakonan sahaja,” ujarnya.
Malah Yana juga menegaskan, dia mahu melihat sejauh mana bidang lakonan akan membawa namanya sebelum membuat keputusan sama ada menumpukan perhatian kepada dunia lakonan semata-mata
atau kembali dalam dunia pengarahan.
“Saya masih lagi berada dalam program Skim Pengarah Muda. Setakat ini saya baru mengarah sebuah filem iaitu Selamat Pagi Cinta.
“Saya masih berhutang sembilan filem lagi dan mungkin pada bila-bila masa sahaja saya akan kembali mengarah.
“Bagaimanapun buat masa ini saya mahu memantapkan dahulu lakonan saya.
“Tetapi jika suatu hari nanti dunia lakonan lebih cerah dari dunia pengarahan, mungkin saya akan membuat keputusan untuk hanya meneruskan karier sebagai pelakon sahaja,” jelasnya.
Ditanya antara watak idaman yang mahu dicubanya, menurut Yana, setelah tiga tahun meneroka diri sebagai pelakon, dia bertuah kerana banyak diberi peluang untuk mencuba pelbagai watak.
“Rasanya sudah pelbagai watak yang berbeza saya bawakan dalam setiap filem yang saya terlibat.
“Namun mungkin suatu hari nanti saya mahu melakonkan watak superhero dengan kostum tersendiri,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: