KOTA KINABALU 7 Feb. - Tidak sempurna seperti insan lain, namun Prof. Madya Dr. A. Rahman Tang Abdullah lebih bertuah berbanding orang lain apabila dilantik sebagai pensyarah di Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Pensyarah berasal dari Muar, Johor itu yang menghadapi masalah penglihatan mempunyai kelulusan di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari School of Oriental and African Studies (SOAS), Universiti of London.
''Tawaran sebagai pensyarah di UMS membolehkan saya berbakti kepada nusa dan bangsa. Ia juga bertepatan dengan keinginan saya untuk menambah pengetahuan dan membuat penyelidikan mengenai sejarah di Kepulauan Borneo khususnya di Sabah dan Sarawak," katanya ketika ditemui di Pejabat Pendaftar, Bangunan Canselori UMS, baru-baru ini.
Prof. A. Rahman yang mempunyai kepakaran dalam bidang sejarah Malaysia sebelum ini bertugas selama 18 tahun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau memulakan kariernya sebagai tutor di Universiti Malaya pada 1992.
Setahun kemudian, bertugas sebagai pensyarah di UIAM sebelum melanjutkan kariernya di UMS tahun ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kedudukan orang kurang upaya (OKU) di negara ini, beliau berkata, semua golongan senasib dengannya perlu peka dan proaktif mengikut peredaran arus perdana.
''Kita harus akui bahawa dunia bukan dicipta untuk satu golongan sahaja. Oleh itu, kita harus sentiasa mengikut peredaran ini dan proaktif mencari peranan masing-masing yang ditentukan Allah," katanya.
Begitupun, beliau tidak menafikan golongan OKU juga turut memerlukan perhatian daripada masyarakat setempat.
''Kami memerlukan simpati orang ramai agar memahami keadaan golongan seperti kami. Itulah yang sebenarnya kami inginkan dan bukannya perasaan simpati terhadap kekurangan yang dimiliki," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: