Sunday, February 26, 2012

Larian promosi tiga puncak


KREW teknikal dari Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur, Awan Nano dan penggiat rekreasi dari Seremban bergambar kenangan di check point 1 Gunung Datuk.


YAM Tuan Antah Challenge (YTAC) 2012 yang diadakan di Hutan Lipur Gunung Datuk, Rembau, Negeri Sembilan berakhir dengan penuh ‘bergaya’, selain menyaksikan pemenang luar negara mendominasi tempat utama bagi kategori Terbuka Lelaki.

Seperti tahun-tahun terdahulu penganjuran larian gunung oleh Persatuan Kembara Negara (PKN), para peserta dari negara Kenya menjuarai tempat utama kategori tersebut.

Dalam perlumbaan yang diadakan pada 12 Februari 2012 lalu, para peserta dari Kenya mengungguli kategori Terbuka Lelaki. Eliud Kering muncul juara dengan catatan masa 1 jam 24 minit 23 saat, David Mutai di tempat kedua (1 jam 25 minit 18 saat) dan Paul Isimani di tempat ketiga (1 jam 26 minit 35 saat).

Sementara itu, peserta tempatan, Noor Amelia Musa berjaya memotong peserta dari Kenya, Chepkirui Rhodah dalam perjalanan menuruni gunung untuk berada di tempat pertama. Noor Amelia mencatatkan masa 1 jam 38 minit 08 saat.

Chepkirui pada mulanya menguasai larian, namun berjaya dipotong oleh Noor Amelia ketika menuruni CP 1 Gunung Datuk. Beliau mencatatkan masa 1 jam 41 minit 12 saat untuk berada di tempat kedua, manakala tempat ketiga bagi kategori ini menjadi milik Cheah Mei Mei dari Selangor dengan catatan masa 1 jam 44 minit 19 saat.

Perlumbaan bertaraf antarabangsa ini berjaya menarik penyertaan sebanyak 289 orang dari dalam dan luar negara.

Untuk melancarkan perjalanan larian yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM33,600, pihak penganjur mendapatkan kerjasama daripada pelbagai penggiat rekreasi tempatan termasuk Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL), penggiat rekreasi dari Seremban, Kelab Rekreasi UiTM (Kresma) dan kumpulan rekreasi yang menamakan mereka Awan Nano.

Presiden PKN, Datuk Khalid Yunus berkata, YTAC ini merupakan pertandingan mendaki gunung atau climbathon yang meliputi jarak larian 16 kilometer melibatkan Gunung Datuk, Gunung Rembau dan Gunung Gagak yang kaya dengan keunikan hutan tropika.

“Laluan pendakian yang meliputi ketiga-tiga gunung ini menyimpan keunikan khazanah flora dan fauna, selain puncak Gunung Datuk yang menyajikan pemandangan indah.

“Menerusi pertandingan yang diadakan ini, kami harap ia dapat mempopularkan laluan ke puncak Gunung Rembau dan Gunung Gagak. Untuk laluan ke puncak Gunung Datuk pula, ia sememangnya telah popular sehinggakan menerima kunjungan pendaki antara 400 hingga 500 orang pada setiap cuti hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad,” katanya pada majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang di dewan terbuka Hutan Lipur Gunung Datuk.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Datuk Mohammad Radzi Kail dan Pengarah Tourism Malaysia Negeri Sembilan, Zaidi Kassim.

Program ini mendapat tajaan daripada UFL, Salomon, Corezone, 100Plus, Milo, PowerBar, Pro Fresh Fisherman dan majalah Santai.

Selain kategori Terbuka Lelaki dan Wanita untuk berusia 22 tahun ke atas, kategori lain yang dipertandingkan adalah Veteran Lelaki (40 tahun ke atas), Remaja Lelaki dan Wanita (18-21 tahun) serta Pelajar Sekolah Lelaki dan Wanita (13 hingga 17 tahun).

Dalam pada itu, Khalid menegaskan, program ini diadakan bagi mempromosikan gunung-gunung yang terdapat di Negeri Sembilan khususnya untuk aktiviti sukan lasak dan rekreasi.

“Kita harap program ini akan menjadi acara tahunan dan dimasukkan ke dalam kalendar serta produk pelancongan Negeri Sembilan,” tambahnya.

Sementara itu, seorang peserta wanita yang hamil empat bulan, Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid, 23, berkata, beliau telah biasa menjalani gaya hidup yang aktif dan sering berlumba dalam pelbagai pertandingan sukan lasak.

Justeru, apabila hamil anak kedua, beliau tetap mahu menyertai sukan lasak sekadar yang termampu bagi menghilangkan kebosanan.

“Saya tidak berlari ketika mendaki gunung tetapi bila sampai di laluan agak landai, saya berlari-lari anak,” katanya yang berasal dari Tanjung Malim, Perak.

Tidak lengkap program anjuran PKN jika tidak melibatkan penyertaan penduduk dan pelajar sekolah.

Sehubungan itu, bagi memeriahkan program, beberapa acara melibatkan penduduk dan pelajar telah diadakan iaitu penginapan wakil media di inap desa (homestay) Kampung Batang Nyamor, pertandingan mewarna lukisan serta gotong-royong membersihkan kawasan sekitar Hutan Lipur Gunung Datuk.

Gotong royong bertemakan 1Malaysia Bersih 1Malaysia Indah itu melibatkan para pelajar dari tiga buah sekolah.

Pengarah Kementerian Pelancongan Negeri Sembilan, Daing Muhamad Rahimi Abd Hamid berkata, pelajar sekolah yang terlibat dalam program gotong-royong itu adalah dari Sekolah Menengah (SM) Undang Rembau, Sekolah Menengah Agama Pedas dan SM Teknik ERT, Rembau.

“Ini merupakan salah satu kempen untuk menjaga kebersihan di kawasan rekreasi dan pelancongan di seluruh Negeri Sembilan.

“Menerusi kempen ini, kita harap ia dapat memupuk kesedaran di kalangan pelajar dan orang ramai mengenai pentingnya menjaga kebersihan dalam menarik kunjungan pelancong ke sesuatu destinasi.” katanya kepada S3.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: