|
|
DENGAN rencah tiga dalam satu, Nurul Ekasari berkelana ke Malaysia. Dari Jakarta, Indonesia dia membawa paras, bakat serta pelajaran untuk santapan hiburan orang di sini.
Pemilik nama penuh Nurul Ekasari Rosihan Anwar itu sendiri tidak pernah menyangka bahawa kembaranya ke Malaysia membuka peluang besar.
Di Indonesia nama Nurul Ekasari masih terlalu kabur. Gadis berusia 24 tahun itu masih mentah dalam permainan dunia hiburan.
Tidak ramai yang mengenali nama Nurul Eksari kerana dia sekadar menjadi model iklan komersial.
Saat selesai mendapat segulung ijazah dalam bidang pengajian media daripada Universitas Persada Indonesia, produksi Malaysia datang menyuntingnya.
Tidak banyak berfikir, gadis yang berketinggian 165 sentimeter itu menghadiri uji bakat untuk mencari pelakon filem Chantek arahan Pierre Andre.
"Apabila tahu Pierre Andre sedang membuka peluang uji bakat dalam filem Chantek saya segera menghadirinya. Ketika itu saya baru sahaja tamat belajar.
"Tidak sangka pula saya yang terpilih sedangkan saya tidak pernah berlakon dalam mana-mana sinetron mahupun filem sebelum ini. Calon lain bukan calang-calang," ujarnya ketika sesi fotografi bersama Sensasi Bintang di Studio Kosmo! baru-baru ini.
Menerusi Chantek yang baru ditayangkan di pawagam, Nurul Ekasari menggalas watak sebagai seorang pembantu rumah yang bernama Chantek Ratnadewi.
Kebolehan Nurul Ekasari diuji apabila dia terpaksa merubah penampilan menjadi pembantu rumah tetapi dengan perwatakan lelaki untuk menjaga majikannya, Ad Adi, lakonan Pierre Andre.
Selepas dia mengisi portfolionya dengan projek besar itu, sahamnya naik. Nama Nurul Ekasari mula mendapat perhatian penerbit filem di tanah airnya sendiri.
Kebolehannya mula menonjol dan disunting untuk berlakon dalam beberapa telemovie serta filem di Indonesia.
"Saya menggunakan klip trailer filem Chantek untuk ditunjukkan kepada penerbit di Indonesia. Setelah mereka menontonnya, ternyata ramai yang suka lakonan saya.
"Selepas itu, saya menerima banyak tawaran berlakon filem mahupun telemovie. Nampaknya tuah saya dalam bidang ini (lakonan) bermula di Malaysia," ujar gadis yang menggemari gajet BlackBerry dan iPod Touch itu.
Antara filem lakonan Nurul Ekasari termasuklah Bait Cinta dan Soul Quest. Selain itu dia pernah membintangi empat buah telemovie seperti Ku Gapai Cinta Di Bali, Cintaku Di TKO, Cewekku Preman Cintaq dan Bitter Sweetheart.
Bercerita soal jodoh, gadis yang berbintang Sagittarius itu tidak menolak jika jodohnya daripada kalangan orang Malaysia.
Mengakui bahawa jejaka Malaysia dan cowok Indonesia tidak banyak bezanya, Nurul Ekasari banyak mengenali sifat lelaki di negara ini sepanjang berada di sini untuk mempromosikan filem Chantek.
"Kalau jodoh saya dengan cowok Malaysia, saya tidak menolak. Mereka pun baik-baik seperti cowok di negara saya.
"Mereka baik hati, bertanggungjawab dan menghormati wanita," ujarnya yang gemar menikmati tom yam dan nasi lemak sepanjang berada di Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: